
Khairuddin Abu Hassan
ڤميمڤين امنو ڤرلو جاوهي زاهيد حميدي، سوكوڠ مجليس ڤموليهن نڬارا
Saya rasa ramai pemimpin UMNO sudah sedar tentang agenda peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Saya rasa semua sudah nampak bagaimana Zahid Hamidi berjuang untuk memartabatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Zahid Hamidi berkemungkinan besar melakukan ini dengan harapan Anwar Ibrahim dapat membebaskan semua kes-kes mahkamah beliau jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Biar pun matlamat ini tidak akan tercapai, Zahid Hamidi terdesak dan sedang mengheret UMNO bersama dalam perjuangan peribadinya tanpa menghiraukan masa depan parti atau negara.
Oleh itu, pemimpin-pemimpin UMNO perlu berpaut pada satu resolusi yang akan diterima oleh majoriti ahli parlimen dan menolak bulat-bulat agenda politik Zahid Hamidi.
Misi bersama pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya menumpu kepada usaha membina semula negara daripada kehancuran yang dibawa oleh kerajaan ‘tebk atap’ Perikatan Nasional.
Untuk itu, semua pemimpin UMNO perlu menolak ‘kluster mahkamah’ dan menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin Md Yasin serta kerajaan ‘tebuk atap’.
Satu-satunya cara untuk memacu negara ke hadapan dalam keadaan genting ini ialah menerusi penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pemimpin-pemimpin UMNO harus menyokong padu cadangan ini kerana inilah satu-satunya cara menyelesaikan kemelut pandemik Covid-19, kecelaruan politik, kejatuhan ekonomi serta permasalahan social dan kewangan negara secara effektif.
MPN akan bebas daripada anasir ‘percaturan’ dan ‘pergelutan’ berunsur politik kerana majlis ini akan terdiri daripada tokoh-tokoh negarawan dan pakar-pakar yang akan menumpukan tenaga sepenuhnya terhadap usaha memulihkan negara.
Jadi sokongilah MAJLIS PEMULIHAN NEGARA (MPN) demi kelangsungan masa depan negara dan bangsa, hindari kumpulan politik berkepentingan yang ditolak bulat-bulat oleh rakyat jelata.
Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin UMNO mendengar keluhan rakyat yang sudah muak dengan politik wang, kuasa dan kedudukan dan dahagakan sebuah pentadbiran yang benar-benar berjiwa rakyat.
Inilah satu-satunya peluang untuk pemimpin-pemimpin UMNO menebus kembali maruah mereka.
