PM-10: Zahid Hamidi menipu Ismail Sabri, terus cuba menipu rakyat

“Sekiranya benar wujud Surat Akuan Bersumpah atau perjanjian di antara calon-calon Barisan Nasional dan Zahid, itu adalah urusan Zahid dan calon-calon berkenaan secara berasingan, bukannya urusan Yang Di-Pertuan Agong atau ahli-ahli Dewan Rakyat. Tonton juga video di hujung bawah bagi penjelasan lanjut”

Raggie Jessy Rithaudeen

چالون ڤي عيم-10: زاهيد حميدي منيڤو اسماعيل صبري، تروس چوبا منيڤو رعيت

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, terdapat satu sampel Surat Akuan Bersumpah yang tular di media sosial, di mana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa mendapat sokongan calon bertanding untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Surat Akuan Bersumpah itu didakwa disediakan oleh Zahid sendiri, dan menurut perkhabaran, Zahid memanggil satu per satu bakal calon Barisan Nasional untuk menandatangani surat berkenaan sebagai syarat untuk meluluskan pencalonan mereka bagi bertanding di Pilihan Raya Umum ke-15.




Bagaimana pun, Zahid menafikan kesahihan surat itu.

Namun, dalam sidang media pada pagi Isnin, setelah Zahid dan kepimpinan Barisan Nasional mengadakan mesyuarat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan, Zahid mengaku kewujudan Surat Akuan Bersumpah itu.

Ini menjadi nyata apabila Zahid berkata, mana-mana perjanjian atau Surat Akuan Bersumpah yang ditandatangani oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional bagi menyokong mana-mana calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 adalah tidak sah.

Menurut Zahid, setiap calon Barisan Nasional telah menandatangani satu Surat Akuan Bersumpah, dan sebarang Surat Akuan Bersumpah baharu yang ditandatangani kemudian bagi menyokong mana-mana calon Perdana Menteri melanggar apa yang terkandung dalam Surat Akuan Bersumpah terdahulu.

Bukankah ini pengakuan bahawa Surat Akuan Bersumpah terdahulu yang dimaksudkan oleh Zahid berupa surat sokongan terhadap seorang individu spesifk sebagai calon Perdana Menteri?

Setahu saya, tidak ada seorang pun calon Barisan Nasional yang menandatangani Surat Akuan Bersumpah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 bagi menyokong samada Anwar atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Jadi bukankah ini bermakna Surat Akuan Bersumpah terdahulu yang dimaksudkan oleh Zahid berupa surat sokongan terhadap Zahid sendiri atau seorang individu selain Ismail Sabri dan Anwar sebagai calon Perdana Menteri?

Loading...

Sudah terang lagi bersuluh bahawa Zahid menipu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, kononnya tidak wujud Surat Akuan Bersumpah yang ditandatangani oleh calon-calon Barisan Nasional yang bertanding.

Hakikatnya, dalam Surat Akuan Bersumpah yang tular sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, semua calon Barisan Nasional diwajibkan mencalonkan Zahid sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada beliau untuk membentuk Kabinet Persekutuan.

Ini bermakna, Zahid telah menipu bulat-bulat rakyat Malaysia dan Ismail Sabri Yaakob berhubung calon pilihan Barisan Nasional bagi jawatan Perdana Menteri.

Bukankah ini yang cuba saya sampaikan kepada anda selama ini?

Zahid turut menipu kononnya mana-mana Surat Akuan Bersumpah yang ditandatangani oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-15 adalah tidak sah.

Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh menandatangani Surat Akuan Bersumpah baharu bagi mengubah pendirian sokongan yang mungkin terkadung dalam surat terdahulu, dan tidak ada sebarang peruntukan perundangan yang boleh menyebabkan Surat Akuan Bersumpah baharu yang ditandatangani itu menjadi “tidak sah.”

Apa pun, sebarang keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri berpaut hanya kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, dan Perlembagaan Persekutuan sememangnya buta parti dalam segala hal, termasuk hal-hal berkait pelantikan Perdana Menteri.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang DI-Pertuan Agong memiliki kuasa budi bicara dalam menentukan siapa harus menjadi Perdana Menteri, dan kuasa budi bicara ini adalah dalam bentuk “pandangan peribadi” atau “hemat” Seri Paduka Baginda Tuanku berhubung “calon yang mungkin mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.”

Ini bermakna, hal-hal berkaitan pelantikan Perdana Menteri adalah di antara Yang Di-Pertuan Agong dan ahli-ahli Dewan Rakyat semata-mata, bukannya di antara Yang Di-Pertuan Agong dan pemimpin parti politik.

Sekalipun Yang DI-Pertuan Agong meminta pemimpin parti politik untuk mengemukakan nama calon Perdana Menteri, keputusan akhir semestinya berpandukan kepada sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat, yang boleh disuarakan secara terus kepada Seri Paduka Baginda Tuanku.

Justeru, sekiranya benar wujud Surat Akuan Bersumpah atau perjanjian di antara calon-calon Barisan Nasional dan Zahid, itu adalah urusan Zahid dan calon-calon berkenaan secara berasingan, bukannya urusan Yang Di-Pertuan Agong bersama ahli-ahli Dewan Rakyat.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...