
“Saya percaya bahawa ada hikmah di sebalik musibah yang menimpa negara disebabkan Langkah Sheraton dan Langkah Royale Chuan, kerana kejadian-kejadian ini menyedarkan umat Islam di Malaysia betapa jahil dan terpesongnya PAS dari landasan kebenaran yang berteraskan keimanan“
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤاس ده جاوه ترڤسوڠ، تيدق برمرواه
Nota: Rujuk Live saya (DI SINI) yang menghuraikan dengan lebih lanjut topik yang sama
Tidak lama dulu, pada 2hb April 2021, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata dengan angkuh bahawa PAS menolak sebarang bentuk muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal.
Kenyataan itu dibuat susulan tekanan daripada UMNO agar PAS memutuskan hubungan dengan PPBM dan Perikatan Nasional dan memberi fokus kepada Muafakat Nasional.
“PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti,” kata Hadi dengan megah.
Meskipun tidak menyebut UMNO, kenyataan Abdul Hadi dilihat merujuk kepada kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menggesa PAS untuk menghormati piagam MN.
Mesej yang diberikan oleh Hadi, walaupun tersirat, amat jelas, iaitu PAS akan tetap mempertahankan Perikatan Nasional dan PPBM biar terpaksa memutuskan muafakat bersama UMNO yang sah menolak kerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Penolakkan ini dimuktamadkan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, dan tidak ada mana-mana pentas selain pentas Perhimpunan Agung seterusnya yang mampu mengubah keputusan ini.
Justeru, jika parlimen dibubarkan hujung tahun ini atau awal tahun depan, berdasarkan kenyataan Hadi, UMNO dan PAS tidak lagi akan bekerjasama menerusi Muafakat Nasional dan PAS akan kekal bersama Perikatan Nesional.
Namun, apa yang berlaku di Melaka baru-baru ini nampaknya sudah menggoyangkan keyakinan PAS terhadap kemampuan PPBM, dan sudah ada tanda-tanda PAS sanggup mengkhianati Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali bersama UMNO.
Itu lah PAS, parti yang boleh tidur sebantal dengan sesiapa sahaja, termasuk DAP pada satu ketika dulu, demi memajukan wawasan politik terpesong kepemimpinannya yang tidak serik memetik dalil dan memutar belit agama.
Dalam sekelip mata, nama “UMNO” dan “Muafakat Nasional” sudah kembali bermain di bibir pemimpin-pemimpin PAS, yang tidak segan atau silu menjaja nama “Islam” dan “Ummah” demi menghalalkan cara.
Tidak malukah PAS?
6hb November lalu, PAS meluahkan secara terbuka harapannya agar UMNO kalah di Pilihan Raya Negeri Melaka, kononnya untuk mengajar parti itu “memahami erti persaudaraan dan kepentingan agama, negara dan ummah.”
Namun, apa yang terjadi ialah PAS dibelasah teruk di Melaka, manakala UMNO menang besar dengan majoriti dua per tiga dan sedang bersiap sedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum mengejut.
Tiba-tiba, PAS ‘terlupa’ “fatwa Hadi” dan sudah mula menjulang konsep Muafakat Nasional, sedangkan tidak ada sepatah pun yang dilafazkan oleh kepimpinan UMNO selepas Pilihan Raya Negeri Melaka yang menunjukkan parti itu sudah “memahami erti persaudaraan dan kepentingan agama, negara dan ummah.”
Apakah PAS tidak ada maruah?
Bukankah Hadi berpesan bahawa semua kumpulan Islam perlu “menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN), bersama-sama dengan PPBM yang kononnya berteraskan Islam dan berintegriti?”
Apakah PAS akan menunjukkan sekali lagi kepada umat Islam di Malaysia betapa tersungkurnya parti itu dari landasan kebenaran, sehingga boleh “bertukar pasangan” pada bila-bila masa dengan mengeluarkan “fatwa-fatwa” dan “dalil-dalil” baru untuk menghalalkan cara?
Inilah rupa sebenar PAS, dan saya percaya bahawa ada hikmah di sebalik musibah yang menimpa negara disebabkan Langkah Sheraton dan Langkah Royale Chuan, kerana kejadian-kejadian ini menyedarkan umat Islam di Malaysia betapa jahil dan terpesongnya PAS dari landasan kebenaran yang berteraskan keimanan.
ANALISIS KEPUTUSAN PRN MELAKA:
ANALISIS PRN MELAKA: BOIKOT PENGUNDI BERI KELEBIHAN TIPIS PADA BN DI 12 KERUSI
