PPBM tidak mahu ketetapan Pakatan dilanggari PKR

“Apabila keputusan pucuk pimpinan PH begitu, ia termasuklah juga PKR”

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mahu mana-mana parti di dalam Pakatan Harapan (PH) melanggari ketetapan yang dicapai pada 29 Ogos lalu, yang memuktamadkan untuk menutup pintu rundingan dengan PAS.

Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata konteks ketetapan itu perlu difahami sebaiknya dan tidak digunakan sebagai alasan untuk berunding dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu ‘secara terpilih’.

“PH buat keputusan tidak ada rundingan lagi dengan PAS, maka habislah. Kita ambil mudahlah, tak perlu tersurat, tersirat lagi.

“Penyelesaian mesti bersifat menyeluruh, bukan satu, dua. Kena konsisten, cari formula yang boleh dipakai untuk semua (keadaan). Apabila keliru, nanti banyak masalah. Jika tidak, tidak ada lagilah penyelarasan di peringkat pusat,” tegasnya.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas sudahpun memuktamadkan gabungan itu menutup pintu rundingan dengan PAS, malah bersedia untuk pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.

Ketetapan itu menyusul di kala PKR, menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang mengusahakan rundingan dengan PAS.

Beberapa pihak di dalam parti itu, terutama Naib Presidennya, Rafizi Ramli mengkritik tindakan diambil Azmin dengan menyifatkan ia sebagai punca kepada masalah yang berlaku di dalam PH.

Susulan ketidaktentuan yang berlaku di dalam parti, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi respon melalui surat dari penjara, mengesahkan beliau mempersetujui usaha Azmin berunding dengan PAS bagi membentuk kerjasama politik dalam usaha menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 (GE14).

Ujar Anwar, jikapun rundingan PKR-PAS membuahkan hasil ia tetap akan berlaku dalam ‘kerangka komitmen PKR dengan PH’.

Ini ditambah lagi dengan kenyataan terbaru daripada Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar bahawa perbincangan antara partinya dan PAS di peringkat negeri Selangor masih diusahakan.

Katanya Azmin selaku orang penting dalam tujuan itu mahu mencari penyelesaian dalam isu pembahagian kerusi, mengambil kira PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Mengulas hal ini, Kamaruddin sekali lagi menegaskan supaya isu rundingan itu dirujuk kepada keputusan baru yang dicapai mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Apabila keputusan pucuk pimpinan PH begitu, ia termasuklah juga PKR.

“Ini bukan keputusan Dr Mahathir seorang, ini keputusan Majlis Presiden PH. Dengan keputusan itu, kita kena ikut dan akur,” katanya lagi.

Source: Antarapos

Comments

Comments