Najib set-up vs Mahathir set-up

Lebai PRO

Selepas memenangi PRU14 yang lalu, Council of Elders dibentuk dan viral bahawa Tan Sri Dato Zeti Akhtar Aziz memberitahu bahawa ekonomi Malaysia kukuh sungguhpun tanpa GST.

Tidak kurang dari itu, datang isu baru bahawa hutang negara sudah mencecah RM1 Trillion dan ramai yang tertanya dari mana datangnya angka ini sedangkan didalam debt clocking, hutang Malaysia sudah menurun sehingga 645 billion berbanding 687 billion berbanding penghujung tahun lalu.

Maka ramailah pakar-pakar ekonomi cyber pokok ketapang mengelirukan rakyat dengan pelbagai posting yang langsung tidak membina minda ditambah lagi dengan perang politik yang mencelarukan orang ramai tentang ekonomi negara. Nasihat saya, jangan terlalu konfiden menjadi ahli ekonomi cyber pokok ketapang hanya dengan sharing posting politik yang anda sendiri tidak faham.

JANJI POLITIK 

Kita harus tahu membezakan antara kenyataan ekonomi dari economist dan kenyataan ekonomi dari politician. Ini kerana bukan semua politician pandai ekonomi. Kerana itu, dalam PRU14, anda dapat melihat janji politik daripada manifesto bertukar menjadi U turn setelah sesebuah parti politik mendapat kuasa memerintah.

Saya tidak membuat andaian dalam perkara ini. Ini kerana penubuhan Council of Elders adalah bertujuan untuk mengkaji semula apakah polisi fiskal yang akan diambil oleh kerajaan PH bagi mereka memenuhi janji-janji politik yang telah mereka taburkan. Ia seterusnya akan menjadi set-up yang boleh kita namakan Mahathir Set-up.

Apa yang pasti Najib Set-up telah meletakkan ekonomi Malaysia dalam keadaan yang kukuh. Kita tidak boleh menafikan fakta ini. Sungguhpun rating yang diperolehi negara dibawah Najib Set-up adalah single A, ia sebenarnya masih mampu mencapai kepada double A. Ini dinyatakan sendiri oleh TS Zeti Akhtar Aziz. Walaubagaimanapun, ia bergantung kepada Mahathir Set-up.

ADAKAH BENAR NEGARA KITA AKAN BANKRAP?

Ini sebenarnya adalah satu kenyataan politik sahaja. Ramai menjaja bahawa Najib menendang keluar TS Zeti dan meletakkan kroninya sebagai Gabenor yang baru. Hakikatnya Gabenor yang baru itu juga adalah orang kuat TS Zeti yang mempunyai pengalaman yang hebatdalam BNM. Beliau merupakan Timbalan Gabenor BNM sejak 2010.

Kemudian, ahli politik menjaja isu nilai hutang negara untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Malaysia diambang bangkrap dibawah pentadbiran Najib. Ditambah lagi usaha pakar cyber pokok ketapang tidak putus-putus bercerita tentang anak cucu kita yang bakal menanggung hutang berbilion tanpa mereka sendiri mengambiltahu tentang definisi hutang nasional itu sendiri.

Terkini kita dipanaskan dengan kenyataan hutang meningkat kepada RM 1 Trillion tanpa ada penjelasan teknikal dan persepsi bahawa BN meninggalkan beban kerosakan ekonomi besar kepada kerajaan baru sudah laris dipasaran.

Profesor Dr Barjoyai Bardai, seorang pakar ekonomi mengeluarkan kenyataan menjawab kenyataan Tun Mahathir dalam isu ini bahawa kita tidak perlu panik andai hutang melebihi RM 1 Trilion sekalipun selagi sesebuah kerajaan tahu bagaimana untuk ‘keep track’ dalam hutang mereka. Ini boleh kita simpulkan bagaimana Mahathir Set-up akan berlaku.

ISU DAN KESEDIAAN

Adakah Mahathir benar-benar bersedia sebelum melepaskan ahli politik PH melampiaskan janji-janji politik untuk memenangi PRU? Agensi antarabangsa sudah memberi komen tentang Mahathir Set-up merujuk kepada manifesto dan janji-janji politik khsusnya dalam isu memansuhkan GST.

Moody Investor Service telah melabel langkah Mahathir sebagai “credit negative”. Ini secara asasnya menunjukkan pelan yang dicanangkan didalam manifesto PH menghapuskan GST dan menggantikannya dengan SST akan meletakkan Malaysia didalam defisit fiskal. Sementara itu Janus Henderson Investors melalui fund managernya Sat Duhra mengeluarkan kenyataan ” I see little to get exuberant about the same old political characters with risk of fiscal indiscipline. Its not a new dawn for Malaysia”.

Ini menunjukkan agensi-agensi melihat sosok kepimpinan dan pelan PH itu sendiri sukar untuk menarik keyakinan pelabur. Ia juga menyukarkan kerja-kerja bagi Council of Elders untuk menghasilkan Mahathir Set-up yang mampu meneruskan kekukuhan ekonomi disamping melangsaikan janji-janji politik mereka.

Kerisauan ini ditambahlagi apabila Tun Daim Zainudin mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ingin menyelesaikan tugas kurang dari 100 hari dan meninggalkan Council of Elders. Ada berpendapat bahawa beliau tidak berminat untuk kekal berada didalamnya kerana kurang disenangi Anwar Ibrahim dan pendudukan bosnya iaitu Tun Mahathir akan sentiasa dicabar untuk ditamatkan seberapa segera. Keadaan itu dapat dilihat apabila berlaku peperangan dalaman antara PPBM dan PKR.

MENCARI ALASAN

Disaat pakar seperti TS Zeti Akhtar Aziz berhempas pulas dalam membuat formulasi terbaik bagi Mahathir Set-up, kita tidak boleh menidakkan pakar politik pula berhempas pulas mencari reason untuk menyelamatkan air muka masing-masing setelah menyedari masalah ini.

Najib dan 1MDB bakal dijadikan kambing hitam terbaik untuk melambakkan segala permasalahan akan datang dalam permasalahan ekonomi serta ketidakmampuan menunaikan janji-janji pilihanraya.

Kita dapat melihat konflik kenyataan antara pakar seperti Prof Jomo yang memberitahu bahawa isu Felda lebih besar berbanding 1MDB. Kita juga dapat melihat percaturan projek berkaitan China seperti ECRL yang dikatakan akan dihentikan tetapi kini berada dalam status ketidakpastian.

Kita bersetuju bahawa Najib Set-up bukanlah satu set-up yang memberikan kebajikan kepada rakyat dan memberikan tekanan kepada kos sara hidup. Kita juga bersetuju kemungkinan berlakunya penyelewengan didalam 1MDB. Namun kita juga perlu bersetuju bahawa Najib Set-up bukanlah satu set-up yang gagal sehingga boleh menyebabkan negara bangkrap. Banyak lagi negara Asia Tenggara lain yang mempunyai penarafan jauh lebih rendah berbanding Malaysia. Penurunan hutang berlaku dengan agak baik disamping GDP yang yang lebih stabil.

Mungkin kini anda faham mengapa Tan Sri Khalid bersama 30 wakil PAS bertemu Arul Kanda dan berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB. Ini adalah kerana pelan rasionalisasi itu adalah lebih penting untuk mempastikan kerajaan semasa mempunyai kebolehupayaan menservis hutang-hutang mereka. Soal penyelewengan, itu adalah kuasa judisiari dan kebiasaannya pembangkang hanya mampu bising dan menekan itu sahaja. Dalam konteks politik Malaysia, jarang sekali kita dengar kerajaan memerintah telus membuka pintu yang luas untuk disiasat. Dalam kes Najib dan BN, kita dapat melihat tidak banyak bezanya berbanding kepimpinan BN terdahulu yang mempunyai campurtangan dalam urusan judisiari. Bagi kerajaan baru juga, tindakan Lim Guan Eng meminta kes digugurkan memperlihatkan legasi cengkaman politik terhadap judisiari diteruskan seperti biasa.

KESIMPULAN

Najib Set-up tidak melacurkan ekonomi negara seperti yang diwar-warkan dan masih meletakkan ekonomi negara dalam keadaan selamat. Mahathir Set-up pula masih belum dapat dipastikan sehinggalah tamat 100 hari seperti yang dijanjikan. Walaubagaimanapun, mereka yg didalam Council of Elders mempunyai kemampuan yg diyakini bg menghasilkan formula yg terbaik untuk negara.

Ramai berpendapat selepas 100 hari, segala yang dijanji akan terlaksana pada hari ke 101. Hakikatnya selepas 100 hari, mereka berjanji akan menyediakan formula untuk mula melaksana. Bila ia akan terlaksana, akan diketahui selepas itu. Wallahualam.

Sumber: Lebai PRO

Comments

Comments