
KENYATAAN MEDIA
1. Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 4 Jun 2020 telah dipengerusikan oleh Presiden merangkap Pemangku Pengerusi BERSATU YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
2. Mesyuarat yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) itu berjalan dengan lancar dan penuh tertib.
3. Dalam mesyuarat tersebut, MPT mengiktiraf tugas yang digalas YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi yang sah selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU, setelah peletakan jawatan YB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi BERSATU pada 24 Februari 2020.
4. MPT menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 setelah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara.
5. Selain daripada itu, mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keputusan untuk BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari 2020 dan pengumuman rasmi yang dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari adalah sah dan teratur.
6. Berkenaan status pelantikan Setiausaha Agung (SUA) BERSATU, MPT mengesahkan bahawa YB Senator Datuk Wira Marzuki Yahya telah diberhentikan sebagai SUA melalui surat pemberhentian bertarikh 18 Mac 2020 dan pelantikan saya sebagai SUA yang baru pada 26 Mac 2020 adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti.
7. Mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keahlian YB Tun Dr. Mahathir Mohamad, YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, YB Dato Wira Amiruddin Hamzah dan YB Dr. Maszlee Malik terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan BERSATU dan tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad.
8. MPT turut mengesahkan bahawa Kepten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah sekian lama Setiausaha Kerja BERSATU yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja adalah terpakai secara rasmi.
9. Akhir sekali, MPT juga mengesahkan bahawa keputusan memuktamadkan penyertaan BERSATU dalam gabungan parti politik baru yang membentuk kerajaan “Perikatan Nasional” yang dipimpin BERSATU adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.
10. Pada kesempatan ini, MPT merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi BERSATU, YB Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Timbalan Presiden, YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, mantan Ketua Armada, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan semua ahli MPT yang telah meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti.
11. Dengan pengesahan dan ketetapan yang telah diambil pada mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.
DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
SETIAUSAHA AGUNG
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
