“Adalah tidak salah malah menjadi hak berperlembagaan bagi sesiapa sahaja untuk merayu kepada Yang Di-Pertuan Agong dan memberikan apa jua pendapat atau cadangan berhubung sesuatu perkara jika ianya dilakukan dengan ikhlas dan menurut nilai peradaban Islam”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤروكلاماسي ضرورت: تيندقن خير الدين ابو حسن، ڤرتي ڤجوڠ تڤت
Tindakan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan saman pemula terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta pandangan badan kehakiman berhubung nasihat yang disampaikan oleh Muhyiddin kepada Yang Di-Pertuan Agong adalah tepat dan berpaut kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
Begitu juga, tindakan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengutus surat kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi menyuarakan pendapat parti itu berhubung proklamasi penuh Darurat dan mengapa ianya tidak perlu bagi memerangi wabak Covid-19 adalah usaha yang harus dipuji kerana dilakukan dengan niat ikhlas.
Ramai yang bertanya jika saya menyokong kedua-dua tindakan itu, dan jawapan saya amat mudah – sudah pasti, kerana bukan hanya saya tidak akan mengabaikan rakan seperjuangan di saat-saat penting, kami bergerak atas prinsip kebenaran dan keadilan dan tidak akan berganjak dari landasan ini.
Atas landasan inilah saman pemula terhadap Muhyiddin difailkan, dan tidak timbul pula isu ‘menghina’ atau ‘menderhaka’ Yang Di-Pertuan Agong kerana saman tersebut sama sekali TIDAK mempersoalkan kuasa Seri Paduka Baginda Tuanku untuk mengisytiharkan Darurat.
Sebaliknya, ianya mempersoalkan kesahihan tindakan Muhyiddin dalam menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat memandangkan Muhyiddin terang-terang hilang majoriti dan locus standiuntuk berfungsi sebagai Perdana Menteri pada ketika nasihat itu diberikan.
Rayuan PEJUANG agar pengisytiharan Darurat dipertimbangkan semula turut TIDAK mempersoalkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
Sebaliknya, ianya memberikan sebab-sebab kepada Seri Paduka Baginda Tuanku mengapa pengisytiharan penuh Darurat tidak perlu bagi menangani wabak Covid-19 dan mengapa Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan adalah memadai.
Apa pun, adalah tidak salah malah menjadi hak berperlembagaan bagi sesiapa sahaja untuk merayu kepada Yang Di-Pertuan Agong dan memberikan apa jua pendapat atau cadangan berhubung sesuatu perkara.
Jadi janganlah dipolitikkan rayuan dan saman ini, dan janganlah dipandang remeh usaha murni mana-mana pihak yang berjuang demi menegakkan kebenaran dan keadilan.
Wallahu A’lam
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
