“Rakyat juga tidak menerima Anwar sebagai calon perdana menteri, dan ini terbukti menerusi kekalahan teruk PKR di Pilihan Raya Negeri Sabah, hanya beberapa hari selepas Anwar mendakwa memiliki majoriti yang meyakinkan untuk menjadi perdana menteri”
Raggie Jessy Rithaudeen
رعيت تيدق موڠكين تريما انور سباڬاي چالون ڤي عيم، اين تربوقتي منروسي ڤرن سابه
Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu terima hakikat bahawa semangat asal “Reformasi” yang dibawa oleh Keadilan pada 1999 sudah lama berkubur.
Ini berlaku apabila Anwar bersetuju untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, sekaligus menamatkan era “Reformasi” yang asalnya diwujudkan untuk menjatuhkan Mahathir.
Apabila Mahathir meletakkan jawatan pada 2003, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjenamakan semula agenda Reformasi PKR daripada “Reformasi menentang Mahathir” kepada “Reformasi menentang Mahathirisme.”
Alasannya, walaupun kerajaan diterajui oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, UMNO kononnya didominasi oleh budaya yang dibawa oleh Mahathir.
Namun, alasan ini tidak diterima rakyat, dan PKR beransur-ansur menumpukan perhatian kepada kepincangan pentadbiran Abdullah dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Untuk satu tempoh yang agak lama selepas itu, agenda “Reformasi” lenyap dan tidak kedengaran.
Kemudian, apabila Anwar bersetuju untuk bekerjasama dengan Mahathir, PKR dikritik kerana membelakangkan agenda asal “Reformasi.”
Anwar menangkis kritikan ini dengan mendakwa kononnya “Reformasi” kekal subur, kerana apa yang diinginkan oleh PKR adalah “Reformasi” dalam pentadbiran negara untuk menyelamatkan Malaysia.
Ini sekaligus mengubah hala tuju PKR dan menguburkan agenda asal “Reformasi” yang dimulakan pada 1999.
Anwar perlu sedar, PKR tidak akan berjaya kumpulkan walaupun 2,000 orang sekiranya parti itu cuba mengadakan perhimpunan “Reformasi” pada hari ini sepertimana pada 1999.
Ini kerana rakyat tidak lagi percayakan agenda “Reformasi” PKR, lebih-lebih lagi apabila Anwar tidak berjaya kawal parti sendiri sehingga berlaku pengkhianatan dalaman yang membantu jayakan Langkah Sheraton.
Rakyat juga tidak menerima Anwar sebagai calon perdana menteri, dan ini terbukti menerusi kekalahan teruk PKR di Pilihan Raya Negeri Sabah, hanya beberapa hari selepas Anwar mendakwa memiliki “majoriti yang meyakinkan” untuk menjadi perdana menteri.
