
“Amat pelik jika kita perhatikan bahawa orang yang mendakwa ingin “melaksanakan reformasi UMNO dari dalam” sendiri berkongsi pentas dengan mereka yang mengapi-apikan semangat orang UMNO dengan kata-kata fitnah”
Raggie Jessy Rithaudeen
ريفورمسي امنو: تق اد معنى، زيد إبراهيم سنديري ده ڬاڬل سبلوم برمولا
Zaid Ibrahim dilaporkan menyertai semula UMNO atas alasan kononnya beliau ingin bersama melaksanakan reformasi parti itu dari dalam.
Menurut Zaid, dia telah menyerahkan borang keahliannya semasa taklimat khas Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, 27 Ogos lalu.
“Niat saya hanya untuk membantu UMNO. Saya sudah bersara dan saya tidak banyak kerja.
“Saya tidak terlalu sibuk dan saya kembali ke parti, saya boleh membantu,” katanya.
Dari satu sudut, niat Zaid untuk kembali ke UMNO bukanlah urusan saya, kerana saya tidak mewakili mana-mana parti politik, termasuk UMNO.
Namun, UMNO kini menjadi masalah seluruh warga Malaysia, kerana tindak tanduk Kluster Mahkamah yang memporak-perandakan politik tanah air membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.
Apa tidaknya, sedangkan ketidakstabilan politik yang dicetuskan menyebabkan kerajaan kerajaan berubah sebanyak dua kali selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Ini sudah pasti menggusarkan pelabur, kerana tidak ada kerajaan atau syarikat pelaburan asing yang gembira berurusan dengan kerajaan yang difikirkan tidak stabil atau dibelengui dengan masalah pentadbiran.
Kini, Kluster Mahkamah sedang cuba mengganggu gugat kedudukan perdana menteri pilihan mereka sendiri yang kebetulannya merupakan ahli UMNO.
Bukankah ini akan menggusarkan lagi pelabur asing?
Satu Malaysia tahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana keenganan Ismail Sabri mengusulkan pembubaran awal parlimen kepada Yang Di-Pertuan Agong.
Ini telah meningkatkan kegusaran di kalangan masyarakat majmuk dan pelabur asing, yang bimbang akan berlaku usaha buat kali ketiga dalam tempoh tiga tahun untuk menyah-stabilkan kerajaan.
Rakyat tidak melihat perlunya Pilihan Raya Umum ke-15 diawalkan, dan tidak ada sebarang sebab munasabah yang diberikan oleh Kluster Mahkamah untuk menyokong pembubaran awal parlimen.
Rakyat berpuas hati dengan kemampuan kerajaan pimpinan Ismail Sabri mempertahankan kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman dan ingin beliau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh penuh parlimen ke-14.
Pemenjaraan Datuk Seri Najib Tun Razak dan sabitan bersalah terhadap Datin Seri Rosmah Mansor meyakinkan rakyat dan pelabur asing bahawa kerajaan Malaysia sudah mula mengorak langkah ke arah pemulihan integriti pentadbiran.
Namun, jika parlimen dibubarkan awal atas desakan Kluster Mahkamah, keyakinan ini sudah pasti merosot.
Ini kerana Zahid Hamidi berdepan dengan puluhan tuduhan jenayah, dan rakyat yakin bahawa Zahid dan kuncu-kuncunya sedang menggunakan UMNO sebagai ‘pentas’ untuk untuk cuba menyelamatkan tengkuk masing-masing,
Apakah Zaid Ibrahim tidak nampak semua ini?
Saya tidak peduli jika Zaid Ibrahim sebelum ini pernah lompat parti berulang kali.
Saya juga tidak ada masalah dengan keputusan Zaid Ibrahim untuk mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan terakhir kes SRC, kerana itu adalah pertimbangan professional seorang peguam yang tidak harus dipersoalkan.
Namun, jika niat Zaid Ibrahim adalah untuk melaksanakan reformasi UMNO dari dalam, maka izinkan saya untuk berkongsi pendapat di sini, bahawa Zaid “sudah gagal sebelum sempat memulakan apa-apa.”
Jangan lupa, Zaid Ibrahim inilah yang mendakwa kononnya rakyat berada dalam persekitaran “ketakutan”, dibayangi risiko tindakan pihak berkuasa jika membuat kenyataan membela Najib Razak.
Zaid berkata demikian sambil merujuk kepada siasatan polis terhadap Zahid Hamidi, susulan ucapan presiden UMNO itu mengenai kes Najib pada majlis taklimat presiden di Kuala Lumpur.
Namun, jika dikaji intipati ucapan Zahid Hamidi, ianya jelas berbaur hasutan dan bersempadankan penghinaan mahkamah.
Malah, Zahid terang-terang meracuni pemikiran hadirin dengan persepsi palsu kononnya sabitan bersalah Najib ditentukan dari awal lagi.
Apakah Zaid Ibrahim selaku seorang peguam berpengalaman tidak nampak semua ini?
Saya berasa pelik bagaimana Zaid tidak dapat ‘menangkap’ kepincangan dalam ucapan presiden UMNO, melainkan Zaid sendiri memiliki motif tersirat yang tersasar dariapda landasan perundangan.
Saya tidak hairan jika ini kebenarannya, kerana Zaid sendiri meracuni pemikiran rakyat sambil berdiri di pentas “Solidariti bersama Najib Razak,” hanya beberapa hari setelah firma guaman beliau mewakili Najib di Mahkamah Persekutuan.
Atas pentas itu, Zaid mendakwa kononnya institusi perundangan dan pendakwaan digunakan untuk menghapuskan musuh politik oleh mereka yang berkuasa.
Bukankah kata-kata sedemikian berbaur fitnah, hasutan dan penghinaan mahkamah?
Bukankah Zaid Ibrahim sedang mencadangkan bahawa institusi perundangan dan mahkamah kini tidak bebas dan berada di bawah pengaruh kuasa-kuasa politik?
Amat pelik jika kita perhatikan bahawa orang yang mendakwa ingin “melaksanakan reformasi UMNO dari dalam” sendiri berkongsi pentas dengan mereka yang mengapi-apikan semangat orang UMNO dengan kata-kata hasutan dan fitnah.
Pelik lagi jika kita fikirkan bagaimana Zaid seolah-olah ‘merestui’ Zahid Hamidi, sebagai presiden UMNO biarpun Zahid Hamidi berdepan dengan puluhan kes jenayah dan sedang menekan perdana menteri secara tidak berperlembagaan untuk membubarkan parlimen.
Apakah ini reformasi yang dimaksudkan oleh Zaid Ibrahim?
