“Dengan undang-undang baharu ini, kuasa mutlak yang ada pada Yang Di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara untuk menentukan ahli Dewan Rakyat mana yang paling layak menerajui kerajaan mampu diatasi”
Raggie Jessy Rithaudeen
رواو انتي-لومڤت ڤرتي يڠ دچادڠ ممبوليهكن ڤرتي اتسي كواس اڬوڠ دالم سؤال كلايقكن ڤي عيم
Ada satu bahaya besar yang bakal menimpa jika RUU Anti Lompat Parti yang dicadangkan bersama oleh pihak kerajaan dan Pakatan Harapan diluluskan (rujuk juga video di hujung bawah, atau klik di sini).
Bahaya ini disebabkan salah satu definisi “lompat parti” yang dicadangkan, di mana seorang ahli parlimen yang dipecat oleh parti juga dikira sebagai melompat parti.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
Disebabkan itu, ahli parlimen berkenaan turut akan hilang kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya.
Inilah bahaya sebenar yang nampaknya ‘diizinkan’ oleh Kluster Mahkamah dan Pakatan Harapan.
TONTON: KLUSTER MAHKAMAH BAKAL DAPAT KUASA ‘SINGKIR’ PM?
Disebabkan definisi pelik ini, parti-parti politik akan memiliki kemampuan luarbiasa untuk memanipulasi komposisi Dewan Rakyat dan mempengaruhi perjalanan parlimen secara “remote control.”
Ini kerana, pemecatan seseorang dari sesebuah parti politik atas apa jua sebab adalah muktamad, konklusif dan tidak boleh dibawa ke mahkamah, selaras dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.
Justeru, jika kepimpinan parti memecat mana-mana ahli secara tidak adil, bukan hanya ahli berkenaan tidak mampu berbuat apa-apa, beliau akan kehilangan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya.
Ini akan menjurus kepada Pilihan Raya Kecil bagi memilih wakil rakyat baharu, dan dengan cara ini, parti-parti politik boleh menyingkirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dan meletakkan “pak turut” sebagai calon baharu.
Kini, UMNO dan lembaga disiplinnya dikuasai secara langsung oleh Kluster Mahkamah, merangkumi sekumpulan ahli-ahli parlimen yang menghadapi pertuduhan mahkamah dan beberapa pemimpin parti yang bersekutu dengan mereka.
Datuk Seri Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri, namun, beliau bukanlah presiden parti, ahli lembaga disiplin atau ahli Kluster Mahkamah.
Jika Ismail Sabri tidak tunduk pada tekanan Kluster Mahkamah untuk mengusulkan pembubaran parlimen kepada Yang Di-Pertuan Agong, lembaga disiplin UMNO boleh sahaja memecat beliau selepas RUU Anti Lompat Parti diluluskan.
Andai kata ini berlaku, bukan hanya keanggotaan Ismail Sabri dalam parlimen terlucut, beliau akan kehilangan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Inilah bahaya paling besar jika RUU Anti-Lompat Parti diluluskan, berdasarkan definisi-definisi pelik yang dicadangkan.
Dengan undang-undang ini, kuasa mutlak yang ada pada Yang Di-Pertuan Agong (selaku Ketua Negara) untuk menentukan ahli Dewan Rakyat mana yang paling layak menerajui kerajaan mampu diatasi.
Caranya, kepimpinan parti dari mana Perdana Menteri berasal boleh ‘menendang keluar’ Perdana Menteri tanpa merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong, walaupun Perdana Menteri masih memiliki sokongan majoriti ahli-ahli parlimen dan mendapat kepercayaan penuh Yang Di-Pertuan Agong.
