Salleh Said Keruak
1. Pada tahun 2005, Prof. W. Chan Kim dan Renee Mauborgne dalam karya mereka “Blue Ocean Strategy” memperkenalkan Strategi Lautan Biru. Strategi ini berbeza dengan Strategi Lautan Merah. Strategi Lautan Merah merujuk kepada suasana persaingan dalam perniagaan, manakala Strategi Lautan Biru pula merujuk kepada penciptaan ruang pasaran yang tidak ada persaingan dalam perniagaan.
2. Dalam politik juga begitu. Strategi Lautan Merah merah sinonim dengan darah, mati, luka, dan dendam dengan pesaing. Oleh itu, pendekatan ini perlu dielakkan. Strategi Lautan Biru pula sinonim dengan memberi tumpuan kepada isu sebenar dalam politik, dan mengutamakan strategi dan perancangan dalam mengambil keputusan politik.
3. Dalam Lautan Biru, sokongan politik adalah dicipta, bukannya dipaksa. Mencipta sokongan inilah yang memerlukan kepakaran, pemikiran dan perancangan. Oleh sebab itulah, literatur telah menunjukkan tokoh politik seperti Barrack Obama, Justin Trudeau dan Emmanuel Macron menggunakan pendekatan Lautan Biru dalam kempen mereka. Kempen mereka menggunakan maklumat digital, berita mereka tepat dan cepat, tawaran produk politik mereka menarik, komunikasi dengan rakyat disampaikan dengan mudah dan bertenaga, manifesto mereka mudah difahami dan jelas. Seperti kata Albert Einstein: ”Everything should be made as simple as possible, but not simpler.”
4. Ke depannya, politik kita perlu mengadaptasikan Strategi Lautan Biru ini. Kita perlu bersedia dengan politik digital, dan big data untuk mengurus maklumat pilihan raya. Melakukan hal ini bukan mudah, dan oleh itu, kita perlu meningkatkan pendidikan politik rakyat sesuai dengan perkembangan ilmu dan teknologi masa kini. Sesungguh Strategi Lautan Biru bukan sahaja untuk aktiviti perniagaan.
Source: sskeruak.blogspot.my
