“Anwar tahu, DAP dan AMANAH tidak lagi yakin dengan kemampuan Pakatan Harapan kembali menerajui kerajaan persekutuan sekiranya beliau kekal sebagai pengerusi gabungan berkenaan”
Raggie Jessy Rithaudeen
نية سبنر انور برجومڤا محي الدين
Selasa lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan selama 45 minit dengan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pertemuan itu, Anwar mendakwa Muhyiddin menjelaskan langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani wabak Coconavirus penyebab Covid-19.
Perkara ini dinyatakan oleh Anwar menerusi posting bergambar di Facebook rasmi beliau.
Seandainya Anwar tidak berbuat demikian, tiada siapa yang akan tahu berkenaan perjumpaan tersebut kerana tidak ada seorang pun dari pejabat Perdana Menteri yang membuat kenyataan rasmi berkenaannya.
Ini bermakna:
1. Samada Pejabat Perana Menteri dan (atau) kerajaan tidak merasakan perjumpaan itu sesuatu yang cukup penting untuk dihebohkan kepada umum, atau
2. Pejabat Perana Menteri dan (atau) kerajaan tidak menganggap Anwar sebagai orang yang cukup penting, atau
3. Kedua-dua Anwar dan Muhyiddin bertemu dalam kapasiti peribadi masing-masing atas sebab yang tiada kaitan dengan urusan kerajaan.
Perkara ketiga inilah yang menjadi tumpuan ramai hingga timbul pelbagai spekulasi dan teori, antaranya:
1. Muhyiddin meminta untuk berjumpa dengan Anwar kerana tahu sekumpulan pemimpin UMNO sedang cuba menyah-stabilkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional agar tercetusnya Pilihan Raya Umum ke-15.
2. Anwar sendiri meminta untuk berjumpa dengan Muhyiddin kerana khuatir Muhyiddin akan membawa PPBM bersekutu kembali dengan kem Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya Perikatan Nasional runtuh.
Sekali imbas, kedua-dua teori ini mungkin kerana kewujudan kumpulan dalam UMNO yang cuba menyah-stabilkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional bukannya suatu rekaan, tetapi hakikat.
Sebenarnya, perkara ini sudah lama diketahui oleh beberapa ahli parlimen dari PPBM yang pada ketika ini sedang menimbang langkah seterusnya.
Mereka sedar;
1. Datuk Seri Azmin Ali tidak boleh diharap dan tidak begitu berpengaruh seperti yang disangkakan kerana gagal mempelawa WARISAN dan lebih ramai ahli parlimen dari PKR untuk menyertai Perikatan Nasional
2. Peluang mereka untuk terus menjadi ahli parlimen bakal terjejas memandangkan UMNO tidak akan bertolak ansur dalam soal agihan kerusi ketika PRU kelak.
Ahli-ahli parlimen ini tahu Perikatan Nasional tidak stabil kerana majoritinya yang tipis dan sedang mengadakan komunikasi sulit dengan beberapa individu dari kem Mahathir.
Andaikata UMNO tidak bertindak mencantas Muhyiddin untuk mencetus pilihan raya, ahli-ahli parlimen ini dijangka akan menumbangkan Perikatan Nasional dengan beralih semula ke kem Mahathir.
Inilah yang dikhuatiri Anwar, kerana sekiranya Perikatan Nasional runtuh, PPBM tidak sekali-kali akan terfikir untuk bersamanya dan hanya akan mengadakan pergabungan dengan pihak yang menolak kepimpinan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.
Jadi mustahil Muhyiddin yang meminta untuk berjumpa dengan Anwar,tetapi sebaliknya, Anwar lah yang meminta untuk berjumpa dengan Muhyiddin.
Tetapi niat Anwar bukanlah untuk berbincang dengan Muhyiddin soal kerjasama PKR dan PPBM.
Anwar tahu, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan runtuh disebabkan PPBM ingin menguburkan cita-cita beliau menjadi Perdana Menteri.
Tetapi Anwar turut tahu, DAP dan AMANAH tidak lagi yakin dengan kemampuan Pakatan Harapan kembali menerajui kerajaan persekutuan sekiranya beliau kekal sebagai pengerusi gabungan berkenaan.
Justeru, untuk meyakinkan DAP dan AMANAH bahawa beliau masih relevan, beliau sengaja berjumpa dengan Muhyiddin agar perkara itu boleh diceritakannya dalam Facebook.
Logik Anwar mudah – oleh sebab Muhyiddin kini dianggap sebagai seorang yang mampu buat “kejutan di luar jangkaan,” beliau akan akan dianggap sebagai “cuba untuk memasuki perjanjian sulit dengan Anwar.”
Itu sahaja niat Anwar berjumpa dengan Muhyiddin, tidak lebih dari itu.
Bersambung…
