“Jika benar Muhyiddin percaya sangat dengan ramalan Merdeka Centre, saya cadangkan beliau tidak membuang masa lagi dan terus menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk bubarkan parlimen agar kita dapat bersama-sama lihat siapa yang kuat dan siapa yang lemah”
Raggie Jessy Rithaudeen
Pada 27hb April 2018, lapan hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian mengisytiharkan bahawa kajian pusatnya menunjukkan Prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka menyamai PRU13.
Di PRU13, Barisan Nasional memenangi hanya 133 kerusi di Dewan Rakyat tetapi mampu membentuk kerajaan yang cukup stabil disebabkan majoriti 22 kerusi yang diperolehi gabungan itu menentang lawannya, Pakatan Rakyat, terdiri dari PKR, DAP dan PAS.
Justeru, berdasarkan ramalan Merdeka Center, Barisan Nasional seharusnya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoritI sekurang-kurangnya 20 kerusi untuk meyakinkan rakyat bahawa Merdeka Center boleh dipercayai.
Malangnya, bukan hanya Barisan Nasional kecundang terus di PRU14, gabungan itu hanya berjaya meraih 79 kerusi di Dewan Rakyat, iaitu penurunan sebanyak 54 kerusi atau 40 peratus berbanding pencapaiannya di PRU13.
Ralat 40 peratus itu merupakan ralat yang teramat besar dalam mana-mana pertimbangan statistik dan merupakan petanda sah analisis atau instrumen yang digunakan oleh Merdeka Centre samada tidak betul atau berat sebelah.
Hari ini, Merdeka Center mendakwa kira-kira 69 peratus pengundi negara ini berpuas hati dan gembira dengan prestasi ditunjukkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ramai mendapatinya agak sukar untuk mempercayai ramalan ini, lebih-lebih lagi memandangkan perpecahan yang berlaku dalam undi Melayu-Islam disebabkan faktor-faktor berikut:
1. Perselisihan terbuka UMNO dan PAS berhubung penyertaan dalam Perikatan Nasional
2. Penyertaan PAS secara rasmi dalam Perikatan Nasional bersama PPBM tanpa UMNO
3. Penolakkan Perikatan Nasional oleh UMNO tanpa berbincang terlebih dahulu dengan PAS
4. Perselisihan berhubung agihan kerusi antara UMNO dan PAS di Terengganu, Kedah dan beberapa kawasan lain.
5. Perselisihan berhubung agihan kerusi antara UMNO dan PPBM di semua kawasan serta amaran terbuka pemimpin-pemimpin UMNO terhadap PPBM untuk “berjaga-jaga” dan “jangan main-main dengan BN.”
6. Penglibatan PPBM dalam Muafakat Nasional walaupun Muhyiddin membenarkan bukan Muslim pegang jawatan dalam parti.
7. Perpecahan teruk dalam PPBM yang hilang hampir 80 peratus daripada pemimpin bahagian dan cawangan serta akar umbinya disebabkan hala tujunya yang terpesong dari mandat asal.
8. Ketidakyakinan sebilangan besar pengundi Melayu-Islam terhadap konsep Muafakat Nasional disebabkan kemasukan PPBM dan Datuk Seri Azmin Ali ke dalam gabungan itu.
9. Ketidakyakinan sebilangan besar pengundi Melayu-Islam terhadap konsep Muafakat Nasional disebabkan kegagalan PAS dan UMNO mendaftarkan gabungan itu.
10. Ketidakyakinan sebilangan besar pengundi Melayu-Islam terhadap Perikatan Nasional disebabkan tindakan Muhyiddin mengagihkan jawatan agensi kerajaan dan GLC kepada ahli parlimen dalam kadar tertinggi di sejarah tanah air.
11. Ketidakyakinan sebilangan besar pengundi Melayu-Islam terhadap Muhyiddin yang sanggup bersekongkol dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO yang menjadi sebab utama PPBM ditubuhkan.
12. Ketidakyakinan pemimpin dan akar umbi PPBM di kawasan Muhyiddin sendiri (Pagoh) dan Johor yang kini di ambang keruntuhan.
Justeru, Muhyiddin tak usahlah melonjak-lonjak kegembiraan kerana mustahil 69 peratus pengundi negara ini berpuas hati dan gembira dengan prestasinya, khususnya setelah Pilihan Raya Kecil di Slim membuktikan prestasi UMNO dan PAS tidak meningkat walau seinci pun (rujuk analisis menerusi artikel bawah).
Jika benar Muhyiddin percaya sangat dengan ramalan Merdeka Centre, saya cadangkan beliau tidak membuang masa lagi dan terus menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk bubarkan parlimen agar kita dapat bersama-sama lihat siapa yang kuat dan siapa yang lemah.
RUJUK JUGA:
Pendedahan: Keputusan Slim petanda buruk bagi Muafakat Nasional, inilah sebabnya…
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
