“Kini, apabila sedar bahawa Perikatan Nasional bakal runtuh pada bila-bila masa, Annuar tiba-tiba mencadangkan pembentukkan sebuah “gabungan besar” yang turut melibatkan PEJUANG, walhal beliaulah antara arkitek perpecahan UMNO dan pengkhianat terulung dari parti itu”
Raggie Jessy Rithaudeen
اينله روڤا سبنر اننوار موسى
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa, untuk berhenti melacurkan maruahnya dan sebaliknya meminta keampunan daripada Allah atas dosanya terhadap ummah.
Sebentar tadi, Malaysiakini memetik Annuar sebagai berkata, semua parti politik harus mempertimbangkan pembentukan gabungan politik besar yang turut melibatkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan parti-parti lain yang menolak Pakatan Harapan.
“Cukup-cukuplah. Malah penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat Umno, PAS, Bersatu.
“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu grand coalition yang melibatkan sekurang-kurangnya 12,13 parti politik yang sealiran,” katanya di Facebook hari ini.
Di sini, saya ingin menegaskan maksud sebenar istilah “perjuangan penyatuan ummah” yang selama ini dijaja oleh Annuar, Team A UMNO dan PAS bagi memperdaya masyarakat Melayu-Islam.
Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyediakan pentas Maruah Melayu pada satu ketika dahulu, beliau tidak menghadkan penyertaan mana-mana parti politik atau perkumpulan bukan politik yang bertunjangkan kepimpinan Islam.
Sebab itulah pentas beliau diwakili oleh berbelas-belas perkumpulan Islam dari segenap lapisan masyarakat dan juga parti-parti politik yang bertunjangkan kepimpinan Islam dari pembangkang dan kerajaan tanpa mengambil kira aliran atau ideologi politik masing-masing.
Itulah yang dinamakan pentas muzakarah, dan sebab itulah kita melihat kehadiran wakil-wakil dari PAS, UMNO, PPBM, AMANAH, PKR dan perkumpulan lain yang diberi kebebasan menyuarakan apa sahaja yang difikirkan patut demi Agama, Bangsa dan Negara.
Mahathir tidak memilih mereka yang sealiran dengannya bagi berucap di pentasnya, kerana misi penyatuan dalam ertikata sebenar tidak kenal perbezaan politik, darjat atau kaum, cuma kerelaan semua terbabit bermuzakarah ke arah perpaduan.
Inilah yang tidak difahami oleh pemimpin Melayu-Islam yang berfikiran cetek seperti Annuar Musa.
Apabila seseorang pemimpin Islam bercerita perihal “penyatuan ummah” tetapi menyelitkan syarat yang menghadkan muzakarah kepada parti-parti politik yang “sealiran,” niat sebenar pemimpin berkenaan bukanlah “penyatuan ummah,” tetapi “pergabungan parti-parti politik berkepentingan.”
Itulah bezanya antara Annuar Musa dan Mahathir, yang bukan sekadar mempertahankan maruah Melayu-Islam di bumi Malaysia, bahkan terkenal di pentas dunia sebagai pejuang Islam yang tidak gentar dengan sebarang desakan atau tekanan dari mana-mana negara Barat dan tidak segan mengkritik mana-mana peimpin dunia yang menggadaikan maruah Agama, Bangsa dan Negara.
Matlamat Mahathir hanyalah untuk memperkukuhkan lagi kemuliaan dan martabat Islam sebagai agama persekutuan menerusi pembentukkan sebuah kerajaan perpaduan yang bertunjangkan kepimpinan Islam tetapi turut diwakili oleh pemimpin bukan Islam yang berkaliber dalam kadar yang berpatutan dan dipersetujui semua.
Tetapi Annuar menolak cadangan ini bulat-bulat kerana sedar masa depannya sebagai pemimpin politik tidak begitu cerah selagi Mahathir menerajui kerajaan.
Atas sebab itulah beliau melibatkan dirinya dalam satu perancangan sulit bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Zahid Md Arip dan seorang dua lagi pemimpin dari PPBM dan UMNO untuk menggulingkan Mahathir.
Ceritanya begini:
Sejurus selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Annuar berpura-pura terkejut Mahathir tidak menerima UMNO secara en bloc dan menimbulkan persepsi palsu kononnya Mahathir medesak UMNO untuk bekerjasama dengan DAP.
Walhal, bukan hanya Mahathir tidak pernah meminta UMNO untuk menerima DAP, dari awal lagi, beliau dengan jelas menyuarakan keenganannya untuk bekerjasama dengan mana-mana pemimpin dari UMNO yang bermasalah.
Perkara ini sebenarnya berada dalam pengetahuan Annuar dan turut disampaikan kepada wakil-wakil dari UMNO, PKR, PAS dan AMANAH yang terlibat dalam satu siri perjumpaan untuk merancang pembentukkan sebuah gabungan perpaduan baharu yang bertunjangkan kepimpinan Islam.
Hakikatnya, pada ketika itu, Annuar sendiri bersedia untuk bekerjasama dengan DAP dan pernah menyuarakan hasrat ini secara terbuka pada 10hb Ogos 2018, menerusi satu kenyataan media yang berbunyi:
“UMNO sedia jalin bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk DAP. Kita (UMNO) ingin terbuka kepada sebarang pilihan.
“Formula lama gabungan Barisan Nasional (BN) sudah ketinggalan zaman.”
Kemudian, pada penghujung tahun 2019, Annuar memasuki satu perancangan rahsia bersama beberapa personaliti dari PKR dan PPBM, antaranya, Azmin Ali, Zahid Md Arip dan Muhyiddin.
Pada ketika itu, Muhyiddin menzahirkan rasa bersedianya untuk menjawat jawatan Perdana Menteri atas alasan beliau sudah pulih dari masalah kesihatan yang dialaminya dan mampu menguruskan hal ehwal negara.
Perkara itu disampaikan oleh Muhyiddin menerusi Azmin, yang kemudiannya memulakan perancangan sulit untuk mencantas Mahathir dan membentuk sebuah kerajaan baharu di bawah kepimpinan Muhyiddin.
Kesemua yang terlibat dengan perancangan ini tahu dari awal bahawa Mahathir tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Bung Moktar dan pemimpin-pemimpin lain dari UMNO yang bermasalah.
Walaubagaimanapun, dalam senyap, Annuar menipu Zahid Hamidi dan Najib kononnya Mahathir bersetuju untuk membentuk gabungan baharu bersama-sama UMNO dan PAS tanpa meminggirkan sesiapa dari gabungan itu.
Penipuan ini menjurus kepada satu siri rundingan rahsia melibatkan beberapa pemimpin dari Team A dan PAS yang bersetuju untuk membentuk Perikatan Nasional bersama PPBM.
Apabila Muhyiddin mendapat isyarat bahawa PAS dan UMNO bersedia, beliau tiba-tiba mendesak Mahathir untuk bekerjasama dengan UMNO secara en bloc atas alasan PPBM kesuntukan masa dan perlu keluar dari Pakatan Harapan dengan segera bagi mencantas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kesemua ini mencetuskan satu siri perjumpaan mengejut melibatkan keseluruhan kepimpinan tertinggi PPBM, PAS dan UMNO yang mengadakan mesyuarat-mesyuarat tergempar secara berasingan bagi membincangkan pembentukkan kerajaan baharu.
Perjumpaan-perjumpaan ini dirancang bersama oleh Annuar, Muhyiddin dan Azmin dengan Team A yang bersetuju sebulat suara untuk mengekalkan Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Tetapi Muhyiddin, Azmin dan Annuar tahu dari awal lagi bahawa Mahathir tidak sekali-kali akan bersetuju untuk membentuk kerajaan bersama-sama Najib, Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin lain dari Team A.
Atas sebab itulah mereka mencetuskan segalanya secara mengejut agar Mahathir tidak mempunyai masa untuk berfikir, menjadi tertekan dan berundur secara sukarela kerana tidak sanggup bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin bermasalah dari UMNO.
Bagi menebus maruahnya, Annuar mengadakan sidang media tidak lama selepas Mahathir meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri bagi menyuarakan rasa ‘terkejutnya’ Mahathir tidak sanggup menerima UMNO secara en bloc.
Biarpun begitu, Annuar terus menjaja nama Mahathir kepada Team A dan menyebarkan berita palsu kononnya perjumpaan di Hotel Sheraton adalah atas arahan Mahathir.
Kemudian, apabila Mahathir tidak muncul, Annuar membisik kepada seorang dua pemimpin dari Team A bahawa Mahathir “tidak tetap dengan pendiriannya” dan perlu diabaikan.
Pada ketika itulah nama Muhyiddin dilambung sebagai calon Perdana Menteri atas dasar “misi untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan perlu diteruskan dengan atau tanpa Mahathir.”
Inilah rupa Annuar Musa sebenarnya, dan inilah caranya beliau mencantas usaha murni Mahathir untuk menyatukan umat Islam di negara ini.
Kini, apabila sedar bahawa Perikatan Nasional bakal runtuh pada bila-bila masa, Annuar tiba-tiba mencadangkan pembentukkan sebuah “gabungan besar” yang turut melibatkan PEJUANG, walhal beliaulah antara arkitek perpecahan UMNO dan pengkhianat terulung dari parti itu.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
