Raja-Raja Melayu bertindak pertahan Islam

RAJA-RAJA Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima tokoh pentadbir, agama dan akademik, dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa tertinggi itu dicapai oleh Raja-Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai lalu, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249.

KUALA LUMPUR: RAJA-RAJA Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima tokoh pentadbir, agama dan akademik, dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.

Jawatankuasa Tertinggi itu dianggotai lima ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dengan persetujuan Raja-Raja Melayu, manakala Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai urus setianya.

Ia dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga Felo di Oxford Centre for Islamic Studies.

Manakala keahlian jawatankuasa itu terdiri daripada Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA); bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa tertinggi itu dicapai oleh Raja-Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai lalu, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249.

“Fungsi jawatankuasa itu antaranya adalah untuk mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa, serta keberkesanan agensi-agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah di peringkat Persekutuan.

“Dalam menjalankan tugas-tugasnya, jawatankuasa tertinggi ini juga akan menerima memorandum dan berbincang dengan pihak yang berkepentingan, termasuk mereka yang sudi dengan sukarela menyampaikan pendapat masing-masing,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menegaskan, penubuhan jawatankuasa tertinggi terbabit selari dengan kedudukan Islam yang termaktub mengikut Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha ini amat wajar kerana ia kekal menghormati prinsip dan bidang kuasa Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, di mana institusi agama terus ditambah baik demi mempertahankan Islam, di samping terus menyebarluaskan nilai-nilai kesejagatan Islam di negara ini,” katanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, hasil kajian jawatankuasa tertinggi itu kelak akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dengan cadangan penambahbaikan bagi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan agar ia berada di atas landasan yang betul.

Sumber: Malaysia Today

Comments

Comments