Sazali Yunus
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menasihatkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, supaya melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan segera dan mencari pengganti yang bersesuaian untuk jawatan berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengahari tadi, Muhyiddin menegaskan bahawa mesyuarat Kabinet telah membuat keputusan yang jelas mengenai perkara tersebut kepada Maszlee.
“Saya fikir dia telah memberi respon yang dia memerlukan masa, saya hendak menasihatkan yang dia sepatutnya meletakkan jawatan (Presiden UIAM) secepat mungkin dan dalam tempoh itu, cari pengganti yang bersesuaian untuk ambil alih.
“Ini kerana ia merupakan keputusan tegas daripada parti dan kerajaan, saya fikir Dr. Maszlee sepatutnya tahu mengenainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini,” kata Muhyiddin.
Sazali difahamkan bahawa kenyataan Muhyiddin berpunca daripada pergelutan dalaman yang kian membuas di antara penyokong-penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan penyokong-penyokong Menteri Dalam Negeri tersebut.
Menurut sumber, penyokong-penyokong Muhyiddin tidak berpuas hati dengan barisan kabinet Mahathir dan sekaligus telah memberikan tekanan kepada Mahathir supaya beberapa menteri kabinet diberikan kata putus kerana melanggar manifesto Pakatan.
