PPBM mungkin tarik sokongan terhadap Ismail Sabri pada bila-bila masa

Disebabkan Najib dan Zahid terdesak untuk adakan Pilihan Raya tahun ini, saya amat yakin bahawa Kluster Mahkamah akan turut serta menarik sokongan terhadap Ismail Sabri jika PPBM mengorak langkah pertama. Sumber (gambar): Fail TTF

“Sebelum ini, PPBM teragak-agak untuk menarik sokongan terhadap Ismail Sabri kerana Muhyiddin menaruh harapan bahawa UMNO akan bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-15. Namun, apabila Zahid memutuskan untuk tidak bekerja bersama PPBM di Melaka, Muhyiddin yakin bahawa tidak ada gunanya untuk berunding dengan UMNO lagi”

Raggie Jessy Rithaudeen

ڤڤبم موڠكين تاريق سوكوڠن ترهادڤ اسماعيل صبري ڤد بيلا-بيلا ماس

Masih ingat lagi tawaran yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ketua pembangkang sebelum Muhyiddin ditumbangkan?

Pada ketika itu, Pakatan Harapan sedia maklum bahawa Kluster Mahkamah memiliki 14 surat akuan bersumpah daripada ahli-ahli parlimen UMNO yang menolak kepimpinan Muhyiddin.




Pakatan Harapan beranggapan bahawa Kluster Mahkamah akan menyokong pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Namun, Tony Pua tidak begitu percaya kepada Kluster Mahkamah dan telah cuba sedaya upaya untuk meyakinkan DAP untuk menerima syarat Muhyiddin.

Biarpun begitu, kepemimpinan tertinggi DAP, PKR dan AMANAH tetap menaruh harapan terhadap Najib dan Zahid dan yakin bahawa Anwar dapat dinaikkan sebagai Perdana Menteri ke-9.

Malangnya, apabila sampai masa untuk mencalonkan Perdana Menteri, Najib dan Zahid tiba-tiba membuat pusingan-U dan bersetuju untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri.

Kenapa Najib dan Zahid buat pusingan-U?

Sebab lapan daripada 14 ahli parlimen yang menandatangani surat akuan bersumpah menolak Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Ini menyebabkan Najib dan Zahid terpaksa menyokong pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Kepimpinan Pakatan Harapan menjadi marah dan bertindak ‘menghukum’ Kluster Mahkamah dengan meletakkan syarat bahawa parlimen hanya boleh dibubarkan selepas 31 Julai tahun depan.

Loading...

Syarat ini terkandung dalam MoU yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan bersama kerajaan, dan disebabkan syarat ini, Pilihan Raya Umum hanta boleh diadakan selepas kes-kes Mahkamah Najib dan Zahid diputuskan.

Terdesak, Najib dan Zahid mungkin tidak ada pilihan melainkan beralih sokongan kepada Anwar andai kata mereka gagal meyakinkan Ismail Sabri untuk membubarkan parlimen sebelum hujung tahun ini.

Sekiranya Najib dan Zahid dapat meyakinkan sekurang-kurangnya 21 ahli parlimen dari UMNO untuk menyokong Anwar, Pakatan Harapan sudah pasti akan bersetuju untuk bekerjasama dengan Kluster Mahkamah ke arah pembentukkan sebuah kerajaan baharu.

Dalam senario ini, Najib dan Zahid sudah tentu akan mengharapkan sesuatu daripada Anwar sebagai balasan, dan Anwar sudah tentu akan bersetuju untuk membantu Najib dan Zahid jika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Saya difahamkan, Najib dan Zahid yakin bahawa Kluster Menteri akan turut serta menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri jika kesemua terbabit dijanjikan jawatan dalam kerajaan.

Tetapi fokus utama Najib dan Zahid adalah untuk mencetuskan Pilihan Raya Umum secepat mungkin, bukannya untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Adakah Anwar akan berjaya menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15?

Tidak.

PPBM telah membuat kerja secara senyap dan berjaya mendapat kepastian daripada majoriti dalam Kluster Menteri dan beberapa ahli parlimen UMNO lain bahawa mereka tidak akan menyokong pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri dalam apa jua keadaan.

Disebabkan itu, Muhyiddin yakin bahawa Najib dan Zahid tidak akan memperolehi sokongan ahli-ahli parlimen dari UMNO dalam bilangan yang mencukupi untuk melayakkan Anwar bagi jawatan Perdana Menteri.

Maka sudah pasti Pakatan Harapan tidak akan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri, kerana langkah ini hanya akan membantu misi Najib dan Zahid untuk adakan Pilihan Raya awal tetapi tidak akan membantu misi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Jadi PPBM akan terus sokong Ismail Sabri?

Berkemungkinan tidak.

Disebabkan Muhyiddin yakin bahawa Anwar tidak akan mendapat sokongan majoriti, PPBM tidak keberatan untuk menarik sokongan terhadap Ismail Sabri.

Dan disebabkan Najib dan Zahid terdesak untuk adakan Pilihan Raya tahun ini, saya amat yakin bahawa Kluster Mahkamah akan turut serta menarik sokongan terhadap Ismail Sabri jika PPBM mengorak langkah pertama.

Kenapa sekarang?

Sebelum ini, PPBM teragak-agak untuk menarik sokongan terhadap Ismail Sabri kerana Muhyiddin menaruh harapan bahawa UMNO akan bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Namun, apabila Zahid memutuskan untuk tidak bekerja bersama PPBM di Melaka, Muhyiddin yakin bahawa tidak ada gunanya untuk berunding dengan UMNO lagi.

Itulah yang saya difahamkan, dan Muhyiddin harus menarik sokongan terhadap Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk elak memberi PAS terlalu banyak masa untuk berunding dengan UMNO.

Jika PAS dan UMNO kembali rapat, Perikatan Nasional berisiko kehilangan sokongan PAS kerana UMNO tidak akan bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS melainkan parti itu meninggalkan Perikatan Nasional.

Kenapa PAS begitu penting buat Muhyiddin?

PPBM hampir tidak memiliki jentera Pilihan Raya atau akar umbi, dan jika berlaku kerjasama antara PPBM dan PAS, Muhyiddin akan mendapat sedikit sebanyak manfaat daripada jentera Pilihan Raya PAS daripada tiada jentera langsung.

Namun, kerjasama PPBM dan PAS langsung tidak menguntungkan PAS, malah berpotensi melumpuhkan PAS jika jentera Pilihan Raya parti itu yang cukup terhad digunakan bagi membantu PPBM.

Perkara ini tidak disenangi oleh saki baki penyokong PAS yang mungkin menghukum parti itu jika kepimpinannya berdegil untuk terus berdamping dengan PPBM menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Adakah UMNO akan berubah pendirian dan bekerjasama dengan PPBM di Melaka?

Jika keengganan UMNO untuk bekerjasama dengan PPBM di Melaka boleh membantu mencetuskan pembubaran parlimen, buat apa UMNO berubah pendirian?

WAJIB BACA:

Khairy dicabar debat kenyataan bongkak ‘kita akan susahkan hidup anda’

 



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...