Ratifikasi ICERD: Usaha Bangsa DAP untuk mengaibkan Bangsa Melayu-Islam

Raggie Jessy

Jiran anda, Sazali Yunus, merupakan seorang Melayu-Islam. Beberapa minggu yang lepas, sedang anda menikmati minuman keras bersama Sazali di satu kafe yang berhampiran, beberapa ahli penguatkuasa dari Jabatan Agama Islam secara tiba-tiba masuk ke dalam kafe berkenaan. Beberapa hari berikutnya, Sazali dihadapkan ke Mahakhamah Syariah atas pertuduhan meminum minuman keras. Walaupun Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa setiap warganegara Malaysia perlu mematuhi undang-undang, hanya Sazali yang dihukum kerana perbuatannya manakala anda tidak. Persoalannya, adakah Sazali didiskriminasi kerana beliau seorang Muslim?

Itulah persoalan asas yang perlu ditanya setiap seorang yang menentang ratifikasi “Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Menurut Artikel 1 konvensyen tersebut, diskriminasi kaum merupakan “mana-mana jenis pembezaan, pengecualian, sekatan ataupun pilihan bersandarkan kaum, warna kulit, keturunan ataupun asal-usul etnik yang bertujuan membatalkan ataupun merencatkan pengiktirafan, penikmatan ataupun perlaksanaan kebebasan dan hak asasi manusia dalam aspek-aspek politik, sosial, budaya atau mana-mana aspek bidang kehidupan awam.”

Nampak tak masalahnya?

ICERD mempunyai peruntukkan-peruntukkan khusus untuk diskriminasi kaum tetapi tidak menekankan unsur agama. Manakala itu, apabila kita merujuk kepada orang-orang Melayu, bangsa dan agama sememangnya saling berkait secara langsung kerana seseorang Melayu itu semestinya merupakan seorang Muslim. Perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk orang-orang Cina, India, Punjabi, Iban, Kadazan dan sebagainya kerana mereka bebas menganuti apa-apa agama yang mereka suka, termasuklah agama Islam. Dari sini, jelas dapat dilihat bahawa apabila seseorang itu bercakap berkenaan orang-orang Melayu, sudah semestinya dia juga merujuk kepada orang-orang yang beragama Islam. Manakala itu, apabila seseorang itu bercakap berkenaan orang-orang bukan Melayu, boleh jadi dia merujuk kepada mana-mana kumpulan agama yang terdapat di negara ini, termasuklah agama Islam.

Justeru itu, memandangkan negara kita mempunyai bangsa Melayu, apabila kita berhujah berkenaan diskriminasi kaum, kita perlu berhati-hati akan segmen mana masyarakat yang sedang kita rujuk. Dalam kes Sazali, para ulama pasti akan menegaskan bahawa tindakkan mahkhamah Syariah terhadap beliau adalah untuk membimbingnya ke arah air yang jernih sepertimana yang dituntut oleh agama Islam. Dari sini, Perlembagaan Persekutuan boleh dilihat sebagai ‘mengutamakan’ Sazali semata-mata kerana beliau merupakan seorang yang beragama Islam. Tetapi memandangkan perlembagaan yang sama memberikan kuasa sepenuhnya kepada Jabatan Agama Islam untuk bertindak terhadap kesemua orang Melayu, kita juga boleh rumuskan bahawa Sazali telah menjadi ‘sasaran’ perlembagaan tersebut kerana beliau merupakan seorang yang berbangsa Melayu.

Pendek kata, Sazali boleh dilihat sebagai seorang yang ‘disasarkan’ dan ‘diutamakan’ oleh Perlembagaan Persekutuan kerana beliau seorang Melayu-Islam. Dari definisi-definisi yang termaktub di dalam peruntukan-peruntukan ICERD, ini sememangnya merupakan satu bentuk diskriminasi kaum memandangkan Perlembagaan Persekutuan akan dilihat sebagai ‘mengaibkan’ golongan Melayu-Islam. Dari sini, jelas dapat dilihat bahawa sekiranya kerajaan persekutuan bertindak meratifikasikan ICERD, sistem perundangan berganda yang ditetapkan dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan akan terus dipersoal golongan bukan Islam atas alasan bahawa perkara tersebut merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap orang-orang Melayu.

Nampak tak masalah yang bakal dihadapi?

Sekiranya dikaji, mana-mana undang-undang di Malaysia yang bertumpu kepada orang-orang Islam akan secara otomatik diklasifikasikan sebagai undang-undang bersifat perkauman semata-mata sebab wujudnya bangsa Melayu-Islam. Satu-satunya cara bagi kerajaan persekutuan mengatasi masalah ini adalah dengan mengistiharkan bahawa negara ini merupakan sebuah negara Islam. Sebaik sahaja perkara ini berlaku, dan seandainya Majlis Raja-Raja bersetuju, kerajaan Pakatan Harapan akan dengan mudah dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dengan sedemikian rupa supaya kesemua orang bukan Islam akan tertakluk kepada undang-undang Syariah.

DAP sedar akan perkara ini.

Walaupun pemimpin parti berkenaan yakin bahawa perkara ini tidak akan berlaku di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka amat risau apa yang bakal terjadi sekiranya Tun sudah tiada. Pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang sedar akan usaha Mahathir untuk mempelawa ahli-ahli parlimen dari PAS, UMNO dan kem Azmin Ali untuk menyertai PPBM. Seandainya usaha tersebut berjaya dan menjurus kepada penubuhan satu parti perikatan Islam yang baru, Kit Siang khuatir bahawa perikatan tersebut akan dapat melaksanakan undang-undang Syariah sekiranya menang besar dalam pilihanraya umum ke-15 kelak. Justeru itu, DAP sedang giat berusaha untuk memansuhkan Perkara 121(1) dalam Perlembagaan Persekutuan – iaitu perkara yang telah diperkenalkan oleh Mahathir sendiri pada tahun 1988 – dengan memberi tekanan kepada beliau untuk meratifikasikan ICERD.

Oleh kerana Kit Siang telahpun menjadi sekutu Mahathir, para pemimpin DAP tidak ingin dilihat bertelagah dengan Perdana Menteri di arena awam berkenaan soal-soal agama dan berpura-pura berbuat baik dengan golongan Melayu-Islam. Malah, bagi memberikan persepsi bahawa mereka hanya ingin mengelak diskriminasi kaum, mereka mengistiharkan bahawa ratifikasi ICERD tidak akan menyebabkan undang-undang Syariah yang sedia ada diganggu gugat ataupun golongan Melayu-Islam diaibkan. Tetapi saya sudahpun buktikan bagaimana undang-undang yang bertumpu kepada golongan Islam akan secara otomatik dikaitkan dengan isu perkauman kerana wujudnya bangsa Melayu-Islam. Pendek kata, sekiranya kerajaan persekutuan meratifikasikan ICERD, orang-orang Islam bolehlah menucapkan selamat tinggal kepada sistem perundangan berganda yang sedia ada dan anggap bahawa negara ini telahpun menjadi milik Bangsa DAP.

Dan apabila perkara tersebut berlaku, kesemua orang Islam bolehlah berkumpul bersama-sama di satu padang besar bagi meraikan kelahiran “Malaysia lagi baru” dengan meminum arak tanpa segan silu ataupun sedikit rasa takut.

Raggie Jessy merupakan Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku dan juga Pengerusi Gagasan Tiga (G3)

Comments

Comments


Loading...