Parti AMANAH bapak segala lantikan politik, Khalid nak cerita apa lagi?

Raggie Jessy Rithaudeen

ڤرتي أمانه باڤق سڬالا لانتيكن ڤوليتيك، خالد نق چريتا اڤ لاڬي؟

Baru-baru ini, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, mendakwa kerajaan baharu pimpinan Perikatan Nasional tidak sabar-sabar nak gantikan lantikan zaman Pakatan Harapan dengan lantikan ahli politik dari kalangan mereka (Perikatan Nasional) biarpun negara dilanda krisis Covid-19.




Menurut beliau, disebabkan sikap pemimpin Perikatan Nasional, “golongan profesional lantikan zaman PH dipecat.”

Ini bermakna, Khalid bersetuju bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai kredibiliti sebagai seorang “profesiomal” boleh dilantik sebagai peneraju organisasi yang berkait dengan kerajaan meskipun orang yang dilantik mempunyai pembabitan sebagai ahli politik aktif mahupun pasif.

Persoalannya, bukankah Khalid sendiri yang memberi amaran pada 16hb Ogos 2018 agar lantikan politik Barisan Nasional (BN) di semua agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan yang masih belum melepaskan jawatan berbuat demikian selewat-lewatnya bulan Spetember 2018?

Pada ketika itu, bukan hanya Khalid tidak menghiraukan langsung kredibiliti atau kelayakan “profesional” mereka yang dilantik, parti AMANAH membuat beberapa lantikan politik yang teramat mencurigakan.

Bukan hanya AMANAH, kepimpinan Pakatan Harapan secara keseluruhan terang-terang memecat ramai penjawat awam berpangkat tinggi atas alasan lantikan mereka merupakan lantikan politik oleh pentadbiran Barisan Nasional yang lepas.

Saya mengaku, tindakan sebegini adalah perkara biasa yang tidak perlu dipertikai, kerana memang sudah jadi kelaziman mana-mana kerajaan di dunia menggantikan penjawat-penjawat berpangkat tinggi dengan lantikan politik baharu apabila berlaku pertukaran kerajaan.

Ya, mana-mana kerajaan di dunia akan melantik pegawai atau pengarah dari kalangan individu yang difikirkan setia kepada kepimpinan pusat sekiranya berlaku pertukaran ketara dalam barisan kepimpinan berkenaan.

Loading...

Dalam situasi sebegini, sudah pastilah majoriti daripada lantikan yang dibuat akan terdiri dari mereka yang mempunyai hubungkait rapat dengan barisan kepimpinan pusat ataupun barisan Jemaah Menteri.

Tetapi lain pula halnya dengan parti AMANAH.

Pada 23hb Januari 2019, menerusi satu majlis di ibu pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu, Dato’ Salahuddin Ayub, mengumumkan penstrukturan semula pertubuhan berkenaan menerusi lantikan pengerusi dan ahli Jemaah pengarah yang baharu.

Dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH dari Alor Mengkudu, Dato’ Phahrolrazi Mohd Zawawi diumumkan sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS yang baharu.

Salahuddin turut mengumumkan pelantikan lima orang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan lima lagi AJP yang merupakan calon simpanan daripada pemilihan AJP NAFAS pada tahun 2016 bagi penggal 2016-2019.

Barisan AJP NAFAS yang baharu ialah Wan Kharizal Wan Khazim, Mohd. Hisyamuddin Ghazali, Normah Yusof, YB Senator Dr. Yaakob Sapari dan YB Muhamad Said Jonit yang merupakan AJP lantikan Menteri, manakala lima lagi AJP NAFAS ialah YB Datuk Haji Abdul Aziz Derashid, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Bhari Abd Rahman, Y.M Dato’ Tengku Aziz Tengku Jaafar, Abdul Kalam Hassan dan Ishak Taib.

Jika dikaji, bukan hanya Salahuddin merupakan orang nombor dua dalam parti AMANAH, majoriti yang dipilih oleh beliau untuk menjadi ahli barisan Jemaah Pengarah NAFAS terdiri dari pemimpin-pemimpin parti beliau sendiri.

Lupakah Khalid akan peristiwa ini?

Sudah pastilah timbul persoalan dari kalangan rakyat jelata mengapa pelantikan sedemikian dibuat, sedangkan NAFAS seharusnya kekal sebagai sebuah pertubuhan yang dikendalikan oleh lantikan dari kalangan peladang sendiri.

Tetapi saya faham, lantikan politik kadang kala perlu bagi memastikan individu yang menerajui sesebuah organisasi yang bersangkut dengan kerajaan harus dari kalangan individu yang difikirkan setia kepada kerajaan.

Saya juga faham, sesiapa sahaja yang mempunyai kredibiliti sebagai seorang “profesiomal” boleh dilantik sebagai peneraju organisasi yang berkait dengan kerajaan meskipun mempunyai pembabitan sebagai ahli politik aktif mahupun pasif.

Tetapi tindakan parti AMANAH ‘mengepung’ NAFAS dengan menggantikan hampir kesemua ahli Jemaah pengarahnya dengan pemimpin AMANAH menimbulkan persoalan sekiranya pelantikan berkenaan dibuat atas pertimbangan professional tanpa adanya niat tersirat.

Sudah pasti para peladang marah melihatkan persatuan mereka ‘dikepung’ begitu sahaja oleh sebuah parti politik tanpa diberi peluang langsung kepada wakil-wakil mereka untuk menentukan halatuju dan perkara-perkara penting berkaitan urus tadbir persatuan.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila Datuk Seri Dr Wee Ka Siong merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa tiga kontrak bernilai RM1.4 bilion dibatalkan selepas kementerian Salahuddin dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Nafas secara rundingan terus.

Keesokkan harinya, pada 22hb November 2019, Salahuddin mengaku terus menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri bagi meminta sokongan beliau berhubung peganugerahan tender berkenaan.

Pengakuan Salahuddin sekaligus mencadangkan lantikan pengerusi dan ahli Jemaah pengarah NAFAS pada bulan Januari 2019 bukanlah berasarkan pertimbangan professional sepertimana yang dijanjikan dalam buku manifesto Pakatan Harapan tetapi berdasarkan keahlian mereka yang dilantik dalam parti AMANAH.

Apabila saya membuat saranan agar gaji, elaun dan faedah yang diperolehi setiap ahli Jemaah pengarah NAFAS dibentangkan di parlimen dan juga menerusi pengisytiharan aset ke pihak SPRM, saya pula diserang oleh tentera siber yang tiba-tiba datang entah dari mana.

Apakah Khalid tidak tahu akan perkara ini?

Apakah Khalid tidak tahu perihal pelantikan Setiausaha Sulit Kanan beliau sendiri ke Lembaga Perbadanan Putrajaya dan Setiausaha Politiknya ke Lembaga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur?

Nak meroyan apa lagi bang Khalid ooi?



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...