“Jika kerajaan tidak mampu mengawal harga barang sehingga terpaksa menghentikan atau mengurangkan subsidi, masakan peniaga dan orang tengah tidak akan meningkatkan lagi harga ayam dan telur untuk ‘menampung’ kehilangan subsidi kerajaan”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤڠوراڠن سوبسيدي هرڬ ايم: لوڬيق كراجأن چاچت، مڠليروكن
Logik yang diketengahkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri berhubuing pengurangan subsidi ayam adalah cacat jika diambil kira semua perkembangan semenjak isu ini mula menjadi tumpuan.
Semalam, Ismail Sabri menjelaskan, pengurangan subsidi harga ayam dibuat kerajaan bagi membolehkan ia disalurkan secara terus kepada rakyat melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
“Kita ambil sikit (kurangkan) bagi terus pada rakyat (melalui BKM), dulu (subsidi) RM1.40 sen kini RM1.20 sen,” katanya.
Dalam menjelaskan sebab sebenar langkah ini diambil, Ismail Sabri berkata, subsidi harga ayam yang diberikan kerajaan kini bukan hanya dinikmati rakyat negara ini, malah juga dikongsi warga asing.
Namun, apabila Ismail Sabri mengumumkan pembatalan subsidi kepada penternak ayam bulan lalu, alasan yang diberikan ialah harga tidak kekal seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM8.90 sekilogram.
“Dengan belanja RM700 juta untuk subsidi, harapan kerajaan tidak tercapai kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga,” dakwa beliau.
Persoalannya, mana satukah alasan yang sebenar – adakah kerajaan ingin menghalang “peniaga daripada mengambil kesempatan” atau menghalang “warga asing daripada menikmati subsidi kerajaan?”
Inilah yang mengelirukan rakyat.
Terus terang, alasan asal kononnya subsidi perlu dibatalkan bagi menghalang “peniaga daripada mengambil kesempatan” menerima kecaman rakyat, dan disebabkan itu, Ismail Sabri terpaksa meneruskan pemberian subsidi untuk ‘menyejukkan’ keadaan.
Biarpun begitu, pemberian subsidi diteruskan pada kadar yang ‘dikurangkan’ dengan alasan baharu kononnya “warga asing daripada perlu dihalang daripada menikmati subsidi kerajaan.”
Persoalannya, jika benar kerajaan ingin menghalang “warga asing daripada menikmati subsidi kerajaan,” kenapakah kerajaan tidak menyalurkan subsidi ini terus kepada rakyat dari awal lagi?
Tidakkah kerajaan sedar bahawa apa jua bentuk subsidi yang diberikan kepada penternak ayam turut akan dikongsi oleh warga asing?
Di sini sahaja dapat dilihat bahawa alasan kononnya kerajaan ingin menghalang “warga asing daripada menikmati subsidi kerajaan” lebih berupa “pertimbangan susulan” apabila kerajaan dikecam teruk.
Hakikatnya, rakyat Malaysia tidak boleh menerima pembatalan subsidi harga ayam atas kesedaran bahawa kerajaan tidak mampu mengawal harga barang daripada terus menggila.
Logiknya, jika kerajaan tidak mampu mengawal harga barang sehingga terpaksa menghentikan atau mengurangkan subsidi, masakan peniaga dan orang tengah tidak akan meningkatkan lagi harga ayam dan telur untuk ‘menampung’ kehilangan subsidi kerajaan.
Inilah masalahnya apabila kerajaan tidak merangka satu dasar komprehensif dan pelan-pelan tindakan susulan bagi menangani masalah ekonomi dan kenaikan haraga barang.
Seharusnya, Ismail Sabri menumpu terlebih dahulu kepada masalah terbesar yang dihadapi kerajaan, iaitu kegagalan mengawal tindak tanduk peniaga dan orang tengah yang berani menaikkan harga barang sewenang-wenangnya dan cara-cara mengatasi kegagalan ini.
