
Mukhriz Mahathir
1. Saya sangat tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan mengenai bebanan hutang ke atas kewangan negara (baca : duit Rakyat) berpunca dari skandal 1MDB dan SRC International. Menteri Kewangan mengakui bahawa kedua-dua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ini gagal memenuhi matlamat penubuhan syarikat. Malah berbilion wang negara disonglap oleh Jho Low dan sekutu- sekutunya. Dato’ Seri Najib Razak juga telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas salah laku penyelewengan SRC International. Beliau akan diadili di mahkamah atas tuduhan penyelewengan 1MDB pula tidak lama lagi.
2. Tidak syak lagi, sebagai dalang penyelewengan berskala mega tahap antarabangsa ini, mereka berusaha membenam skandal 1MDB dan SRC International sedalam-dalamnya supaya lenyap dari perhatian awam. Itu sebabnya setiap kali kami bangkitkan isu-isu ini, tentera upahan media sosial mereka akan menyerang dengan menyatakan bahawa ia “cerita lapuk”, “orang sudah bosan mendengarnya”, “kes-kes itu dakwaan berunsur politik” dan sebagainya. Maka jawapan Menteri Kewangan tersebut wajib difahami dan diamati oleh setiap warga yang mahukan sebuah Kerajaan yang telus dan bebas dari salah guna kuasa.
3. Agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings, menyatakan bahawa antara sebab penurunan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada BBB+ dari A- ialah kemerosotan dalam ketelusan tadbir urus dan kegagalan usaha-usaha untuk mengawal rasuah.
4. Memang benar semua negara di dunia ini terkesan dengan pandemik COVID-19 dan impaknya kepada ekonomi masing-masing. Semua tindakan untuk menangani krisis ini memerlukan peruntukan Kerajaan.
5. Tetapi bagi Malaysia pula, krisis kesihatan dan ekonomi bertambah parah dengan adanya kemelut politik akibat daripada Kerajaan Perikatan Nasional yang keabsahannya masih tidak disahkan dengan jumlah sokongan majoriti jelas di dalam Dewan Rakyat.
6. Tidak cukup dengan itu, gejala rasuah pula semakin berleluasa kebelakangan ini. Hampir setiap hari berita mengenai tangkapan pegawai-pegawai Kerajaan pelbagai agensi penguatkuasa disiarkan di dada akhbar, kaca TV serta tular di media sosial.
7. Rakyat tentunya faham apa kesannya kepada hidup seharian kita jika amalan rasuah menjadi budaya yang tidak lagi dipandang jijik dan merosakkan masyarakat. Wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk membantu Rakyat, khususnya bagi meringankan bebanan ketika PKP, diseleweng untuk kepentingan peribadi pihak yang pecah amanah. Apa gunanya dibahas berapa ramai di kalangan Rakyat yang layak menerima bantuan wang, dan adakah patut diberikan RM200, RM500 atau RM1000, jika wang yang hilang dari 1MDB sahaja mencecah RM40.87 bilion? Bayangkan berapa ramai yang tertekan dengan masalah COVID-19 dan PKP yang mampu dibantu secara langsung jika Kerajaan tidak terbeban dengan hutang sebegitu besar?
8. Pendedahan-pendedahan ini menggambarkan keruntuhan sistem pentadbiran yang sepatutnya telus, cekap dan beramanah. Kita boleh andaikan kenapa rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan semakin menjadi perkara biasa sekarang ini.
9. Boleh dibayangkan apa yang berlegar di dalam pemikiran kakitangan Kerajaan yang curi tulang, pegawai yang seleweng, Ketua Jabatan yang makan suap; “Kalau bos buat, kenapa aku tak boleh buat? Dia sapu lagi besar. Yang aku ambil kecil-kecil saja.”
10. Inilah yang menjahanam sehingga merobohkan struktur sesuatu masyarakat. Apabila nilai dan budaya pegangan sesuatu masyarakat itu dirosakkan oleh teladan buruk yang ditunjukkan oleh pemimpin tertinggi negara, maka kepercayaan masyarakat terhadap sistem pentadbiran, keluhuran undang-undang, malah peradaban sosial juga akan runtuh.
11. Parti Pejuang Tanah Air yang belum diluluskan pendaftarannya, berpegang kuat kepada tadbir urus yang beramanah, telus dan cekap supaya kes rasuah seperti 1MDB dan SRC International ini tidak berulang lagi. Kami memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di mana saja gejala ini berlaku. Sama-samalah dengan Pejuang dan rakan-rakan seperjuangannya jika anda impikan sebuah negara yang mampu memenuhi segala potensinya. Mari bersama Pejuang untuk menjamin masa depan yang cerah bagi anak cucu kita.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
