“Lupakah Najib cara beliau berkempen tak tentu hala di Chini dan menganjurkan ceramah yang dihadiri beribu-ribu penduduk setempat yang tidak menurut SOP penjarakkan sosial tatkala wabak Covid-19 belum reda? Nak salahkan siapa? Bukankah semua terlibat sama?”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤليق تاڤي بنر: نجيب اخيرڽ مڠاكو
Saya jarang bersetuju dengan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam banyak hal, khususnya dalam hal-hal melibatkan skandal 1MDB dan SRC yang saya fikir dimanipulasi oleh Najib di umum.
Namun, saya bersetuju dengan Najib bahawa Malaysia tidak lagi boleh mendakwa menjadi antara negara yang berjaya mengawal pandemik Covid-19.
Ya, sememangnya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal memerangi wabak Covid-19 dengan berkesan malah bertanggungjawab terhadap peningkatan mendadak angka Covid-19 sejak langkah Sheraton.
Walaubagaimanapun, apabila Najib menuding jari terhadap kerajaan, beliau secara tidak langsung menuding jari terhadap Barisan Nasional kerana ahli-ahli parlimen dari gabungan itu terlibat bersama dalam kerajaan.
Bukankah ini pengakuan bahawa Barisan Nasional sama-sama bertanggungjawab terhadap “kegagalan Malaysia memerangi wabak Covid-19?”
Pada 13hb Januari 2021, saya menulis (link pendedahan penuh di hujung bawah):
Jika diteliti, angka Covid-19 mula-mula melonjak ketika Langkah Sheraton apabila PAS, PPBM dan UMNO bersekongkol untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tetapi siapa yang menanggung beban?
Rakyat jelata.
Tidak lama selepas mengangkat sumpah jawatan, Muhyiddin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama enam minggu, sekaligus membantut pertumbuhan ekonomi dan perdagangan Malaysia secara amnya.
Dalam pada PKP itu berlaku, UMNO, PAS dan PPBM terus berpolitik tak tentu hala dan bercatur untuk menumbangkan beberapa kerajaan negeri, termasuk kerajaan negeri Kedah dan Sabah.
Walaupun persepsi yang diberikan oleh Muhyiddin ialah “rakyat sudak muak dengan politik,” apabila ditanya, ramai orang awam menyuarakan rasa muak mereka terhadap Muhyiddin sendiri dan pihak pentadbiran.
Usaha untuk meruntuhkan kerajaan-kerajaan negeri membantut segala usaha oleh pentadbiran negeri-negeri berkenaan untuk memerangi wabak Covid-19, sekaligus menyebabkan peningkatan dalam angka jangkitan.
Seharusnya, kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk memerangi wabak Covid-19 dan mengetepikan agenda politik buat seketika.
Ini tidak, rakyat diberitahu untuk mengurangkan pergerakan dan aktiviti perniagaan tatkala pemimpin-pemimpin kerajaan sibuk mencatur dan mengadakan mesyuarat demi mesyuarat untuk tujuan politik peribadi.
Kemudian, apabila berlaku kekosongan di Chini dan Slim, pihak pentadbiran terus mengisytiharkan Pilihan Raya Kecil walaupun dinasihati oleh rakyat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan untuk tidak berbuat demikian.
Di fasa kempen, ramai pemimpin UMNO, PAS dan PPBM melanggar SOP yang ditetapkan apabila berurusan dengan penduduk setempat.
Kempen yang dilancarkan pula paling rancak dalam sejarah tanah air dengan bilangan ceramah yang tidak sepertinya sebelum ini, melibatkan beratus-ratus penduduk setempat yang tidak menjaga penjarakkan sosial.
Kesemua ini menyebabkan angka Covid-19 meningkat secara mendadak.
Biarpun begitu, UMNO dan PPBM terus membuat persiapan untuk merampas negeri Sabah dengan mengadakan perjumpaan demi perjumpaan dengan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari WARISAN untuk mempengaruhi mereka.
Kemudian, apabila Datuk Seri Shafie Apdal menasihati Timbalan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, Shafie yang dipersalahkan kerana mencetuskan Pilihan Raya dalam pada wabak Covid-19 menggila.
Persoalannya, jika benar Muhyiddin berjiwa rakyat dan ingin ‘menjaga’ keselamatan rakyat, mengapakah beliau tidak mendapatkan perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat di Sabah pada ketika itu?
Nampak?
Muhyiddin sebenarnya inginkan sangat sayap PPBM berkembang di Sabah dan membuat segala persiapan untuk berkempen di Sabah.
Maka bermulalah percakaran antara UMNO, PPBM dan PAS dalam isu agihan kerusi yang akhirnya menjurus kepada pertembungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di beberapa kawasan walaupun kedua-duanya mengaku terlibat bersama dalam kerajaan persekutuan.
Pemimpin-pemimpin UMNO, PAS dan PPBM pula sibuk berulang alik dari Putrajaya ke Sabah dan berkempen pada tahap yang tidak masuk akal, seolah-olah Pilihan Raya Negeri Sabah bukannya Pilihan Raya Negeri, tetapi Pilihan Raya Umum.
Berpuluh ribu warga Sabah pula terlibat dengan ceramah-ceramah yang dianjurkan menyebabkan angka jangkitan Covid-19 melonjak ke tahap membimbangkan.
Walaupun begitu, Muhyiddin dilihat tidak kisah dan terus berkempen, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia pula membisu dan tidak berani menasihati kerajaan untuk menghentikan Pilihan Raya Negeri menerusi proklamasi Darurat.
Hanya setelah Pilihan Raya tersebut tamat dan Muhyiddin berjaya menempatkan seorang pemimpin PPBM sebagai Ketua Menteri Sabah beliau menyuarakan kebimbangannya berhubung angka Covid-19 yang meningkat.
Dalam setiap perutusan, Muhyiddin menasihati rakyat untuk mematuhi SOP yang ditetapkan, walhal, video-video ceramah ketika kempen Pilihan Raya jelas menunjukkan bukti pelanggaran SOP oleh pemimpin-pemimpin UMNO, PPBM dan PAS.
Ceramah-ceramah yang dianjurkan juga dilihat mengabaikan penjarakkan sosial walaupun melibatkan beribu-ribu warga Sabah, sekaligus bermakna UMNO dan PPBM bertanggungjawab secara langsung atas bilangan kes yang menggila di Sabah.
Kejam, bukan?
Tetapi hari ini, yang terseksa adalah rakyat Sabah sendiri apabila Muhyiddin mengumumkan PKP 2.0 sambil menasihati semua penduduk Sabah untuk mematuhi SOP, seolah-olah merekalah yang leka dan tidak menurut arahan kerajaan.
Sesiapa dari kalangan rakyat jelata yang melanggar SOP terus dihukum, manakala Muhyiddin pula meminta untuk diisytiharkan Darurat setelah kerajaan pimpinannya tumbang, juga disebabkan oleh percakaran yang berterusan melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO, PPBM dan PAS.
Tetapi siapa yang dipersalahkan?
Pembangkang.
Siapa pula yang menanggung seksa?
Rakyat.
Lupakah Najib akan semua ini?
Lupakah Najib cara beliau berkempen tak tentu hala di Chini dan menganjurkan ceramah yang dihadiri beribu-ribu penduduk setempat yang tidak menurut SOP penjarakkan sosial tatkala wabak Covid-19 belum reda?
Nak salahkan siapa? Bukankah semua terlibat sama?
WAJIB BACA:
Inilah sebabnya rakyat terseksa, marah, & muak dengan Perikatan Nasional, Barisan Nasional
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
