Muhyiddin terlalu senyap, ahli-ahli parlimen, pelabur mula risau

“Pelantikan Muhyiddin tidak memberikan keyakinan kepada para pelabur susulan laporan yang mendakwa Perikatan Nasional tertubuh dengan majoriti tipis 114 kerusi parlimen. Ini memandangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan mampu ditumbangkan begitu sahaja biarpun memiliki majoriti selesa 138 kerusi (Pakatan Harapan + WARISAN) di Dewan Rakyat”

Raggie Jessy Rithaudeen

محي الدين ترلالو سڽڤ، اهلي-اهلي ڤرليمين، ڤلابور ريساو

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memberikan begitu banyak keyakinan terhadap ahli-ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri ke-8.




Biarpun membuat perutusan khas sehari selepas mengangkat sumpah di Istana Negara, Muhyiddin memberikan persepsi berlaku ketidaktentuan dalam gabungan parti-parti yang kini diterajuinya apabila senyap terus selepas itu.

Perkara ini sudah pasti membimbangkan para pelabur yang masih tidak tahu halatuju kerajaan baru pimpinan Perikatan Nasional dan dasar-dasar yang bakal diterapkan ke dalam pentadbiran.

Muhyiddin seharusnya prihatin terhadap keresahan para pelabur yang baru sahaja melepasi suatu tempoh ketidaktentuan bermula dengan desas-desus kerajaan pimpinan Pakatan Harapan akan runtuh.

Kemelut yang melanda kemudiannya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Ahad 23 hb Febuari terus menyebabkan indeks utama FBM Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menjunam 2.68 peratus atau 41.14 mata kepada 1490.06 mata apabila pasaran saham dibuka hari berikutnya.

Empat hari kemudian, indeks jatuh terus 22.95 mata kepada 1,482.64, sekaligus menjadikannya perosotan paling teruk sejak tahun 2008.

Kesemua ini disebabkan aliran keluar dana bersih yang jauh mengatasi jualan bersih sebanyak lebih RM1.15 bilion berbanding RM447.9 juta pada minggu sebelumnya.

Pelantikan Muhyiddin pula tidak memberikan keyakinan kepada para pelabur susulan laporan yang mendakwa Perikatan Nasional tertubuh dengan majoriti tipis 114 kerusi parlimen.

Loading...

Ini memandangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan mampu ditumbangkan begitu sahaja biarpun memiliki majoriti selesa 138 kerusi (Pakatan Harapan + WARISAN) di Dewan Rakyat.

Keruntuhan kerajaan yang lalu memberi petunjuk kepada para pelabur betapa rapuhnya kerajaan baru pimpinan Perikatan Nasional memandangkan ianya melibatkan sebilangan tertentu ahli parlimen yang membantu runtuhkan kerajaan lama.

Muhyiddin seharusnya mengeluarkan kenyataan polisi dan memberikan gambaran kasar halatuju kerajaan pimpinannya bagi mengurangkan ketidakyakinan di pasaran saham.

Kegagalan beliau berbuat demikian bukan hanya menimbulkan lebih banyak keraguan di kalangan para pelabur, ianya turut akan membimbangkan ahli-ahli parlimen yang mungkin akan mengorak langkah untuk berunding dengan rakan-rakan mereka di Pakatan Harapan demi menjaga kepentingan masing-masing.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...