“Saya tidak melihat Belanjawan 2021 sebagai belanjawan rakyat atau PKPB sebagai keputusan “pro-rakyat.” Saya mengesyaki pihak kerajaan memiliki kepentingan politik apabila merangka belanjawan dan bertindak memperluaskan PKPB ke seluruh negara”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤوسيڠ تاهڤ ءڤوتيڠ بلياوڠء سكاليڤون تق بوليه سلامتكن بلنجاوان 2021
1. Tindakan memperluaskan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) merangkumi enam negeri tambahan bukan sahaja tidak praktikal, Kerajaan Malaysia mungkin sedang membawa lebih keburukan daripada kebaikan kepada rakyat.
2. Kerajaan perlu sedar, Ketua Pengarah Kesihatan bukanlah pakar ekonomi atau ahli politik dan tidak mungkin mempunyai pemahaman yang jelas tentang cara-cara menerapkan sepenuhnya kesan wabak Covid-19 dalam perancangan pemulihan dan kestabilan negara.
3. Saya mengaku, faktor kesihatan merupakan pertimbangan penting dalam perancangan ini, tetapi begitu juga kemampuan masyarakat untuk bertahan dari segi ekonomi sementara kerajaan memerangi wabak Covid-19.
4. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan PKPB tidak membebani rakyat sehingga menimbulkan risiko kesihatan, sosio-ekonomi dan sosio-politik yang jauh lebih besar daripada wabak itu sendiri.
5. Ini memerlukan satu kerangka pemulihan yang mengimbangi segala aspek pemulihan ekonomi agar tindak tanduk kerajaan tidak membawa kesan buruk bagi jangka pendek, sederhana dan panjang.
6. Pada ketika ini sahaja, ratusan ribu rakyat Malaysia sudah hilang pekerjaan, dan ratusan ribu lagi dijangka akan hilang pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang.
7. Ini sekaligus akan memberi kesan kepada berjuta rakyat Malaysia jika kita ambil kira ahli-ahli keluarga mereka yang hilang sumber pendapatan.
8. Sudah pasti perkara ini akan membawa risiko sosial, kesihatan dan ekonomi yang teramat besar, lebih-lebih lagi apabila kita memikirkan kemungkinan berlakunya peningkatan dalam kadar jenayah akibat dari peningkatan mendadak individu yang hilang sumber pendapatan.
9. Anda sendiri akan berada dalam keadaan terdesak sekiranya anda tiba-tiba hilang sumber pendapatan, habis simpanan kewangan, dibebani hutang dan terpaksa berdepan dengan anak bini yang sedang kelaparan.
10. Sudah pasti anda akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menampung kehidupan anak bini anda. Tetapi jika anda tetap gagal untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, anda akan terpaksa meminta bantuan daripada rakan-rakan anda.
11. Masalahnya, bukan semua orang mempunyai rakan-rakan yang sanggup membantu, kerana dana yang diperlukan untuk menyara satu keluarga bagi dua hingga tiga bulan kadang-kadang mencecah RM8,000, bergantung kepada saiz keluarga, kawasan geografi dan masalah lain yang berbangkit.
12. Mereka yang tabah akan tetap mencuba, tetapi ramai juga yang akan menjadi terlalu tertekan kerana tidak pernah melalui dugaan seperti ini.
13. Ada di kalangan individu-individu seperti ini akan mula memikirkan cara-cara yang tidak halal untuk mendapatkan wang, malah ada juga yang akan menjadi begitu terdesak hingga mengalami tekanan jiwa dan sanggup melakukan perkara yang tidak diingini.
14. Ramai juga yang akan hilang kemampuan untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang dialami, termasuk mereka yang menghidap penyakit serius seperti barah. Ada juga yang akan jatuh sakit kerana berada dalam keadaan tidak mampu, tidak terurus dan tertekan.
15. Lambat laun, kesemua ini pasti membawa kesan buruk kepada ekonomi negara, kerana bukan hanya kerajaan terpaksa berbelanja berbilion ringgit untuk menangani masalah-masalah berbangkit, hospital-hospital kerajaan mungkin dibebani dengan pesakit-pesakit mental dan fizikal dalam kadar yang tidak sepertinya sebelum ini.
16. Inilah yang dimaksudkan dengan risiko sosial, kesihatan dan ekonomi, dan ini hanyalah beberapa contoh masalah yang bakal ditimpa oleh pihak pentadbiran pusat sekiranya PKPB dikuat kuasakan dengan sewenang-wenangnya tanpa perancangan teliti.
17. Apa pun, Belanjawan 2021 tidak mempertimbangkan masalah-masalah ini. Sebaliknya, belanjawan yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan sumbangan terhadap satu jabatan kerajaan (JASA) yang disalahgunakan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional terdahulu selama bertahun-tahun.
18. Perkara ini diakui sendiri oleh seorang pemimpin dari PPBM, yang berkata, unit tersebut pernah berfungsi sebagai unit propaganda. Persoalannya, bagaimanakah Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membenarkan peruntukan RM85.5 juta kepada unit berkenaan sedangkan pihak yang menyalahgunakannya masih lagi terlibat dengan blok kerajaan?
19. Ini sahaja sudah cukup untuk buktikan Belanjawan 2021 tidak praktikal, tidak berjiwa rakyat dan berbaur politik.
20. Seharusnya, pentadbiran Muhyiddin menubuhkan satu Pasukan Khas terdiri daripada ahli politik, pakar ekonomi, pakar perubatan dan pegawai-pegawai berpengalaman dari agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi merangka belanjawan berkenaan, bukannya bergantung semata-mata kepada seorang bekas pegawai bank.
21. Hanya dengan tertubuhnya pasukan sebegini sahajalah kerajaan akan mampu merangka belanjawaan yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia dan ekonomi negara.
22. Dan tanyalah mana-mana pakar, memang tidak masuk akal dari segi kesihatan, politik, ekonomi mahupun sosial untuk kerajaan memperluaskan langkah-langkah kawalan pergerakan ke seluruh negara.
23. Hakikatnya, sebahagian besar dari daerah yang dikenakan PKPB tidak merangkumi zon merah, dan pelaksanaan PKPB di kawasan-kawasan berkenaan hanya akan memberikan tekanan berlebihan kepada kewangan negara.
24. Ini kerana sumber pendapatan kerajaan sudah pasti terjejas teruk akibat dari pengurangan aktiviti ekonomi di kawasan-kawasan berkenaan hingga memaksa kerajaan meminjam lebih banyak wang untuk menguruskan belanjawan.
25. Persoalannya, bagaimanakah kerajaan bercadang untuk membayar balik hutang ini sedangkan langkah-langkah yang diambilnya kebelakangan ini lebih menjurus kepada kehancuran, bukannya pembaik-pulihan?
26. Saya tidak melihat Belanjawan 2021 sebagai belanjawan rakyat atau PKPB sebagai keputusan “pro-rakyat.” Saya mengesyaki pihak kerajaan memiliki kepentingan politik apabila merangka belanjawan dan bertindak memperluaskan PKPB ke seluruh negara.
27. Saya melihatnya sebagai bukti bahawa Muhyiddin hilang pedoman dan tidak tahu apa yang sedang dilakukannya. Saya bersetuju dengan PEJUANG bahawa kerajaan sedang menggunakan titah Yang Di-Pertuan Agong sebagai “cek kosong” untuk menyediakan belanjawan yang berat politik, mungkin bagi tujuan pendanaan kepada kementerian-kementerian tertentu atas desakan menteri-menteri terbabit.
28. Saya melihatnya sebagai bukti kelemahan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang terpaksa memuaskan hati semua menteri dan ahli-ahli parlimen blok kerajaan agar mereka menyokong Belanjawan 2021 bagi mengelakkan kerajaan tumbang.
29. Inilah natijahnya apabila kerajaan dikuasai oleh puak pengkhianat – puak sebegini sudah pasti kemaruk wang, kuasa dan kedudukan (WKK) dan akan melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa tanpa mengambil kira permasalahan rakyat.
30. Jika dinilai dari komen-komen di media sosial, rata-ratanya, majoriti rakyat Malaysia sudah tidak mempercayai kerajaan pimpinan Muhyiddin atau kemampuan beliau menguruskan kewangan negara dan tidak keberatan jika Belanjawan 2021 ditolak terus oleh semua ahli parlimen.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
