“Anwar hendak elakkan risiko BN bekerjasama dengan PN dan akan cuba memastikan Zahid kekal sebagai presiden UMNO selama yang mungkin”
Raggie Jessy Rithaudeen
رانچڠن باريسن ناسيونل 2.0 ڬاڬل؟
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) mencatatkan perolehan kerusi yang terburuk dalam sejarah sejak penubuhannya.
Gabungan itu hanya memenangi 30 kerusi parlimen, berbanding Perikatan Nasional (PN), yang memenangi 73 kerusi meskipun ditubuhkan tidak sampai tiga tahun.
Namun, tahukah anda bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahu dari awal lagi bahawa BN akan kalah pada PRU15?
Saya difahamkan, Zahid sudah ada maklumat risikan berhubung perkara ini, sepertimana Datuk Seri Najib Tun Razak dimaklumkan sebelum PRU14 bahawa BN akan kalah.
Tetapi Zahid sudah lama merancang untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menurut sumber, ramai pemimpin UMNO menjangkakan Pakatan Harapan (PH) akan menang antara 60-70 kerusi.
Berdasarkan jangkaan itu, Zahid hanya perlu pastikan bahawa BN memenangi sekurang-kurangnya 60 kerusi agar kerjasama BN-PH tidak berdepan risiko kegagalan.
Bagaimanapun, disebabkan penyokong BN tidak berpuas hati dengan kepimpinan Zahid, gabungan itu hanya berjaya raih separuh daripada jumlah kerusi yang disasarkan.
Tetapi Zahid bernasib baik, kerana PH memenangi 82 kerusi, sekaligus menjadikan jumlah kerusi BN (30 kerusi) dan PH cukup untuk membentuk kerajaan.
Biarpun begitu, Zahid hilang “kuasa rundingan” untuk menarik GRS (Sabah) dan GPS (Sarawak) masuk BN kerana BN gagal memenangi jumlah kerusi yang cukup.
Andai kata BN memenangi 60 kerusi, sudah pasti GPS dan GRS boleh dipujuk menjadi sebahagian daripada “Barisan Nasional 2.0,” menjadikan jumlah perolehan kerusi gabungan itu sebanyak 89 kerusi.
GRS sebelum ini pernah mengesahkan ada membuat perjanjian kerjasama dengan BN, yang terbatal secara otomatik apabila BN tidak mampu membentuk kerajaan.
Sumber-sumber saya yakin bahawa itulah perancangannya dari awal lagi, dan memandangkan BN 2.0 memiliki jumlah kerusi yang lebih banyak daripada PH, sudah pasti Zahid akan menuntut jawatan Perdana Menteri.
Ini menjelaskan akuan-akuan bersumpah yang ditandatangani oleh calon-calon BN sebelum PRU15, dan Zahid sendiri mengaku bahawa akuan-akuan bersumpah ini wujud.
Terus terang, Zahid tidak menjangka BN akan kalah begitu teruk dan PN boleh memenangi 73 kerusi.
Saya yakin Zahid menyesal dengan tindakan memancung nama-nama besar dalam UMNO sebelum PRU15, kerana tindakan ini menyebabkan berlaku boikot dan sabotaj besar-besaran terhadap BN pada kadar di luar jangkaan Zahid.
Sekarang, GRS dan GPS lebih rela berunding dengan Anwar berbanding Zahid, dan disebabkan itu, Anwar masih boleh mencapai majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri tanpa BN meskipun majoriti itu terlalu tipis dan berisiko besar.
Cuma, Anwar hendak elakkan risiko BN bekerjasama dengan PN dan akan cuba sedaya-upaya memastikan bahawa Zahid kekal sebagai presiden UMNO selama yang mungkin.
Sekiranya Zahid tidak mencantas nama-nama besar dalam UMNO sebelum PRU15, BN mungkin akan menang lebih banyak kerusi, namun saya tidak jangkakan jumlah ini akan melepasi angka 50 sekalipun Zahid letak jawatan sebagai presiden UMNO.
