
“Biarpun berumur tujuh bulan, kerajaan pimpinan Muhyiddin berjaya memecah-belahkan perpaduan Melayu-Islam menerusi percakaran dan pergelutuan tak terhingga melibatkan parti-parti politik yang kononnya bermuafakat demi penyatuan ummah”
Raggie Jessy Rithaudeen
“Percayalah, saya tidak takutkan pemimpin, kerana mereka hanya sekadar manusia, yang saya takutkan hanya Allah SWT, dan kepada Nya saya berserah”
RJ Rithaudeen
1. Kerajaan pimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional bertanggungjawab secara langsung menimbulkan suasana yang teramat tegang menjurus kepada sifat kemarahan, keresahan dan kebencian di kalangan rakyat jelata.
2. Suasana ini ditimbulkan apabila ahli-ahli politik pro-kerajaan secara terbuka mengamalkan “politik darjat,” “politik petik dalil” dan “politik wang, kuasa dan kedudukan” (WKK) tatkala rakyat biasa terhimpit disebabkan wabak Covid-19.
3. Kepimpinan utama kerajaan terlalu sibuk bercatur untuk mengambil alih tampuk kepimpinan beberapa negeri di semenanjung Malaysia dan Sabah menerusi pintu belakang sambil mengagihkan pelbagai jawatan kepada ahli-ahli politik yang bersekongkol dengan mereka.
4. Pada masa yang sama, mereka menetapkan pelbagai SOP dan mewajibkan rakyat biasa mengikuti SOP itu untuk mengawal penularan terus wabak Covid-19.
5. Saya tidak menentang penetapan ini sekiranya ia benar-benar mampu mengawal penularan wabak Covid-19.
6. Malangnya, apabila orang awam melanggar SOP, mereka dikenakan denda tinggi malah diheret ke mahkamah dan terpaksa menjalani menjalani hukuman sebagai orang tahanan.
7. Sebaliknya, apabila seorang menteri melanggar SOP dan mengaku kesalahannya, dia hanya dikenakan denda RM1,000 dan dilabel terus sebagai hero oleh ahli-ahli partinya sendiri yang memetik kisah dari Al-Quran untuk menghalalkan kesalahannya.
8. Daripada cuba meredakan keadaan, menteri ini terus menguja masyarakat bukan Islam dengan mendakwa golongan minoriti (bukan Muslim) “wajib mematuhi kehendak golongan majoriti” (Muslim) walaupun perkara ini bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
9. Tidak habis di situ, salah seorang ahli parlimen dari PAS terang-terang memperlekeh Perlembagaan Persekutuan apabila melanggar peruntukkannya yang jelas melarang sesiapa mengungkit isu-isu sensitif.
10. Ahli Parlimen ini tidak dikenakan tindakan walaupun enggan meminta maaf selepas mendakwa Kitab penganut agama Kristian dipesongkan.
11. Dalam pada semua ini berlaku, pencaturan politik Barisan Nasional dan Perikatan Nasional terus diberi keutamaan, termasuk agihan jawatan kepada ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri pro-kerajaan dalam kadar tertinggi dalam sejarah tanah air.
12. Kesemua ini dilakukan agar kepimpinan utama kerajaan dapat mengekalkan kuasa dan kedudukan walaupun memiliki majoriti paling tipis dalam sejarah.
13. Ini menyebabkan terlalu banyak jawatan diwujudkan dan diaggihkan menggunakan dana milik rakyat yang seharusnya digunakan untuk meringankan lagi beban mereka yang hilang sumber pendapatan atau terhimpit disebabkan wabak Covid-19.
14. Hari demi hari, kepincangan dalam pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional makin terserlah, dan hari demi hari, rakyat makin marah dan membenci kerajaan persekutuan.
15. Ini bukanlah andaian saya, tetapi hakikat, di mana kebencian ini dapat dilihat dengan jelas di merata tempat, termasuk di kedai-kedai kopi, di media sosial, di tempat kerja dan sebagainya.
16. Malah, prestasi UMNO yang merosot di Sabah pada Pilihan Raya Negeri baru-baru ini dan kesanggupan masyarakat Bumiputra Muslim mengalihkan sokongan mereka terhadap DAP bukti rakyat sudah meluat dengan Barisan Nasional.
17. Begitu juga Perikatan Nasional, di mana kegagalan PPBM mengatasi perolehan undi WARISAN (11 lawan 23) bukti rakyat lebih menghargai gandingan Datuk Seri Shafie Apdal bersama Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin.
18. Ini kerana Shafie terang-terang mendukung perjuangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan merupakan pilihan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.
19. Tetapi Muhyiddin tidak kisah.
20. Hari demi hari, ada sahaja individu dari kalangan rakyat biasa yang ditangkap atas alasan melanggar SOP sedangkan video-video kempen Pilihan Raya Negeri Sabah jelas memaparkan adegan beberapa pemimpin pro-kerajaan yang melanggar SOP tetapi dibiarkan begitu sahaja.
21. Malah, sikap kepimpinan utama kerajaan persekutuan yang sentiasa mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP hanya meningkatkan lagi tahap kebencian rakyat kerana kepimpinan inilah yang bertanggungjawab secara langsung terhadap peningkatan kes Covid-19
22. Masakan tidak, sedangkan pemimpin-pemimpin ini teralu sibuk bercatur ketika Langkah Sheraton sehingga terlepas pandang penularan wabak Covid-19.
23. Begitu juga, mereka melupakan terus wabak Covid-19 apabila cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Shafie Apdal secara tidak demokratik walaupun tahu tindak-tanduk mereka mampu menggugat usaha kerajaan Sabah mengawal penularan wabak tersebut.
24. Tindakan mereka inilah yang menjurus kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah yang akhirnya memudaratkan seluruh rakyat Malaysia.
25. Terlalu banyak contoh kepincangan dalam pentadbiran persekutuan, dan kesemua ini menimbulkan suasana yang amat tegang.
26. Biarpun berumur tujuh bulan, kerajaan pimpinan Muhyiddin berjaya memecah-belahkan perpaduan Melayu-Islam menerusi percakaran dan pergelutuan tak terhingga melibatkan parti-parti politik yang kononnya bermuafakat demi penyatuan ummah.
27. Tetapi Muhyiddin masih tidak kisah.
28. Kerajaan pimpinanya terus membebankan rakyat yang sedia terhimpit sambil menikmati hasil dari wang rakyat yang digunakan untuk membayar gaji menteri, termasuk menteri yang melanggar SOP.
29. Tetapi yakinilah, segala apa yang berlaku adalah daripada perbuatan Allah SWT dan merupakan musibah yang mengajak setiap Muslim kembali kepada Allah dengan menyebut “Innaalillaahi Wainnaa Ilaihi Raaji’un” dan meyakini maksudnya, “kita adalah milik Allah dan kita pasti kembali kepada-Nya”.
30. Katakanlah, ya Allah, selamatkan Negara ku, kembalikan kami ke landasan kebenaran menuju keredhaan Ilahi, hapuskanlah kuasa-kuasa pemusnah dan kembalikanlah tanah air ku ke tangan mereka yang benar-benar cintakan agama, bangsa dan negara, dan ampunilah dosa mereka yang berkata,“Ampunkanlah Aku Ya Allah” dan “Ampunkanlah Kami Ya Allah.”
31. Teruskanlah perjuangan kebenaran tanpa terjebak dalam kancah kebencian, kerana kebencian itu hanya akan menyebabkan kita terpesong aqidah sehingga kita terdorong memuja nama-nama mereka yang kita benci daripada mengingati kebesaran Allah SWT.
Percayalah, saya tidak takutkan atau benci pemimpin, kerana mereka hanya sekadar manusia, yang saya takutkan hanya Allah SWT, dan kepada Nya saya berserah.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
