Salahuddin Ayub jangan biadap

Tuanku Sultan Johor dan Tunku Mahkota melahirkan rasa murka terhadap tindakan Salahuddin Ayub yang memberi ceramah di sebuah masjid di Johor. Sumber (gambar): The Star Online

“Sepatutnya Salahuddin Ayub tidak perlu mengeluarkan apa-apa kenyataan sebelum menghadap Tuanku Sultan Johor. Kerana perkara ini jelas akan lebih memburukkan lagi keadaan”

Dhia Hani

Sejak kelmarin tular satu video berhubung dakwaan yang mengatakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub merangkap Ahli Parlimen Pulai mengadakan ceramah politik di Masjid Kolam Air Johor Bahru. Tindakan ini mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju Salahuddin Ayub mengunakan masjid sebagai medium untuk menyebarkan ‘dakwah’ politiknya.

Malah tindakan ini turut mendapat perhatian dari Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Melihat dari respon yang diberikan Tuanku Sultan Johor dan Tunku Mahkota melahirkan rasa murka terhadap tindakan Salahuddin Ayub yang memberi ceramah di sebuah masjid.

Ekoran titah ini, Salahuddin Ayub ada memberi respon dengan memberi kenyataan yang menafi dakwaan bahawa dirinya memberi ceramah berunsur politik di masjid. Kenyataan ini diberikan dalam satu sidang akhbar pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen. Sebaliknya, menjelaskan bahawa dirinya hanya memberi tazkirah ringkas kepada jemaah masjid sementara menunggu kumandang azan kedengaran. 


Walau bagaimanapun, tindakan Salahuddin Ayub memberi respon dalam sidang media dilihat agak tidak bersesuaian dan kurang sopan. Ini kerana apabila Salahuddin Ayub mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa ia seolah-olah mempertikaikan titah Tuanku Sultan Johor. 

Sepatutnya Salahuddin Ayub tidak perlu mengeluarkan apa-apa kenyataan sebelum menghadap Tuanku Sultan Johor. Kerana perkara ini jelas akan lebih memburukkan lagi keadaan.

Ada baiknya cukup hanya sekadar menurut apa yang dititahkan oleh Tuanku Sultan Johor untuk membuat permohonan maaf secara bersurat terlebih dahulu sebelum menghadap Tuanku Sultan Johor apabila sudah bersedia. 

Malah adakah Salahuddin Ayub rasakan Tuanku Sultan Johor akan mengeluarkan titah atau murka tanpa ada selidik terlebih dahulu? Jadi fikir-fikirkanlah.

Perkara ini tidak boleh diambil ringan oleh Salahuddin Ayub kerana beliau sepatutnya sedia maklum bahawa negeri Johor ini sangat mengutamakan rakyatnya untuk menanam sikap berbudi bahasa dan bersopan santun tidak kiralah apa sahaja jawatan yang disandangnya. Perlu ingat ini negeri Johor jadi jangan samakan dengan negeri lain.

Malah jika benar seperti apa yang dikatanya bahawa dirinya hanya memberikan tazkirah sahaja. Persoalannya, apakah justifikasi yang melayakkan dirinya untuk memberikan tazkirah? 

Walhal sedia maklum Bahawa peraturan di semua masjid di Johor langsung tidak membenarkan sesiapa sahaja mengadakan ceramah mahupun tazkirah kecuali mendapat tauliah dan kebenaran dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Jadi siapa yang memberi tauliah kepada Salahuddin Ayub pada ketika itu?

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jadi sebagai rakyat Johor, kami mahu Salahuddin Ayub sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Pulai untuk membuat permohonan maaf kepada Tuanku Sultan Johor, Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan secepat yang mungkin.

Sumber:

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...