Najib harus diberi layanan adil

Shahril Hamdan

1. Saya ingin melahirkan rasa kekhuatiran saya terhadap tindakan dan pendekatan yang diambil pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak di Jalan Duta tengah malam semalam.




2. Penggeledahan berterusan melebihi 18 jam yang dibuat oleh hampir 50 – 60 anggota PDRM pada malam tibanya bulan mulia Ramadan memperlihat seakan tiada belas kasihan bagi Dato’ Sri Najib yang sudah pun menyatakan komitmen beliau untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

3. Kekhuatiran saya ini ditambah dengan kenyataan oleh peguam Dato’ Sri Najib yang menyatakan bahawa pihak PDRM terus menggeledah setiap bahagian rumah beliau walaupun dikatakan akan berhenti pada pukul 5 pagi.

4. Saya menghargai kenyataan YB Nurul Izzah yang turut menzahirkan kekhuatiran beliau berkenaan apa yang berlaku semalam dan saya berasa lega kerana dalam Kerajaan baru Pakatan Harapan ini sekurang-kurangnya ada pemimpin yang mahu memaparkan sifat kesederhanaan mencerminkan budaya Malaysia yang penuh budi pekerti.

5. Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak mempersoalkan hak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan serta konsisten dengan undang-undang negara.

6. Pun begitu saya berharap segala tindakan tersebut juga mengambilkira bahawa sehingga hari ini, Dato’ Sri Najib bekas Perdana Menteri yang sudah banyak berjasa kepada negara serta menjadi wakil rakyat sejak beliau berumur 23 tahun, belum lagi didakwa di mahkamah lantas wajar diberi layanan yang adil sejajar dengan prinsip _“innocent until proven guilty”_ yang saya yakin turut didukung oleh Pakatan Harapan yang memperjuangkan demokrasi selama ini.

7. Dalam Malaysia baru ini, saya berharap pihak berkuasa akan menjalankan penyiasatan secara profesional dan adil menurut lunas undang-undang negara dan bertindak secara bebas bukan di bawah telunjuk atau tekanan sesiapa.

Shahril Hamdan merupakan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Loading...



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...