“Percayalah, tindakan terbaru Bung Moktar untuk menghalang Musa Aman daripada bertanding di Pilihan Raya Sabah merupakan serangan hendap kem Najib terhadap Muhyiddin dan percubaan terdesak Najib untuk cuba mengawal negeri Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15”
Raggie Jessy Rithaudeen
Setelah menafikan bahawa nama Tan Sri Musa Aman tiada dalam senarai calon UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mengaku bahawa nama Musa tidak disenarai dengan alasan Musa tidak pernah meminta untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional.
Pengakuan itu dibuat selepas Bung mengumumkan nama calon-calon Umno dalam pilihan raya Sabah yang akan melihat Barisan Nasional bertanding di 31 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Musa merupakan pilihan utama kem Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebelum ini dikerahkan untuk menumbangkan kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.
Mengimbas kembali, pada 29hb Julai 2020, Musa membuat sidang media tergempar bagi mengumumkan beliau mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
Walaubagaimanapun, beliau tidak menunjukkan sebarang bukti memiliki majoriti tersebut menyebabkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, mengisytiharan Shafie masih Ketua Menteri yang sah kerana masih memegang sokongan majoriti.
Keesokkan harinya, Shafie bertindak menasihati Yang Di-Pertua Negeri Sabah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya menerima gazet dari Tun Juhar Mahiruddin, sekaligus mengesahkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah terbubar.
Tindakan Shafie menyebabkan Musa tidak berpuas hati dan cuba untuk berjumpa dengan Yang Di-Pertua Negeri pada hari berikutnya.
Walaubagaimanapun, rombongan Musa bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang jelas kelihatan tidak cukup majoriti dihalang daripada memasuki perkarangan Istana oleh pihak polis yang mengadakan sekatan jalan.
Musa dikatakan naik berang lalu cuba untuk melanggar terus sekatan jalan itu tetapi akhirnya berjaya ‘dijinakkan’ oleh petugas polis.
Sebelum ini, saya berulang kali membongkarkan perpecahan teruk yang berlaku dalam UMNO Sabah dan perselisihan antara kumpulan Bung (yang setia kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kumpulan Musa (yang setia kepada Muhyiddin).
Malah, dalam satu laporan yang disiarkan TTF pada 5hb Ogos 2020, saya memberitahu bahawa pertikaian antara Bung dan Musa disebabkan oleh tindakan Musa yang cuba mengawal kembali UMNO Sabah dan permohonan Datuk Seri Salleh Keruak untuk memasuki semula UMNO.
Pada mulanya, Bung menafikan laporan itu.
Walaubagaimanapun, perselisihan itu akhirnya tidak dapat diselindung lagi apabila Datuk Seri Rahman Dahlan menyelar terus Bung secara terbuka sambil mempersoalkan kebolehan Bung mengetuai kempen Pilihan Raya Sabah.
Percayalah, tindakan terbaru Bung untuk menghalang Musa daripada bertanding di Pilihan Raya Sabah merupakan serangan hendap kem Najib terhadap Muhyiddin dan percubaan terdesak Najib untuk cuba mengawal negeri Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
