“Masalahnya pemimpin Melayu, bukannya orang Melayu. Pemimpin keluarga besar pembangkang sudah ‘rosak’. Berhenti bohongi ummah”
Raggie Jessy Rithaudeen
Baru-baru ini, selepas kritikan demi kritikan saya terhadap kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan persekitaran pembangkang, sudah bermula perbincangan sana sini punca sebenar Melayu tidak boleh bersatu.
Beginilah…
Apabila anda memulakan ayat dengan “Melayu tidak boleh bersatu sebab… “, saya terus tidak minat dengar.
Sebabnya, pihak yang berbincang (termasuk seorang dua ahli politik) tidak sedar diri.
Masalahnya bukan orang Melayu. Masalahnya pemimpin Melayu berkepentingan yang menjaja perjuangan “penyatuan Melayu.”
Lihat sahaja keluarga besar pembangkang – ada PAS, ada Bersatu, ada Perkasa, ada Berjasa, ada Proklamasi Orang Melayu, ada Putra…ada macam-macam lagi…
Berbelas-belas puak, semuanya perjuangkan Agama, Bangsa dan Negara, semuanya melaung-laungkan “Melayu bersatu” dan “bangkit Melayu.”
Masuk akal?
Melayu sudah lama bangkit, sudah lama ingin bersatu. Yang masih lena dan mengaburi mata ummah tak lain tak bukan kepimpinan puak-puak ini.
Mereka berkepentingan, dan kepentingan ini mengatasi kepentingan Agama, Bangsa dan Negara.
Lihat sahaja PAS dan Bersatu – duduk di bawah satu bumbung namun bergeser tak tentu hala. Sebabnya? Sebab isu kerjasama dengan UMNO dan siapa harus jadi calon Perdana Menteri.
Itu baru satu daripada banyak isu yang mencetus ‘perang dingin’ tak berkesudahan, dan tidak ada satu pun daripada isu-isu ini berkait perjuangan Agama, Bangsa dan Negara.
Sudah lama saya beri penyelesaian, dan mana-mana pemimpin Melayu yang tidak mengiktiraf penyelesaian saya samada membohongi ummah atau diri mereka sendiri, atau kedua-duanya sekali.
Penyelesaiannya begini:
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, Al-Sultan Abdullah membuat Titah cadangan agar PN, PH dan BN menubuhkan kerajaan perpaduan.
Setelah berdolak dalik, dan setelah krisis yang tiba-tiba menyelubungi BN berhubung kerjasama dengan PH berjaya dilerai, akhirnya BN dan PH bersetuju. Tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju.
Sebabnya?
Sebab DAP katanya…
Tahukah anda kenapa alasan ini tidak masuk akal?
Jika PN terima Titah cadangan Al-Sultan Abdullah, jumlah MP UMNO dan PN sahaja berjumlah 100 orang.
Jika kita tambah MP Melayu daripada PKR dan Amanah kepada jumlah itu, sudah wujud blok Melayu-Islam dengan majoriti yang cukup selesa, malah terbesar dalam sejarah tanah air.
Bukankah ini penyatuan Melayu-Islam menyeluruh dalam ertikata sebenar? Adakah logik blok ini boleh didominasi atau dibayangi oleh DAP?
Bukankah impian keluarga besar pembangkang selama ini penyatuan Melayu-Islam menyeluruh untuk memelihara Agama dan bangsa daripada ancaman?
Bagaimana pulak Muhyiddin menolak peluang untuk mewujudkan blok penyatuan terbesar dalam sejarah atas alasan adanya DAP?
Adakan Muhyiddin mencadangkan bahawa Melayu ni penakut atau tiada kemampuan mempertahankan diri daripada ancaman, sekalipun wujud blok penyatuan Melayu-Islam terbesar dalam sejarah?
Jika itulah kebenarannya, kenapa masih melaung-laungkan “Melayu bersatu” dan “bangkit Melayu?”
NAMPAK?
Semua puak ini berkepentingan, dan semuanya ingin menonjol dan dan mahu calon masing-masing menjadi Perdana Menteri.
Barangkali mereka terlalu membenci Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga menjaja segala apa yang boleh dijaja untuk ‘menghalalkan’ percubaan tumbangkan kerajaan.
Ini adalah perebutan kuasa, bukannya perjuangan penyatuan Melayu-Islam.
Mereka mahu kerajaan tumbang agar mereka boleh wujudkan pasukan sendiri yang tiada kaitlan langsung dengan misi penyatuan Melayu-Islam menyeluruh.
Jika benar mereka utamakan penyatuan Melayu-Islam, mereka akan patuhi Titah cadangan Al-Sultan Abdullah dan melupakan hasrat untuk menumbangkan kerajaan sehingga parlimen bubar.
Dan jika benar mereka utamakan penyatuan, mustahil akan kekal satu gabungan bernama PN, diwakili dua parti yang memperjuangkan benda sama dan dikelilingi pulak oleh belasan parti dan ngo yang melaung-laungkan benda yang sama itu.
Masalahnya pemimpin Melayu, bukannya orang Melayu. Pemimpin keluarga besar pembangkang sudah ‘rosak’. Berhenti bohongi ummah.
