
“Pendirian Amar yang terbaru bercanggah dengan komitmen PAS selama ini untuk kekal bersama PPBM dalam Perikatan Nasional dengan atau tanpa UMNO”
Raggie Jessy Rithaudeen
Kenyataan terkini Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membuktikan bahawa parti itu sedar Perikatan Nasional tidak berpotensi menang Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut Amar, PAS sudah bersedia dengan beberapa senario termasuk kemungkinan bergerak sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya UMNO dan PPBM enggan bersama dalam satu kerjasama.
Pendirian Amar yang terbaru bercanggah dengan komitmen PAS selama ini untuk kekal bersama PPBM dalam Perikatan Nasional dengan atau tanpa UMNO.
Ini bermakna PAS sedar bahawa penglibatannya dalam Perikatan Nasional tidak akan membawa sebarang keuntungan kepadanya dan hanya akan menguntungkan PPBM.
Ini kerana PPBM tidak memiliki jentera Pilihan Raya yang mantap dan sokongan akar umbi malah lebih 75 peratus bahagian, cawangan dan akar umbi sudah beralih sokongan ke blok kuasa ketiga pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Amar sebenarnya mengaku bahawa PAS mungkin meninggalkan Perikatan Nasional jika UMNO tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM.
Boleh jadi PAS sedar dari awal lagi bahawa misi Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk menjadi presiden UMNO setelah menggabungkan kedua-dua parti itu.
Pada 15hb Julai lalu, saya meramalkan bahawa Blok Kuasa Ketiga akan menjadi kingmaker selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan akan memiliki kuasa penentu berhubung pembentukkan kerajaan baharu.
Manakala itu, UMNO, PPBM dan PAS dijangka mencatatkan prestasi yang jauh lebih buruk berbanding pencapaian masing-masing di Pilihan Raya Umum ke-14 tidak kira samada berlaku kerjasama di antara ketiga-tiga parti ini atau sebaliknya.
Saya menulis:
Nisbah pengundi Melayu kepada bukan Melayu di Malaysia sentiasa meningkat, dan pada Pilihan Raya Umum ke-15, peningkatan ini akan menjadi cukup signifikan berbanding nisbah yang dicatatkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Peningkatan ini akan disumbang oleh mereka yang berumur antara 21 dan 25 tahun, dan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pengundi dalam kumpulan ini (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kumpulan A”) akan menolak terus politik ekstrim yang dibawa oleh parti-parti kerajaan seperti PAS, PPBM dan UMNO.
Malah, kumpulan A tidak akan mempercayai janji-janji yang ditabur oleh PAS, PPBM dan UMNO ketika kempen Pilihan Raya dan tidak akan terpengaruh dengan pemgumuman projek pembangunan atau sogokkan wang.
Begitu juga halnya dengan pengundi Melayu yang berumur antara 26-40 tahun, di mana 50-60 peratus daripada kumpulan ini (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kumpulan B”) dijangka akan menolak PAS, PPBM dan UMNO atas pelbagai sebab, ada di antaranya telah saya senaraikan di hujung bawah (rujuk di bawah terbitan ini).
Kumpulan-kumpulan A dan B akan mula cenderung ke arah satu alternatif baharu dan akan memilih blok kuasa ketiga (BKK) sambil menolak terus calon-calon Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Pada masa yang sama, jumlah pengundi fanatik PAS dan UMNO dari kalangan mereka yang berumur 65 tahun ke atas akan berkurang berbanding PRU14 disebabkan pelbagai faktor, termasuk faktor kematian dan ketidakupayaan.
Jika semua ini dinilai bersama dan jika diambil kira sokongan pengundi bukan Melayu (dijangka mencecah 50 peratus), BKK akan menjadi kingmaker selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan akan memiliki kuasa penentu berhubung pembentukkan kerajaan baharu.
Syaratnya, BKK perlu diterajui oleh sebuah parti Melayu yang dominan dan seorang tokoh negarawan yang berpengalaman, dan tokoh negarawan ini perlu bersetuju untuk bekerjasama dengan sekurang kurangnya satu parti berbilang bangsa (WARISAN) dan calon-calon bebas.
Saya menjangkakan peralihan sokongan ramai ahli parlimen dari UMNO, PPBM, AMANAH dan PKR kepada BKK sebaik selepas parlimen bubar, andai kata ahli-ahli parlimen ini diberi peluang untuk bertanding di Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai calon BKK.
WAJIB BACA:
Syed Saddiq’s case may embolden Members of Parliament to turn against Muhyiddin this month end
