“Seandainya Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan pertembungan tiga blok ‘gergasi’, blok Mahathir akan menjadi blok Kuasa Ketiga”
Raggie Jessy Rithaudeen
Hari ini saya akan memberi maklum balas terhadap beberapa soalan dan komen (dalam biru, bold) yang dikirimkan kepada saya oleh Vincent Freddie Albert. Untuk tujuan ini, saya menambah beberapa soalan agar perbincangan serta pembentangan hujah-hujah saya akan lebih lancar dan teratur.
Berikut merupakan bahagian pertama maklum balas saya kepada Vincent:
1. Mungkinkah “penjajaran” semula politik tanah air yang berlaku kini mendapat “restu” daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Saya tidak boleh komen buat ketika ini samada ianya mendapat “restu” daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad atau tidak. Walaubagaimanapun, andai kata parlimen dibubarkan, pertimbangan yang harus dibuat akan jauh berbeza daripada pertimbangan jika misi Mahathir adalah untuk “mengambil alih” kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
Dalam senario kedua, perkara yang perlu diberi keutamaan ialah sokongan ahli-ahli parlimen terhadap Mahathir. Ini merangkumi ahli-ahli parlimen dari PPBM, Sabah, Sarawak dan sebilangan besar dari UMNO.
2. Tapi bukankah UMNO kini tegar bersama Perikatan Nasional?
Tidak.
UMNO kini terbelah kepada dua bahagian – “team A,” dan “team B.” Team A merupakan kumpulan minoriti yang berhajat “menakluki” kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Team B pula merupakan kumpulan majoriti yang ingin perubahan mendadak dalam UMNO.
Masalahnya, beberapa pemimpin dari Team B terpaksa membuat kerja secara senyap kerana tidak ingin dilihat sebagai “pemecah perpaduan ummah.” Sebelum kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tumbang, mereka terlibat secara langsung dengan pencaturan ke arah pembentukan sebuah kerajaan perpaduan bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam tanpa mengambil kira parti.
Hari ini, seorang dua daripada kumpulan berkenaan sedang mencatur ke arah yang sama kerana tahu kerajaan pimpinan Perikatan Nasional rapuh dan tidak stabil. Mereka sebenarnya tahu sudah berlaku peralihan majoriti melibatkan sekumpulan ahli parlimen dari PPBM dan UMNO.
3. Mengapakah pemimpin Team B perlu buat kerja secara senyap?
Sebab PAS.
Sebelum kerajaan pimpinan perikatan Nasional tumbang, beberapa pemimpin PAS turut terlibat dalam pencaturan yang saya sebutkan di atas. Ini termasuklah Datuk Takiyuddin Hassan dan juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Malangnya, ada sekumpulan pemimpin dari PPBM dan PKR (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kumpulan pemisah”) inginkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tumbang lebih awal daripada yang dirancang kerana tidak sabar.
Atas ketidaksabaran inilah tercetusnya langkah Sheraton apabila seorang dua pemimpin Team A ‘mencucuk’ ahli-ahli kumpulan pemisah dengan ‘jarum kerisauan’. Ahli-ahli ini diberitahu bahawa tidak mustahil Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperolehi sokongan majoriti mudah jika PPBM menunggu hingga selepas sidang kemuncak APEC untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Team A itu turut berjaya meyakinkan PAS bahawa Mahathir bersetuju untuk kerajaan pimpinan Pakatan Harapan ditumbangkan menerusi Langkah Sheraton. Pemimpin-pemimpin PAS seperti Takiyuddin dan Ahmad Samsuri kini sedar mereka ditipu oleh Team A tetapi malu untuk mengakuinya.
Mungkin juga Takiyuddin khuatir akan timbul kemarahan penyokong PAS jika ada tanda-tanda keretakkan dalam Muafakat Nasional. Apa pun, PAS terpaksa duduk diam dan terus berbaik dengan Team A biarpun tahu apa yang benar-benar terjadi. Atas sebab inilah Team B, walaupun merupakan blok majoriti dalam UMNO, tidak mampu mencantas Team A.
Selagi PAS berganding bahu dengan Team A, selagi itulah Team A kekal “relevan.” Dan selagi Team B tidak yakin PAS akan bersama jika terbentuk gabungan perpaduan baru, selagi itulah pemimpinnya akan cuba menutup keretakan yang berlaku dalam UMNO dan elak daripada bertembung terus dengan Team A. Percayalah, Team B tidak berani bertembung dengan Team A kerana tidak ingin dilihat sebagai “dalang kehancuran perpaduan ummah.”
Apa pun, perpecahan sememangnya sudah berlaku.
4. Siapa lagi bersama Mahathir?
Sekumpulan ahli parlimen dari PKR dan AMANAH yang kini duduk atas pagar. Mahathir turut memiliki sokongan majoriti pemimpin atasan DAP yang bersetuju tidak akan memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Andai kata lima hingga enam ahli parlimen dari PKR beralih ke blok kerajaan sekalipun, sokongan majoriti kini memihak kepada kem Mahathir dalam jumlah yang agak selesa (antara 115 – 119 tanpa kem Anwar).
5. Bukankah anda bodoh kerana membongkarkan strategi?
Siapa kata saya terlibat dengan strategi?
Saya bebas. Saya penganalisis.
6. Bagaimana jika parlimen dibubarkan?
Pertimbangan-pertimbangan yang perlu diberi keutamaan oleh Mahathir akan berubah.
Pertama, Mahathir tidak lagi akan perlukan Anwar dan tidak perlu memikirkan soal “bilangan kerusi dalam Dewan Rakyat.” Ini memandangkan kesemua ahli parlimen tidak akan lagi memiliki kerusi-kerusi yang kini dimiliki mereka. Justeru, pertimbangan Mahathir akan lebih menjurus ke arah kepimpinan parti dan bilangan individu berkelayakan yang boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Kedua, sudah pasti majoriti dari Team B dan juga mereka dari PPBM yang tidak diberi peluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya (oleh UMNO) akan lari ke kem Mahathir. Saya difahamkan, GPS dan WARISAN akan bersama Mahathir pada ketika itu. Melihatkan keadaan ini, DAP dan AMANAH sudah pasti akan menyertai kem Mahathir secara en bloc, bersama mereka dari PKR yang kini duduk atas pagar.
Apa yang tinggal adalah Team A (UMNO), PAS, kem Tan Sri Muhyiddin Yassin (yang dijangka akan sertai Team A jika tidak berbaik semula dengan Mahathir) dan cebisan PKR yang masih lagi bersama Anwar. Memandangkan PAS tidak sekali-kali akan bersetuju untuk bersama Anwar, Pilihan Raya Umum ke-15 akan menyaksikan pertembungan tiga blok utama – blok Mahathir, blok UMNO (Team A)-PAS dan blok Anwar.
Pada ketika itu, Anwar sudah pasti akan cuba berbaik semula dengan Mahathir.
7. Bagaimana jika DAP dan AMANAH buat keputusan untuk bersama Anwar?
Tidak akan berlaku.
Ini kerana DAP tidak ingin hilang pengaruh di Sabah dan Sarawak. Pertembungan tiga penjuru antara Muafakat Nasional, blok Mahathir (WARISAN) dan blok Anwar (DAP, andaikata DAP bersama Anwar) di Sabah dijangka akan memihak kepada blok Mahathir (WARISAN) kerana undi anti WARISAN akan berpecah.
Begitu juga, pertembungan tiga penjuru di Sarawak antara Muafakat Nasional, blok Mahathir (GPS dan sekutu lain) serta blok Anwar (DAP) berkemungkinan besar akan memihak kepada blok Mahathir (GPS) kerana undi anti GPS akan berpecah.
Turut dapat dinafikan ialah kedudukan WARISAN di Sabah yang agak kuat pada ketika ini kerana penolakan parti berkenaan terhadap Perikatan Nasional “atas dasar prinsip.” Manakala itu, GPS, biarpun ‘menyokong’ kerajaan, tegas dengan prinsip “tidak akan sertai Perikatan Nasional secara rasmi.”
Ini bermana undi-undi anti WARISAN dan anti GPS tidak cukup besar untuk menggangu-gugat kedudukan parti-parti berkenaan di negeri masing-masing. Seandainya untu-undi ini berpecah, ianya sudah pasti akan memihak kepada mereka. Muafakat Nasional juga difikirkan tidak mempunyai ‘saham’ besar di Sabah dan Sarawak disebabkan “faktor PAS.”
Atas faktor-faktor inilah DAP dan AMANAH akan sertai blok Mahathir.
8. Apabila PRU ke-15 diadakan, adakah akan terbentuk sebuah “pakatan politik” yang mampu memperoleh majoriti selesa berbanding majoriti tipis yang diperoleh Pakatan Harapan dan juga Perikatan Nasional kini? Majoriti selesa akan mengurangkan kemungkinan berlakunya “rompakan” kerajaan.
Seandainya Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan pertembungan antara tiga blok ‘gergasi’, blok Mahathir akan menjadi blok Kuasa Ketiga. Memandangkan undi-Melayu-Islam akan berpecah teruk pada ketika itu, kemenangan dijangka akan memihak kepada Kuasa Ketiga kerana pertembungan tiga penjuru akan memecahkan lagi undi anti-Mahathir.
Cina, India, Kadazan, Iban dan kumpulan-kumpulan etnik yang lain sudah pasti akan duduk bersama Kuasa Ketiga biarpun DAP mengumumkan tidak akan menjawat lagi jawatan penting dalam kerajaan persekutuan. Apa pun, selesa manapun majoriti yang diperolehi oleh Kuasa Ketiga, politik Malaysia dewasa ini tidak menjamin kestabilan kepada mana-mana gabungan parti.
Bersambung…
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
