“Saya tidak terkejut jika Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri inginkan Pilihan Raya Umum diawalkan atas keyakinan bahawa Barisan Nasional akan kalah teruk, dan mengerah menteri-menteri PN mengutus surat kepada Yang Di-Pertuan Agong”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤرو15: بنركه محي الدين ءتكان بوتڠء سچارا سڽڤ؟
Tindakan 12 menteri dari Bersatu dan PAS yang mengutus warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya tidak memperkenankan pembubaran Parlimen sehinggalah musim banjir berakhir mungkin telah mempengaruhi keputusan berhubung pembubaran parlimen.
Ini kerana, surat berkenaan mengundang tanda tanya berhubung kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, dan ada yang berpendapat bahawa surat ini adalah bukti Perdana Menteri hilang sokongan kabinet dan majoriti di Dewan Rakyat.
Perkara ini telah saya jelaskan dalam video ringkas (KLIK DI SINI) yang disertakan di hujung bawah artikel ini.
Sepintas lalu, sekiranya surat berkenaan ditafsirkan oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagai kehilangan sokongan majoriti terhadap Ismail Sabri, sudah pasti Ismail Sabri perlu meletakkan jawatan.
Justeru, apabila Ismail Sabri bertemu Yang Di-Pertuan Agong (selepas surat itu diutuskan) dan mengusulkan pembubaran parlimen, tidak mustahil Seri Paduka Baginda Tuanku bersetuju untuk memperkenankan permintaan itu dengan memikirkan ketidaksepakatan dalam Kabinet.
Surat berkenaan turut menjadikan isu “tekanan UMNO terhadap Perdana Menteri” perkara remeh, kerana kini, kabinet Ismail Sabri sendiri terbukti tidak sepakat dalam isu pembubaran dan tergamak memintas Perdana Menteri dengan mengutus surat terus kepada Yang Di-Pertuan Agong.
Maka benarlah apa yang dikatakan oleh Ismail Sabri semalam.
Menurutnya, tindakan menteri-menteri yang mengutus surat kepada Yang Di-Pertuan Agong merupakan antara sebab parlimen perlu dibubarkan.
“Keputusan ini (pembubaran parlimen) juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Tindakan menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikan saya diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran Kerajaan.
“Bahkan sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar Kerajaan,” katanya.
Saya tidak terkejut jika Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri inginkan Pilihan Raya Umum diawalkan atas keyakinan bahawa Barisan Nasional akan kalah teruk, dan mengerah menteri-menteri berkenaan mengutus surat kepada Yang Di-Pertuan Agong.
