“Jika benar ada rancangan untuk menubuhkan Parti Reformasi Bersatu, kesemua yang terlibat samada bersedia untuk ‘terkubur’ atau sebenarnya sedang membantu blok Kuasa Ketiga (Mahathir) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 secara sulit”
Raggie Jessy Rithaudeen
Baru-baru ini, timbul ura-ura kononnya Datuk Seri Azmin Ali, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersepakat untuk menubuhkan sebuah parti baharu yang dinamakan Parti Reformasi Bersatu.
Perkara ini ditularkan oleh beberapa individu di media sosial, di mana jika dikaji, individu-indvidu berkenaan dilihat samada berkait rapat dengan kumpulan penyokong Team A (UMNO) atau kumpulan penyokong presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebenarnya, jika ditubuhkan parti sedemikian, Pilihan Raya Umum ke-15 akan menyaksikan pembentukkan empat buah blok politik – blok Mahathir, blok Anwar (serpihan PKR), blok UMNO-PAS dan blok Muhyiddin.
Blok Mahathir akan terdiri daripada DAP, AMANAH, WARISAN dan sekumpulan ahli-ahli parlimen dari PPBM (blok kerajaan dan blok pembangkang) serta Team B dari UMNO.
Anwar sudah pasti akan cuba berunding dengan kedua-dua Muhyiddin dan kepimpinan utama UMNO-PAS jika benar wujud rancangan sedemikian.
Walaubagaimanapun, jika PAS bersetuju untuk bekerjasama dengan Anwar, ianya hanya akan merugikan UMNO dan PAS sebab ramai penyokong kedua-dua parti berkenaan tidak dapat menerima Anwar ataupun kelibatnya.
Manakala itu, jika Muhyiddin pula tiba-tiba bersetuju untuk bekerjasama dengan Anwar, Azmin sudah pasti akan beralih ke kem Mahathir.
DAP dan AMANAH akan kekal bersama Mahathir, kerana bukan hanya sentimen anti-Anwar jauh lebih tinggi daripada sentimen anti-Mahathir di Malaysia Timur, hampir kesemua pemimpin utama dari Sabah dan Sarawak tidak dapat bekerjasama dengan Anwar.
Jika dibandingkan sentimen anti-Anwar dan anti-Mahathir di semenanjung Malaysia pula, tidak dapat dinafikan bahawa Mahathir masih mempunyai sokongan dari kalangan veteran UMNO dan akar-umbi PPBM, sekaligus bermakna Mahathir jauh lebih popular dari Anwar yang kini turut menghadapi ‘kemelesetan’ dalam sokongan dari ahli-ahli partinya sendiri.
Jadi sudah pasti karier politik Anwar akan terkubur jika benar Parti Reformasi Bersatu ditubuhkan, melainkan Anwar bertemu dengan Mahathir di saat-saat akhir sebaik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dan bersetuju dengan apa jua syarat yang dikenakan.
Ini bermakna pertembungan di Pilihan Raya Umum ke-15 akan melibatkan tiga blok utama – blok Team A-PAS, blok Muhyiddin dan blok Kuasa Ketiga (Mahathir).
Kita sedia maklum bahawa undi Cina dan India akan menyebelahi blok Kuasa Ketiga. Begitu juga, undi dari akar-umbi PPBM yang masih setia bersama Mahathir akan menyebelahi blok Kuasa Ketiga.
Manakala itu, perpecahan dalam undi Melayu-Islam yang disebabkan oleh perpecahan dalam UMNO dan PPBM, kegagalan mendaftarkan Muafakat Nasional (dan Perikatan Nasional) serta perpecahan undi anti-Mahathir disebabkan oleh pertembungan tiga penjuru turut akan menguntungkan blok Kuasa Ketiga.
Dengan mengambil kira semua ini dan perpecahan-perpecahan dalam undi Melayu-Islam yang telah saya bincangkan sebelum ini, jika benar ada rancangan untuk menubuhkan Parti Reformasi Bersatu, kesemua yang terlibat samada bersedia untuk ‘terkubur’ atau sebenarnya sedang membantu blok Kuasa Ketiga (Mahathir) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 secara sulit.
Ada pula yang mendakwa khabar angin berhubung rancangan ini palsu dan ditimbulkan semata-mata untuk mengelirukan ahli-ahli parlimen dari Team B, Sabah dan Sarawak agar mereka yakin bahawa Team B (UMNO), kem Azmin dan kesemua ahli parlimen dari PPBM teguh bersama Muhyiddin, bukannya Mahathir.
Yang ini langsung tidak masuk akal, walaupun mungkin ada sebab lain khabar angin ini ditimbulkan yang turut melibatkan usaha untuk mengelirukan ahli-ahli parlimen.
Apa pula pandangan anda?
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
