
“Yang di-Pertuan Agong secara tidak langsung menidakkan penangguhan sidang parlimen dan pembentangan Belanjawan 2021 serta proses pengundian Belanjawan tersebut menurut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan walaupun Baginda Tuanku menekankan pentingnya Belanjawan itu bagi rakyat jelata”
Raggie Jessy Rithaudeen
Keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah bahawa tidak ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia sepertimana yang diminta oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan petanda jelas Raja-Raja Melayu tidak sependapat dengan kerajaan persekutuan berhubung cadangan terbaru menangani wabak Covid-19.
Manakala itu, permohonan untuk melaksanakan darurat mengikut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini merupakan satu pengakuan daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin bahawa pentadbirannya gagal menangani masalah Covid-19 biarpun Muhyiddin menerajui Kabinet yang terbesar dalam sejarah tanah air.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kepercayaan Baginda Tuanku terhadap keupayaan kerajaan untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung wabak Covid-19, hakikatnya, penolakkan permohonan Darurat merupakan mesej jelas Muhyiddin harus menghormati proses-proses perundangan dan urus tadbir persekutuan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Juesteru, Yang di-Pertuan Agong secara tidak langsung menidakkan penangguhan sidang parlimen dan pembentangan Belanjawan 2021 serta proses pengundian Belanjawan tersebut menurut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan walaupun Baginda Tuanku menekankan pentingnya Belanjawan itu bagi rakyat jelata.
Penolakkan permohonan Darurat turut bermakna Yang Di-Pertuan Agong tidak yakin bahawa penularan wabak Covid-19 memerlukan kuasa lebih diberikan kepada Perdana Menteri untuk mengambil langkah-langkah tertentu kerana Muhyiddin sehingga kini tidak terkekang langsung untuk melakukan apa yang patut bagi memerangi wabak Covid-19 yang diakuinya sendiri berada pada tahap “terkawal.”
Berdasarkan perkembangan ini, seeloknya, Muhyiddin meletakkan terus jawatan bagi membenarkan proses pelantikan Perdana Menteri baharu dan penubuhan sebuah kerajaan yang lebih bertanggungjawab, berjiwa rakyat dan mampu menangani wabak Covid-19 dengan lebih berkesan.
Sebentar tadi, saya menulis (link artikel penuh di bawah):
Tidak ada sebab munasabah bagi Muhyiddin mencadangkan Proklamasi Darurat, kerana bukan hanya pihak kerajaan tidak terkekang langsung dalam melaksanakan sebarang dasar sepertimana yang sedang dilaksanakan kini bagi memerangi wabak Covid-19, hanya negeri Sabah yang benar-benar terjejas teruk disebabkan wabak itu, bukannya satu Malaysia.
Setakat ini, segala langkah pencegahan yang diambil sudah memadai, dan tidak pernah ada sebarang laporan atau bukti yang menunjukkan pihak hospital kerajaan mengalami kekangan dari segi kekurangan peralatan atau katil disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 hingga mampu membawa ancaman serius kepada kesihatan rakyat jelata.
Dan jika ya pun berlaku kekangan sedemikian, tidak ada apa-apa langkah yang boleh diambil oleh Majlis Keselamatan Negara menerusi Proklamasi Darurat yang tidak boleh diambil kini menerusi undang-undang yang sedia ada dengan kadar segera tanpa bantahan daripada mana-mana pihak.
Jadi cukup jelas bahawa cadangan Proklamasi Darurat yang dikemukakan oleh Muhyiddin kepada Yang Di-Pertuan Agong tidak masuk akal dan hanya akan meningkatkan ketegangan di kalangan rakyat jelata, yang sehingga kini amat berdisiplin dan tidak pernah menentang sebarang usaha kerajaan untuk mengawal pergerakan.
Rakyat juga cukup selesa dengan tindakan Muhyiddin mengerahkan pihak Tentera Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mengawal pergerakan dan tidak pernah berhimpun untuk menentang sebarang dasar kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19.
Amat nyata bahawa Muhyiddin hanya sedang cuba menyelamatkan tengkuknya agar beliau boleh kekal berkuasa malah memperolehi kuasa tambahan, mungkin untuk cuba menghukum mereka yang mengkritik pentadbirannya.
Berdasarkan hujah-hujah ini, saya dengan ini mencadangkan agar Muhyiddin tidak membuang masa lagi dan terus meletakkan jawatan atau bersetuju menjadikan pembentangan usul tidak percaya terhadapnya sebagai agenda utama apabila parlimen bersidang kelak.
BACA:
Kerajaan Muhyiddin perlu tumbang untuk selamatkan rakyat dari wabak Covid-19
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
