
Raggie Jessy Rithaudeen
FMT MENULIS (KOMEN SAYA DI BAWAH):
Peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan “tindakan bijak yang tidak dijangkakan sesiapa”, kata pengasas bersama Bersatu, Redzuan Yusof, sambil menyifatkannya “langkah dirancang” yang mengejutkan rakan sekutu serta pengkritik.
Beliau menolak dakwaan keputusan bekas perdana menteri itu didorong kemelut politik di Perlis baru-baru ini, sebaliknya menegaskan Muhyiddin telah lama bergerak mengikut “rancangan lebih besar”.
“Dengan berundur sebagai pengerusi PN, Muhyiddin berjaya menghalang kemelut Perlis menjadi isu nasional. Pada masa sama, beliau telah meneutralkan cubaan ‘pemberontak’ menyingkirkan sebagai presiden Bersatu.
“Dan beliau buat semua ini dengan satu tandatangan,” kata bekas menteri pembangunan usahawan dan menteri tugas-tugas khas itu kepada FMT
Komen saya
1. Langkah Muhyiddin bukannya ‘langkah bijak’. Sebaliknya, ianya ‘langkah kecut’ atau ‘langkah cuci tangan’.
2. Saya berpendapat, mereka yang sedang menjenamakannya sebagai ‘langkah bijak’ sedang cuba jaga air muka Muhyiddin.
3. Hakikatnya, tekanan untuk Muhyiddin berundur cukup hebat, dan PN sudah pun dikira ‘pecah habis’ dan sebetulnya patut dibubarkan.
4. Cuma, PAS tidak berani umum PN dah hancur, kerana PAS tidak ingin dipersalahkan atas kehancuran itu.
5. Jadi, PAS mencadangkan pengaktifan semula Muafakat Nasional, dan disebabkan itu, Muhyiddin menjadi cemas.
6. Jika, menjelang PRU16, Umno dan PAS tiba-tiba mencapai persetujuan (walaupun peluang untuk kerjasama ini terlalu tipis), PAS sudah bertekad memberi jawatan PM kepada Zahid.
7. Kemudian, selepas PRU16, jika MN, Sabah dan Sarawak berjaya membentuk kerajaan bersama (lazimnya, Sarawak akan ikut Umno), Muhyiddin akan kehilangan segala-galanya, sebab Zahid tidak sekali-kali akan terima Muhyiddin, jauh sekali membantu beliau.
8. Malah, Bersatu dijangka hilang hampir semua kerusi kepada UMNO pada PRU16. Muhyiddin sedar perkara ini.
9. Dalam senario ini, tekanan dari dalam Bersatu agar Muhyiddin melepaskan jawatan presiden akan memuncak, dan Muhyiddin akan dipersalahkan atas nasib yang menimpa PN dan Bersatu.
10. Sebab itu Muhyiddin kecut dan letak jawatan.
11. Muhyiddin tahu, PN akan merosot teruk pada PRU16, dan dia tidak mahu dipersalahkan.
12. Jadi, dengan meletak jawatan, kini PAS akan dipersalahkan bila PN merosot kerana tidak mampu mengemudi gabungan itu dengan baik.
13. PAS juga tidak boleh menghidupkan semula Muafakat Nasional, kerana jika PAS berbuat demikian, ramai pengundi Melayu-Islam akan salahkan PAS kerana mengkhianati Bersatu setelah ‘pengorbanan’ Muhyiddin.
14. Umno bawah Zahid pula tidak akan bekerjasama dengan PAS ke arah menghidupkan MN jika membabitkan Bersatu-Muhyiddin, sekaligus bermakna hasrat PAS untuk memujuk Umno, yang sememangnya menemui jalan buntu, kini gagal sepenuhnya.
13. Ini, pada saya, adalah sebab sebenar Muhyiddin letak jawatan.
14. Memang ianya ‘masterstroke’, tetapi ‘masterstroke’ ini adalah untuk membolehkan Muhyiddin cuci tangan setelah sedar PN tidak akan ke mana.
Ini sekadar pandangan berdasarkan pemerhatian saya.
