
Salleh Said Keruak
1. Dunia sekarang sudah berada di tahap revolusi industri yang keempat. Revolusi ini menyaksikan Internet of Things (IoT) dalam hampir semua aspek kehidupan seharian. Revolusi 4.0 ini berbeza dari revolusi industri pertama yang tertumpu pada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua pada elektrik, dan ketiga pada penggunaan teknologi maklumat (IT).
2. Apa hebatnya Industri 4.0 ini? Industri ini hebat kerana ia menggantikan banyak kerja dalam revolusi pertama, kedua dan ketiga dengan proses automasi hasil bantuan perisian. Industri ini juga hebat kerana ia meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian kerana semua urusan dijalankan secara digital. Pricewaterhouse Coopers’ dalam tinjauannya terhadap 20,000 syarikat di 29 negara menyatakan dengan Industri 4.0 ini, syarikat boleh meningkatkan pendapatannya sebanyak 4.3% dan mengurangkan kos sebanyak 3.4% setahun.
3. Apa kesannya kepada masyarakat dengan Industri 4.0 ini? Kesannya banyak. Dari segi media misalnya, Industri 4.0 akan membawa perubahan besar kepada media tradisional apabila manusia hanya menggunakan telefon pintar dan komputer untuk membaca berita, bukan lagi surat akhbar. Persaingan media bukan lagi sesama sendiri, tetapi terpaksa bersaing dengan media sosial yang lebih dapat menarik perhatian pembaca.
4. Dari segi pendidikan, Revolusi Industri 4.0 akan menyaksikan penggunaan komputer riba akan lebih menyeluruh di sekolah-sekolah. Teknologi hologram, media sosial dan kecerdasan buatan juga akan menjadi aspek utama sebagai alat bantuan mengajar. Mungkin di masa hadapan, pelajar boleh belajar di rumah sahaja kerana kuliah disampaikan dalam bentuk video.
5. Jika inilah yang berlaku, sudah bersediakah kita? PM Najib telah menjawab pertanyaan ini. Katanya, mahu tidak mahu kita perlu bersedia kerana Industri 4.0 inilah yang akan membawa kita untuk menjayakan wawasan TN50. Hadapilah cabaran ini untuk terus memajukan negara kita.
Sumber: sskeruak.blogspot.my
