Pemantau Malaysia Baru menyokong penuh titah Baginda Sultan Selangor

Dato’ Lokman Adam

Pemantau Malaysia Baru menyokong penuh titah Baginda Sultan Selangor yang telah menyatakan rasa kecewa Baginda terhadap kenyataan yang berunsurkan fitnah oleh beberapa pemimpin Melayu sendiri. Perbuatan pemimpin-pemimpin pro Pakatan Harapan seperti Hishammuddin Rais dan Kadir Jasin tidak boleh diterima sama sekali. Perbuatan memperlekeh institusi raja ini dibantah sepenuhnya oleh pihak kami dan ramai rakyat Malaysia lain sebagai perbuatan yang menghina, menderhaka dan menghasut rakyat jelata untuk membenci serta mencabar kedaulatan raja-raja Melayu.

Agenda tersirat sesetengah pihak yang ingin menimbulkan persepsi buruk terhadap institusi raja-raja Melayu adalah jelas bertujuan untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berpelembagaan dan menggantikannya dengan sebuah Kerajaan Republik. Sikap golongan ini lebih buruk daripada penjajah British yang cuba menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 bagi memindahkan kuasa raja-raja Melayu ketangan Residen British. Rakyat Malaysia harus bangkit dan menyoal segala penghinaan serta tohmahan ke atas kedaulatan Sultan-Sultan yang termaktub dalam perlembagaan negara ini yang juga diperkuasakan di dalam Rukunegara.

Isu ini semakin hangat diperdebatkan di laman media sosial, namun satu perkara yang terserlah adalah semangat kenegaraan di kalangan rakyat yang setia dalam membela asas dan dasar pembentukan Malaysia yang berlandaskan sistem demokrasi raja berperlembagaan.

Hasutan terhadap institusi raja-raja Melayu sebegini adalah perlanggaran Akta Hasutan 1948 dan telah mencabar Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan. Justeru itu, Pemantau Malaysia Baru dan beberapa NGO telah membuat laporan polis terhadap mereka. Walaupun Kadir Jasin telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan, beliau mesti didakwa bagi memberikan pengajaran kepada individu lain yang menderhaka kepada Raja-raja Melayu.

Terdapat dua sebab kenapa Kadir perlu didakwa.  Pertama, beliau merupakan seorang penasihat kerajaan terutamanya dalam bidang Media dan Komunikasi. Tindakan beliau adalah tidak bertanggungjawab malah akan mengakibatkan penularan gejala hasutan ini secara berleluasa. Kedua, beliau selaku veteran dalam bidang kewartawanan dan arif dalam arena politik negara ini telah menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dengan memberi kenyataan yang bercanggah dengan fakta semata-mata untuk menimbulkan sentimen negatif di kalangan rakyat.

Hishamuddin Rais pula belum disiasat untuk sebarang kesalahan hanya kerana beliau telah memadamkan cemuhan dan fitnah beliau terhadap DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong.  Oleh yang demikian, bagi membuktikan slogan Malaysia baru yang menegakkan ‘Rule of Law’, kami menyeru agar pihak berkuasa mengheret kedua-dua penderhaka ini kemuka pengadilan seberapa segera yang mungkin agar mereka berdua dikenakan hukuman yang setimpal. Jika hukuman yang tidak adil dijatuhkan, maka rakyat akan mula menpersoalkan penegakan ‘Rule of Law’ yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan Malaysia baru ini.

LOKMAN ADAM
Presiden
Pemantau Malaysia Baru

Comments

Comments



Loading...