Permuafakatan terpimpin jadikan BN terus relevan

Salleh Said Keruak

1. Di dunia hari ini, terdapat beberapa negara yang mengamalkan politik permuafakatan.  Antaranya ialah Belanda (antara Protestan dan Katolik), Belgium (antara orang Walloon yang berbahasa Perancis dengan Flemish yang berbahasa Belanda), Lubnan (antara puak Syiah, Sunni dan Kristian Maronit), Ireland Utara (antara Katolik dan Protestan), Bosnia Herzegovina (antara orang Islam, Croat dan Serb), dan Macedonia (antara keturunan Slav dan Albania).




2. Namun, tiada satu pun negara di atas yang dapat menandingi rekod kejayaan politik permuafakatan BN, sedangkan struktur sosial masyarakat Malaysia jauh lebih rencam berbanding negara-negara di atas. Apakah formula kejayaan Malaysia? Pertama, BN bukanlah hanya sekadar gabungan parti politik yang mewakili pelbagai etnik, tetapi juga sebuah muafakat politik yang bersifat holistik dan integratif, yakni merentas ras dan tidak terbatas di Semenanjung sahaja, tetapi juga di seluruh wilayah Malaysia.  Kedua, permuafakatan politik BN menggalakkan partisipasi aktif akar umbi, tidak hanya terbatas kepada kerjasama elit sahaja.  Ketiga, kukuhnya permuafakatan BN adalah terletak pada parti terajunya, iaitu Umno yang telah berjaya membina kerjasama kukuh dengan semua parti komponennya.

3. Kejayaan BN yang diterajui oleh Umno ini menyebabkan parti pembangkang cuba memplagiat formula ini, namun ternyata kesemuanya tidak mampu bertahan seperti mana berkuburnya APU, Gagasan Rakyat, dan PR. Mengapa? Pertama, pakatan pembangkang hanya tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain kerana mereka mempunyai ideologi politik yang terlalu berbeza. Kedua, pakatan pembangkang bergantung kepada personaliti seorang pemimpin sahaja. Misalnya, APU bergantung kepada Tengku Razaleigh Hamzah, PR kepada DS Anwar Ibrahim, dan kini PH bergantung pula kepada Tun Mahathir. Ketiga, pakatan pembangkang tidak mempunyai sebuah parti dominan yang memimpinnya seperti mana Umno memimpin BN.

4. Kesimpulannya, hanya BN satu-satunya pakatan politik yang jitu permuafakatannya. Permuafakatan BN di era Najib adalah yang paling baik ekoran kehebatan beliau sebagai seorang pemimpin transformatif multikulturalis. Ini membolehkan UMNO dan BN mendapat sokongan setiap lapisan rakyat Malaysia yang berbilang kaum—pengundi tua dan muda, pengundi bandar dan luar bandar, penjawat awam dan pekerja swasta, rakyat Sabah dan Sarawak. Permuafakatan holistik dan integratif, serta permuafakatan terpimpin bakal membawa BN menang selesa dalam PRU-14.

Sumber: sskeruak.blogspot.my



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...