‘Politik Petik Dalil’ PAS ancaman besar, perlu dihentikan segera

“Saya mampu melihat Islam dalam segala apa yang wujud di dunia Allah ini, termasuklah daun yang subur nun di puncak bukit sana dan air yang jernih di depan mata saya ini. Jadi usahlah pemimpin PAS bercerita nak ubah sistem pentadbiran negara jika mereka sendiri gagal melihat kebesaran Allah dalam sistem yang sedia ada kini”

Raggie Jessy Rithaudeen

Politik merupakan sebahagian daripada dunia Islam, malah syariat Islam sendiri bersandar kepada syumuliah dan merangkumi pelbagai aspek dalam lapangan kehidupan.

Dari satu sudut, politik meliputi gelagat manusia dalam mengurus sesuatu bagi mencapai satu-satu tujuan.




Merujuk kepada penulisan seorang ulamma PAS sendiri, politik yang diguna pakai hari ini mengambil terjemahan dari satu perkataan Arab, iaitu ‘siyasah’ (السياسة).

Perkataan ini sememangnya digunapakai oleh Rasulullah S.A.W. sepertimana terkandung dalam teks hadith Abu Hurairah, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Adalah Bani Israil, mereka dipimpin urusannya oleh para Nabi. Ketika seorang Nabi wafat, Nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada Nabi setelahku, namun akan ada ramai para khalifah.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Difahami dari Hadith di atas, politik Islam memimpin urusan manusia untuk mencapai kebaikan di dunia dan membawa mereka ke jalan Allah S.W.T.

Justeru, menurut penulisan ulamma PAS sendiri, politik ialah:

“Urus tadbir urusan manusia secara amnya dalam membawa maslahat dan menolak kerosakan pada urusan kehidupan.”

Loading...

Inilah yang saya diajar oleh Tok Guru saya.

Malah, sepertimana yang diceritakan oleh ulamma PAS tadi, jika ditanya perihal “dalil berpolitik,” maka asasnya mengambil maksud dan tanggungjawab pada peranan khalifah yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T. berikut:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”

[Al-Baqarah: 30]

Ya, bukan hanya tulisan ulamma ini bertepatan dengan pemahamam saya, ia seharusnya menjadi asas kepada urus tadbir sebuah kerajaan atau organisasi yang mengaku perjuangkan kedaulatan Islam.

Malangnya, saya tidak dapat melihat bayangan perjuangan ini dalam pentadbiran PAS yang sedia ada.

Kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin PAS lebih mempraktikkan politik “petik dalil” dari politik Islam menyebabkan ramai pemimpinnya tersasar jauh dari landasan kebenaran.

Dalam memetik dalil, mereka terus mengabaikan pertimbangan maslahat dan mudarat dari sudut neraca syarak sepertimana yang dituntut oleh Agama Islam.

Mereka kini diselubungi hawa nafsu emosi dan “kekebalan kuasa” yang kian hari kian mengaburi segala pertimbangan mereka.

Akibatnya, mereka sanggup menghalalkan segala apa yang dahulunya dikatakan “haram” malah berani memutarbelit agama demi menyucikan kesalahan mereka.

Saya mengaku, negara kita tidak mengamalkan sistem pentadbiran Islam dalam ertikata yang sebenar.

Tetapi Islam adalah segalanya, dan segalanya adalah Islam.

Saya mampu melihat Islam dalam segala apa yang wujud di dunia Allah ini, termasuklah daun yang subur nun di puncak bukit sana dan air yang jernih di depan mata saya ini.

Jadi usahlah pemimpin PAS bercerita nak ubah sistem pentadbiran negara jika mereka sendiri gagal melihat kebesaran Allah dalam sistem yang sedia ada kini.

Ketahuilah, bahawa salah satu perkara asas yang diwajibkan dari seorang pemimpin Islam ialah penerapan asas syarak dalam kepimpinannya.

Ini tidak mustahil, kerana dunia ini ciptaan Allah S.W.T. dan segala apa yang ada di amuka bumi.ini adalah milik Allah S.W.T. semata-mata.

Maka tidak mustahil seorang pemimpin boleh menerapkan asas ini dalam apa jua yang dilakukannya tanpa melanggar peruntukan perlembagaan atau perundangan yang sedia ada.

Malangnya, pemimpin-pemimpin PAS kini lebih gemar menerapkan “politik petik dalil” demi menghalalkan kesalahan rakan-rakan mereka daripada memartabatkan lagi kedaulatan Islam menerusi sistem yang sedia ada.

Ciri-ciri kemunafikan inilah yang akhirnya akan membantu menyuburkan lagi dasar politik UMNO yang makin hari makin berkisar di sekitar wang, kuasa dan kedudukan.

Seharusnya, pemimpin-pemimpin PAS melakukan segala apa yang mampu dilakukan bagi menyatukan saudara seagama dan menghalakan saudara mereka itu ke air yang jernih.

Ini tidak, mereka lebih memberi tumpuan terhadap usaha “menyatukan yang halal dan haram” menerusi dalil-dalil palsu yang mampu menghalakan umat Islam ke alam kekhilafan dan kejahilan.

Ini merupakan satu ancaman besar terhadap Agama dan Bangsa, dan bahayanya berlipat kali ganda bahaya yang mampu dibawa oleh puak-puak berkepentingan yang tidak beragama Islam.

Percayalah, politik yang diamalkan oleh PAS ketika ini bukannya politik Islam, tetapi politik kepentingan yang makin lama makin mirip politik yang diamalkan oleh puak-puak berkepentingan dari UMNO.

Sesungguhnya, politik Islam mewajibkan seseorang pemimpin bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ummah sambil menerapkan semangat ukhuwah, salah satu daripada tiga unsur kekuatan yang ada pada masyarakat Islam di zaman Rasulullah SAW.

Malangnya, pemimpin-pemimpin PAS kini sibuk memecah belahkan ummah tanpa disedari akibat dari kemunafikan mereka sendiri hingga menjurus kepada kewujudan dua perkumpulan, iaitu:

1. puak penta’asub yang lemah Iman dan cuba menghalalkan ciri-ciri kemunafikan yang ada pada idola mereka, dan

2. puak berakal yang kuat Iman yang mula mencurigai keimpinan PAS.

Saudara saudari yang dikasihi sekalian,

Islam hanyalah satu, dan satu itu Islam, maka janganlah PAS cuba mencetak kitab pendua dengan memetik dalil-dalil palsu.

Saya tidak akan membenarkannya biar terpaksa bertembung terus dengan pemimpin-pemimpin PAS!!

Sesungguhnya, kemampuan kita menjurus kepada status “peradaban ulung” amatlah bergantung kepada kewibawaan seseorang pemimpin menerapkan asas-asas syarak dalam segala apa yang dilakukannya.

Inilah politik Islam dalam ertikata yang sebenar, dan inilah satu-satunya cara kita mampu mempertahankan kedaulatan Islam tanpa mengubah sistem yang sedia ada.

Kalau ini pun tak dapat dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin PAS, maka usahlah PAS bercerita nak jadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar pentadbiran Islam sepenuhnya!

Wallahu A’lam

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...