PKR: TAAT SETIA KAMI KEPADA TUN DR MAHATHIR HANYA UNTUK TEMPOH 2 TAHUN SAHAJA

Kamarul Yusoff

Parti Keadilan Rakyat (PKR), melalui kenyataan media Majlis Pimpinan Pusatnya hari ini, 24 Februari 2019, telah menyatakan taat setianya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegas PKR: “PKR berpegang teguh kepada persetujuan yang telah dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018, di mana Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh 2 tahun. PKR menegaskan bahawa pendirian parti dalam perkara ini tidak berubah.”

Bagaimanapun, implikasi kenyataan Majlis Pimpinan Pusat PKR ini adalah bahawa taat setianya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah untuk “tempoh 2 tahun” sahaja.

Menarik juga bila kenyataan Majlis Pimpinan Pusat PKR ini memetik Muafakat Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018 sebagai menyebut “manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh 2 tahun”.


Hakikatnya ayat sebenar yang digunakan dalam Muafakat Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018 adalah “agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8”.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, juga menyatakan pada 1 Januari 2019 bahawa “Pakatan Harapan tidak pernah membincangkan tempoh untuk Tun Dr Mahathir Mohamad menjawat jawatan Perdana Menteri” dan “apa yang dipersetujui adalah selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih”.

Secara sekali imbas bolehlah dikatakan bahawa kenyataan Majlis Pimpinan Pusat PKR ini adalah satu perisytiharan perang terhadap sesiapa sahaja yang mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan sebagai Perdana Menteri untuk tempoh lebih daripada 2 tahun.

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...