Salleh Said Keruak
1. Dalam sebuah negara demokrasi, pemimpin, ahli politik dan rakyat berhak memberi pandangan, teguran dan kritikan terhadap pemerintah. Namun, biarlah kritikan itu dibuat secara beradab.
2. Itulah politik matang yang negara dambakan. Tidak perlulah kita meraikan perbezaan pendapat politik dengan caci maki, fitnah dan sumpah seranah.
3. Tidak perlulah kerana perbezaan politik kepartian kita bermusuhan. Itu bukan politik beradab. Yang kita perlu sekarang ialah berpolitik secara fakta dan data. Inilah yang kurang dalam politik kita sehingga ada kalanya menyebabkan adab berpolitik kita mati.
4. Agama sendiri tidak menghalalkan peri laku politik cacian, makian, kutukan, kebencian dan dendam kerana ia merosakkan pemikiran politik rakyat, menghasilkan pemimpin tidak bermutu, menganggu keharmonian masyarakat, menjejaskan pembangunan politik negara dan merosakkan pembinaan tamadun bangsa.
5. Justeru dalam berbeza pendapat, kita perlu bersikap bijaksana dan berhikmah dalam mengambil keputusan politik. Kita perlu manfaatkan ruang awam secara rasional tanpa emosional kerana ruang awam adalah ruang terbuka milik kita semua.
6. Semoganya dengan mengamalkan politik beradap, kita boleh berperanan secara bersama dalam membangunkan negara.
Sumber: sskeruak.blogspot.my
