“Saya berpendapat bahawa perbicaraan SRC Najib harus ditangguh dengan kadar segera dan hanya disambung semula setelah pihak PDRM berjaya memberkas Jho Low dan mengheretnya ke kandang saksi. Tujuan saya membuat laporan ini biarpun kes masih berjalan bersandar kepada kenyataan Tommy Thomas bahawa prinsip Sub Judice tidak boleh diguna pakai di Malaysia. Sekiranya kenyataan ini palsu, Thomas harus membuat laporan polis dan mengheret GBN ke mahkhamah”
Raggie Jessy Rithaudeen
Gerakan Bangsa National (GBN) hari ini membuat satu laporan polis (disertakan di bawah) terhadap AmBank dan bekas pegawainya, Joanna Yu Ging Ping, pada pukul 4.40 petang di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya.
LIHAT SIDANG MEDIA PENUH DI SINI
Bagi memperinci kandungan laporan tersebut dan tujuan ianya dibuat, saya merujuk kepada satu kenyataan yang dibuat oleh Joanna semalam di Mahkhamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan bekas syarikat subsidari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Joanna, yang merupakan bekas pegawai perbankan korperat di AmBank ketika Najib masih lagi bergelar Perdana Menteri, mengaku memindahkan RM55,000 ke dalam akaun bank Najib bagi mengelakkan sekeping cek bernilai RM80,000 daripada ditendang balik.
Sebelum ini, pada 22hb Julai 2019, Joanna menafikan dakwaan wujudnya pegawai-pegawai bank jahat yang terlibat dalam konspirasi untuk memanipulasi akaun bank Najib tanpa pengetahuan Najib ataupun Nik Faisal Nik Ariff, orang yang diberikan mandat oleh Najib untuk menguruskan akaun beliau.
Penafian tersebut sah satu penipuan memandangkan Joanna sendiri mengaku semalam memasukan wang peribadinya ke dalam akaun Najib apabila tidak dapat menghubungi Jho Low.
Nota: Sila klik butang “notification” untuk dapatkan pemberitahuan setiap kali artikel diterbitkan
Ini mencadangkan bahawa Joanna dan Low terlibat dalam satu konspirasi untuk memanipulasi akaun tersebut. Saya meminta pihak PDRM menyiasat konspirasi ini berdasarkan hujah-hujah berikut:
1. Jho Low tidak pernah diberikan mandat secara sah dan rasmi oleh Najib untuk menguruskan akaun bank peribadi beliau (Najib).
2. Joanna tidak seharusnya memasukkan wang peribadinya ke dalam akaun Najib kerana beliau turut tidak diberikan mandat (dalam kapasiti peribadi) secara sah dan rasmi oleh Najib untuk menguruskan akaun beliau (Najib).
3. Joanna seharusnya merujuk kepada pihak pengurusan AmBank, Najib atau Nik Faisal sekiranya berlaku apa-apa kemusykilan ataupun keraguan melibatkan akaun Najib dan bukannya merujuk kepada Low apabila membuat keputusan atau tindakan melibatkan akaun tersebut.
4. Pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap akaun bank Najib selain daripada Najib sendiri ataupun Nik Faisal adalah AmBank, dimana tugas pegawai-pegawai bank tersebut terhad kepada tuntutan akta-akta berkaitan (termasuk Akta Bank dan Institusi-Instiitusi Kewangan 1989) dan apa yang dikehendaki oleh Najib dan (atau) Nik Faisal.
5. Tindakan Joanna sekaligus melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan beberapa protokol perbankan yang lain dan boleh disifatkan sebagai satu tindakan berunsur jenayah.
Kesemua ini membawa maksud perbicaraan kes Najib harus ditangguh dengan kadar segera memandangkan ianya tidak mungkin lengkap selagi Jho Low tidak dibawa pulang ke Malaysia dan diheret ke kandang saksi.
Kenyataan Joanna turut membuktikan bahawa beliau merupakan seorang saksi yang amat mencurigakan dan tidak boleh dipercayai memandangkan beliau membuat dua pengakuan yang bercanggah biarpun bersumpah di depan hakim untuk bercakap benar.
Justeru, saya telah merayu kepada pihak PDRM dan khususnya, Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Abdul Hamid Bador, untuk menyiasat perkara-perkara berikut:
1. Sekiranya pihak pengurusan AmBank turut terlibat dalam konspirasi membabitkan Joanna dan Jho Low untuk mengaibkan Najib.
Saya amat yakin perkara ini benar kerana mustahil pihak pengurusan AmBank terlepas pandang kemasukkan dana bernilai RM55,000 ke dalam akaun Najib, seorang berprofil tinggi yang pada ketika itu merupakan Perdana Menteri, dalam keadaan yang begitu mencurigakan.
2. Sekiranya pihak pengurusan AmBank ada menyoal siasat Joanna apabila menyedari berlaku kejanggalan melibatkan akaun bank Najib dan sekiranya Joanna berterus terang dengan pihak bank.
3. Sekiranya pihak pengurusan AmBank memecat Joanna apabila mendapat tahu tindak-tanduknya bercanggah dengan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan sekiranya perkara ini dibawa kepada pengetahuan Bank Negara Malaysia.
4. Sekiranya pihak pengurusan AmBank terperangkap dan terpaksa memecat Joanna atas alasan-alasan palsu bagi mengelak pihak pengurusan sendiri disiasat atas sebab-sebab tertentu.
5. Sekiranya pihak pengurusan AmBank bersekongkol untuk menyembunyikan sebab sebenar Joanna dipecat dan bertindak melakukan pengubahsuaian tertentu dalam dokumentasi perbankan untuk melindungi diri masing-masing.
Saya turut merayu kepada pihak PDRM untuk menggunakan segala apa cabang perundangan yang ada untuk memaksa Joanna dan pihak pengurusan AmBank membongkarkan kepada umum sebab sebenar beliau dipecat.
Saya berpendapat bahawa perbicaraan SRC Najib harus ditangguh serta-merta dan hanya disambung semula setelah pihak PDRM berjaya memberkas Jho Low dan mengheretnya ke kandang saksi.
Tujuan saya membuat laporan ini biarpun kes SRC masih berjalan bersandar kepada kenyataan Tommy Thomas bahawa prinsip Sub Judice tidak boleh diguna pakai di Malaysia.
Sekiranya kenyataan ini palsu, Thomas harus membuat laporan polis dan mengheret GBN ke mahkhamah.
