
“UMNO dijangka akan menang tidak lebih dari tujuh kerusi, manakala Perikatan Nasional (PAS dan PPBM) dijangka akan kalah semua kerusi yang ditandingi. DAP pula dijangka akan menang tujuh kerusi atau kurang, manakala selebihnya…”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤرن ملاك: امنو 7، ڤڤبم 0، ڤاس 0
Rakyat seringkali diberitahu bahawa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri adalah stabil dan terdiri daripada menteri dan timbalan menteri yang bersekutu memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan ‘Keluarga Malaysia’.
Namun, ‘Keluarga’ yang sama ini bakal berperang di Melaka susulan pengumuman UMNO bahawa kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan ditandingi oleh parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20hb November ini.
Jadi siapa nak percaya bahawa menteri-menteri PPBM, PAS dan UMNO di peringkat persekutuan dapat berfungsi secara kolektif demi penyatuan ummah dan mengamalkan konsep muzakarah dalam menempuhi apa jua rintangan?
Rakyat bukannya bodoh, dan satu Malaysia tahu bahawa kerajaan pimpinan UMNO di Melaka tumbang disebabkan percaturan dalaman UMNO bagi jawatan Ketua Menteri dan komplot melibatkan beberapa ADUN UMNO dan Pakatan Harapan.
Malah, amat mudah bagi sesiapa sahaja menilai kebodohan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang sedang giat memainkan propaganda murahan bagi memperdaya rakyat dan akar umbi masing-masing.
Dalam pada UMNO menuduh PPBM “takut dengan bayang sendiri kerana sedar perbuatan dan ‘kezaliman’ mereka,” PPBM mendakwa UMNO tidak akan ke mana sekiranya tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional.
Hakikatnya, Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan kena pukulan teruk di Melaka hasil penolakkan rakyat terhadap percaturan tahap gila dan tidak berkesudahan ketiga-tiga gabungan tersebut.
UMNO dijangka akan menang tidak lebih dari tujuh kerusi, manakala Perikatan Nasional (PAS dan PPBM) dijangka akan kalah semua kerusi yang ditandingi.
DAP pula dijangka akan menang tujuh kerusi atau kurang, manakala selebihnya mungkin dipegang oleh calon-calon bebas (termasuk calon-calon Gagasan Bebas Piagam Rakyat), PKR (2) dan AMANAH (2).
Sekiranya UMNO dan Pakatan Harapan berjaya meraih lebih 14 kerusi, maka percayalah, UMNO dan Pakatan Harapan akan bersetuju untuk membentuk Jajaran Politik Baharu di Melaka tanpa segan dan silu.
PAS pula sedar penerimaan parti itu di Melaka tidak begitu baik, dan atas dasar itulah UMNO tidak teragak-agak untuk membiarkan PAS menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
UMNO sedar bahawa PAS tidak mampu membawa sebarang kebaikan buat PPBM di Melaka, lebih-lebih lagi memandangkan jentera PAS yang sederhana kuat tidak mampu berfungsi dengan baik susulan pengharaman kempen ceramah dan lawatan rumah-ke rumah di Melaka.
Tanpa kekuatan jentera, PPBM akan lumpuh terus kerana parti itu hampir tidak memiliki jentera Pilihan Raya atau akar umbi.
Semalam, saya menulis:
PAS menjangkakan UMNO akan bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM pada PRN Melaka sekiranya PAS memutuskan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional yang didaftarkannya bersama PPBM.
Namun, percaturan PAS tidak membuahkan hasil apabila kepimpinan UMNO di peringkat pusat bertegas untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada PRN Melaka.
Susulan itu, Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad, menyampaikan keputusan beberapa bahagian UMNO di Melaka untuk tidak bekerjasama dengan PPBM di Melaka.
Ini menjurus kepada satu pertemuan semalam antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan kemungkinan PPBM dan UMNO bekerjasama pada PRN Melaka.
Menurut sumber, perjumpaan tersebut diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri yang turut hadir sebagai orang tengah.
Namun, Mohamad Hasan dikatakan lebih cenderung ke arah keputusan yang dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO yang menetapkan bahawa UMNO dan PPBM tidak boleh bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Atas dasar itu, Mohamad Hasan tidak begitu bersetuju dengan kerjasama UMNO-PPBM pada PRN Melaka sebagai menghormati kehendak akar umbi dan memandangkan PPBM dan UMNO tidak akan bekerjasama pada PRU15.
Ini menyebabkan PAS berada dalam dilema untuk menjelaskan kepada akar umbi parti itu sebab ia memilih untuk bekerjasama secara rasmi dengan PPBM di bawah bumbung Perikatan Nasional tanpa Barisan Nasional.
Untuk makluman, akar umbi PAS lebih rela parti itu bertanding atas kekuatan sendiri tanpa PPBM atau UMNO melainkan UMNO, PAS dan PPBM bersetuju untuk bekerjasama di bawah satu bumbung.
WAJIB BACA:
LAPORAN DIBUAT, POLIS DIMINTA SIASAT NAJIB RAZAK ATAS FITNAH BERHUBUNG RCI FOREX

