Raggie Jessy Rithaudeen
Saya, Raggie Jessy Rithaudeen, secara peribadi tidak yakin bahawa nasihat yang diberikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang Di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan Darurat sah di sisi Perlembagaan Persekutuan dan khuatir Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti pada ketika nasihat itu diberikan.
Ini susulan kenyataan ramai tokoh-tokoh politik dari kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang serta perhitungan yang dibuat selepas ahli parlimen Machang menarik balik sokongannya terhadap kerajaan sebelum Muhyiddin menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk memberi nasihat berkenaan.
Pandangan saya turut didorong oleh kegagalan Muhyiddin sendiri membenarkan keabsahan kerajaan ditentukan menerusi proses demokrasi berparlimen sehingga menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan kemarahan di kalangan ahli-ahli parlimen dan masyarakat majmuk, khususnya, majoriti yang tidak memilih Perikatan Nasional menerusi Pilihan Raya Umum ke-14.
Saya turut tidak melihat keperluan Muhyiddin untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong agar Darurat diisytiharkan, kerana segala apa langkah kerajaan sehingga kini dilihat tidak memerlukan pengisytiharan Darurat untuk dilaksanakan.
Saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa berlaku elemen pembohongan dalam isu ini dan saya mengesyaki bahawa Darurat telah digunakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perisai politik.
Pendapat saya ini dikukuhkan lagi menerusi kenyataan Tan Sri Annuar Musa sendiri bahawa Darurat diisytiharkan, antaralain, untuk mengelakkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dalam tempoh pandemik.
Ini sekaligus mengukuhkan lagi dakwaan bahawa Muhyiddin telah kehilangan majoriti ketika menasihati Yang Di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat dan disyaki memberi nasihat itu untuk mengelakkan kerajaan pimpinannya tumbang.
Saya turut menyalahkan kerajaan pimpinan Muhyiddin kerana menimbulkan persepsi seolah-olah parlimen digantung dalam tempoh Darurat atas kehendak Seri Paduka Baginda Tuanku berdasarkan cara kenyataan Muhyiddin dirangka dan kegagalan Muhyiddin untuk memperbetulkan kekeliruan yang timbul.
Hakikatnya, parlimen tidak pernah digantung tetapi ditangguh, dan keputusan untuk menangguhkan sidang parlimen dan sidang-sidang Dewan Undangan Negeri dibuat oleh kabinet persekutuan dan bukannya Yang Di-Pertuan Agong.
DemI Allah, saya tidak berniat untuk mengelirukan sesiapa melainkan menegakkan kebenaran dan mendapatkan penjelasan, dan berdoa, agar bumi Malaysia ini dibebaskan daripada cengkaman mana-mana puak yang bersifat kemaruk wang, kuasa dan kedudukan serta mereka yang jahil dan menzalimi rakyat.
Aamiin Ya Rabbal Alamin
Saya dengan ini merayu kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat tamat kerana berpendapat keadaan politik semasa makin keterlaluan dan sedang memudaratkan negara.
Sesungguhnya, saya tidak takutkan pemimpin politik, yang saya takutkan hanyalah azab Allah sekiranya saya gagal mempertahankan umat Nya tatkala mereka ditimpa keseksaan.
Wallahu A’lam
RJ Rithaudeen
#TamatDarurat
