
Reggie Jessy Rithaudeen
Malaysiakini menulis:
Ketika teka-teki siapa yang akan dilantik mengetuai PN belum terjawab, seorang tokoh berpengaruh dalam PAS menegaskan bahawa mereka tiada pilihan kecuali dua pimpinan utamanya yang diangkat ke jawatan tersebut.
Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, berkata parti itu tidak boleh tidak untuk memilih ketetapan itu sekiranya mereka benar-benar mahu melaksanakan resolusi muktamar baru-baru ini.
Katanya, bakal Pengerusi PN yang perlu dicalonkan bagi menggantikan Muhyiddin Yassin ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri, atau paling tidak timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Komen saya
Sebelum ini, ada cadangan dari pihak tertentu dalam PAS agar Muhammad Sanusi Md Nor dijadikan pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Namun, pertemuan antara Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendapat restu Tan Sri Abdul Hadi Awang dan menimbulkan spekulasi bahawa kepimpinan tertinggi PAS mahu Samsuri mengemudi PN.
Kini, sudah hampir dua minggu Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai pengerusi PN, dan beberapa nama telah pun dilontar di sana sini.
Ada juga yang bertegas bahawa calon yang dipilih tidak boleh selain Hadi atau Tuan Ibrahim Tuan Man, sepertimana yang ditegaskan oleh Mohd Zuhdi Marsuki (di atas).
Namun, sehingga hari ini, kita masih tidak tahu siapa pengganti Muhyiddin, dan Majlis Kepimpinan Tertinggi PN masih belum bermesyuarat untuk memutuskan penggantinya.
Apa masalahnya?
Bukankah PAS beriya-ia mahu mengemudi PN sejak selepas PRU15, seolah-olah PAS sudah tahu siapa calon pilihannya untuk mengganti Muhyiddin?
Inilah masalahnya dengan PAS – kepimpinannya pandai beretorik, tetapi bila sampai masanya untuk bertindak dan membuktikan kemampuan, mereka terus mempamirkan kelembapan mereka, dan kita mula sedari betapa retorik mereka mirip bunyi tin kosong.
Dalam soal pelantikan pengerusi baharu PN, mereka sebenarnya terperangkap, sebab mereka tidak yakin dengan kemampuan sendiri dan mahu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengemudi gabungan itu.
Namun, kini, jika mereka mencalonkan Hamzah, mereka akan dikutuk habis-habisan oleh akar umbi parti sebab membenarkan Bersatu kembali mengemudi PN dalam pada Perlis juga ‘diserahkan’ kepada Bersatu.
Malah, pemimpin Bersatu akan turut mengutuk PAS sebab gagal menampilkan calon sendiri setelah bising sekian lama agar PAS diberi laluan untuk mengemudi PN.
Inilah PAS sama yang mendakwa mereka bersedia untuk mentadbir urus negara esok kalau kerajaan tumbang.
