Raggie Jessy Rithaudeen
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama lebih dua minggu mengemparkan satu dunia kononnya memiliki sokongan majoriti selesa ahli-ahli parlimen untuk menjawat jawatan Perdana Menteri sah tidak mempersembahkan sebarang bukti sokongan itu ketika bertemu dengan Yang Di-Pertuan Agong hari ini.
Perkara ini disahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, yang berkata agenda pertemuan hari ini tiada kena mengena dengan persembahan jumlah sokongan yang diterima ahli parlimen itu.
“Pertemuan itu adalah sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong oleh Anwar yang mendakwa dirinya Ketua Pembangkang yang tertangguh sebelum ini. Beliau yang memohon menghadap baginda.
“Tiada kena mengena dengan mempersembahkan sokongan Ahli Parlimen, tetapi jika beliau ingin mempersembahkan juga sokongan (ahli parlimen), boleh serahkan,” katanya.
Ahmad Fadil turut mengesahkan, biarpun Anwar mempersembahkan sokongan yang diterimanya kepada Yang di-Pertuan Agong, perkara itu masih perlu dirujuk kepada Perdana Menteri dan Dewan Rakyat sebagai platform yang utama.
Ini bermakna Anwar dan portal-portal serta Laskar Siber pro-Anwar telah menipu rakyat selama lebih dua minggu kononnya kerajaan bakal tumbang hari ini kerana Anwar memiliki sokongan majoriti dan berjumpa dengan Yang Di Pertuan Agong untuk mempersembahkan bukti sokongan itu.
Penipuan ini turut melibatkan beberapa portal dan kumpulan Laskar Siber yang berkait rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta tiga orang kuat Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.
Kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja berhubung perjumpaan Anwar dan Yang Di-Pertuan Agong selaras dengan apa yang saya katakan selama ini, iaitu tidak ada apa-apa peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perubahan kerajaan berdasarkan senarai nama sokongan ahli-ahli parlimen atau surat akuan bersumpah.
Saya secara konsisten mengesahkan bahawa bukan hanya Anwar tidak pernah memiliki sokongan majoriti, sokongan terhadapnya tidak pernah mencecah angka 91 malah menyusut teruk sehari dua yang lepas.
Kegagalan Anwar memperolehi sokongan majoriti yang diidamkannya itu menyebabkan Laskar Siber pro-Najib mula panik sejak Sabtu lalu dan mula memutarbelit fakta dengan pelbagai ‘analisis’ palsu bagi menyelamatkan reputasi mereka.
Semalam, saya menulis (rijuk link artikel penuh di bawah):
Kalau sebelum ini mereka berani bersumpah Anwar memiliki majoriti ‘selesa’, kini mereka mendakwa berlaku pepecahan dalam DAP menyebabkan sokongan terhadap Anwar menyusut teruk ke tahap majoriti tipis.
Bukan hanya ini satu penipuan, DAP sudah lama berpecah kepada dua kumpulan nyata (sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi) tetapi bersepadu menyokong apa jua usaha untuk menentang UMNO, khususnya kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dakwaan kononnya DAP berpecah kerana “ada ahli-ahli parlimen yang baru dapat tahu Lim Guan Eng terlibat dalam pelbagai skandal rasuah” merupakan lawak jenaka antarabangsa kerana itu bukanlah penyebab sebenar perpecahan itu berlaku.
Tindak tandak Anwar dan kumpulan Laskar Siber ini telah menyebabkan pasaran saham terjejas begitu teruk susulan tindakan para pelabur menarik balik pelaburan mereka, melainkan saham-saham yang berkait secara langsung dan tidak langsung dengan Anwar yang melonjak terus ke aras tinggi, sekaligus membawa keuntungan yang amat besar kepada Anwar dan keluarganya.
Bersambung…
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
