
“Kenyataan terkini Anwar bercanggah dengan ugutan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang mengancam untuk menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri jika PRN diadakan di Johor”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤرن جوهر: ڤاكتن هارڤن جيلت لوده سنديري، بوات ڤوسيڠن-او
Pakatan Harapan dilihat membuat pusingan-U berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila memutuskan, secara unilateral, bahawa semua parti pembangkang perlu bekerjasama bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Harapan membuka ruang untuk semua kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil (untuk) memastikan ada perubahan.
“Kalau ada sedikit retak (di kalangan pembangkang), tidak akan membantu. Jadi kita ada satu suara, satu tindakan dan satu strategi untuk memastikan kerajaan Umno BN dikalahkan bermula di Johor,” katanya.
Kenyataan ini bercanggah dengan ugutan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang mengancam untuk menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri jika PRN diadakan di Johor.
15hb Januari lalu, Salahuddin berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk menarik balik sokongannya terhadap memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dua parti antara Pakatan Harapan dan kerajaan sekiranya PRN diadakan.
TTF turut dimaklumkan bahawa kepimpinan pusat Pakatan Harapan ditekan oleh pelbagai sayap dan cawangan PKR dan DAP untuk membatalkan MoU bersama kerajaan agar Pilihan Raya Umum boleh dicetuskan.
Semalam, saya menulis:
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan sebagai berkata, kerajaan pimpinan UMNO Johor perlu mendapat mandat yang lebih kukuh dan bukannya memerintah atas ihsan pembangkang.
Hasni berkata demikian ketika mempertahankan keputusan membubarkan DUN Johor, dan menambah, tidak ada pihak yang boleh menafikan bahawa kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil dengan kelebihan satu kerusi sahaja.
Ikutkan logik Hasni, kerajaan pimpinan UMNO di peringkat persekutuan turut perlu mendapatkan mandat yang lebih kukuh dan bukannya memerintah atas ihsan Pakatan Harapan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan.
Menurut MoU tersebut, Pakatan Harapan bersetuju untuk menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri agar Pilihan Raya tidak tercetus selagi masalah kesihatan belum selesai ditangani.
Namun, kedua-dua Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kelihatan amat bersedia menghadapi Pilihan Raya, dan perkara ini terbukti di Melaka apabila UMNO menumbangkan kerajaan pimpinannya sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji-muji ADUN-ADUN terbabit.
Kini, di Johor, UMNO terlibat secara langsung dalam usaha mencetuskan Pilihan Raya Negeri, biarpun pihak pembangkang menyuarakan dengan jelas perlunya kerajaan negeri yang sedia ada dikekalkan.
Justeru, tidak masuk akal jika kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan meneruskan MoU yang ditandatangani.
Sebaliknya, Ismail Sabri perlu menghayati logik Hasni dan menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen dengan kardar segera, agar Pilihan Raya Negeri Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan serentak dan tidak berlaku pembaziran dana rakyat.
