“Hasrat Pakatan Harapan untuk bertapak di Felda adalah angan semata. Ini kerana warga Felda menyedari memberi sokongan kepada Pakatan Harapan boleh menjejaskan masa depan mereka”
Salleh Said Keruak
1. Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
2. Tujuannya adalah untuk membasmi kemiskinan orang Melayu melalui rancangan pembangunan tanah dengan penanaman tanaman sawit dan getah.
3. Sejak penubuhannya, Felda membangun pesat dengan memiliki 850,000 hektar tanah tanaman, 38 buah anak syarikat, 75 buah kilang minyak kelapa sawit, dan 7 buah kilang pengekstrak minyak kelapa sawit.
4. Dengan keluasan tanamannya, Felda menguasai 20% pasaran kelapa sawit di dunia dengan pendapatannya mencecah RM15 bilion setahun.
5. Felda sangat disayangi orang Melayu kerana kejayaannya memajukan orang Melayu dan mengubah taraf hidup golongan Melayu miskin di luar bandar.
6. Justeru sayangnya Melayu pada Felda, maka Felda selalu disinonimkan dengan deposit tetap Parti Pemerintah.Ini dapat dilihat dari keputusan PRU 2013. Dalam pilihan raya ini, peratusan pengundi Felda yang mengundi UMNO/BN cukup signifikan: peratusan tertinggi ialah Sabah (92%), Johor (86%), Perlis (78%), Negeri Sembilan (77%), Perak (75%), Melaka (74%), Kedah (74%), Selangor (73%), Terengganu (67%), Pahang (67%), dan Kelantan (61%).
7. Dengan sokongan pengundi Felda kepada Pemerintah adalah satu tugas sukar untuk Pakatan Harapan memenangi kerusi Felda dalam PRU ke-14.
8. Ini kerana jasa Parti Pemerintah yang ditunjangi oleh UMNO yang memberi bantuan kewangan dan subsidi, bonus tahunan, menjaga kebajikan mereka, dan pelbagai bantuan lain. Jasa ini memberi keyakinan kepada mereka bahawa Parti Pemerintah adalah parti terbaik untuk mengurus negara.
9. Dengan keyakinan pengundi Felda kepada Pemerintah ini, maka hasrat Pakatan Harapan untuk bertapak di Felda adalah angan semata. Ini kerana warga Felda menyedari memberi sokongan kepada Pakatan Harapan boleh menjejaskan masa depan mereka.
Sumber: sskeruak.blogspot.my
