Sambutan Melayu, bangsa lain terhadap GTA amat memberangsangkan

KENYATAAN MEDIA RASMI

Khairuddin Abu Hassan

سمبوتن ملايو، بڠسا اسيڠ ترهادڤ ڬتا امت ممبرڠسڠكن

Sambutan orang melayu pada Gerakan Tanah Air (GTA) amat memberangsangkan serta berlaku secara pantas. Dalam ertikata lain, sambutan dari masyarakat akar umbi serta pengundi atas pagar amat hangat.

Untuk mempromosikan GTA kali ini amat mudah kerana ramai daripada orang melayu menunjukkan minat yang tinggi dan yakin dengan wadah perjuangan GTA. Agenda perjuangan untuk memperkasakan semula kedudukan orang Melayu dan dalam masa sama menghormati hak bangsa lain disenangi oleh semua pihak. Orang Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum lain amat selesa dengan wadah perjuangan GTA, yang tidak bercorak ekstrim ataupun berbau perkauman. Ianya lebih bercorak kepada nasional, walaupun naratif perjuangan bertumpu kepada agenda Melayu.




GTA berpaksikan pada perjuangan untuk memartabatkan serta memperkasakan semula maruah bangsa Melayu, di samping untuk menubuhkan kerajaan yang bersih, cekap dan amanah seterusnya membangunkan semula ‘Malaysia Baharu’ demi kemakmuran seluruh bangsa.

Manakala bangsa lain pula amat yakin dengan kepimpinan Melayu yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun memimpin negara berteraskan agenda memperkasakan bangsa Melayu tetapi prinsip menjaga kepentingan hak-hak kaum lain di negara kita tetap utuh.

Di era kepimpinan Melayu yang stabil selama 22 tahun suatu masa dahulu ketika negara ditadbir urus oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, keseluruhan bangsa asing hidup makmur dalam pelbagai sektor khususnya bidang ekonomi. Kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang cukup adil serta saksama pada waktu itu membuatkan bangsa asing yakin dengan kepimpinan beliau sehingga kini. Kesan pentadbiran negara secara adil dan saksama telah menyusup ke dalam sanubari bangsa asing secara berkekalan pada realitinya.

Sebab itu bila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu keseluruhan bangsa asing tidak curiga dengan pendirian tersebut. Semua bangsa dan suku kaum di negara kita masih yakin dengan mutu kepimpinan bertaraf dunia serta keikhlasan Tun Dr Mahathir Mohamad ke arah untuk membina sebuah negara yang maju serta dinamis.

Atas dasar inilah, kini ramai daripada rakyat jelata khususnya orang Melayu menghubungi kami untuk melibatkan diri dengan GTA. Suatu masa dahulu untuk kami mencari keahlian bagi parti politik, kena kerja kuat di lapangan bagi mendapatkan keahlian. Tetapi kini berlaku di sebaliknya, iaitu masyarakat akar umbi yang datang secara sukarela dan ikhlas kepada kami bagi menawarkan sokongan membantu wadah perjuangan GTA.

Suatu petanda potensi GTA yang amat menakjubkan. Secara jujur dan ikhlas situasi ini adalah di luar dugaan kami. Di Wilayah Persekutuan setelah melakukan beberapa siri perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin akar umbi bangsa Cina serta kaum lain, ramai yang menyatakan keyakinan terhadap keikhlasan serta kewibawaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai GTA. Sesungguhnya, majoriti daripada masyarakat atas pagar sudah hilang keyakinan dengan BN, PN dan PH.

Satu pertubuhan baru yang bersih, cekap dan amanah amat diperlukan masa kini bagi menyelamatkan negara kita dari terus hancur. Tokoh-tokoh ‘melayu baik’ amat diperlukan bagi melawan ‘melayu jahat’ yang korup serta salah guna kuasa sehingga membebankan negara dan berada di ambang kehancuran.

Loading...

Masyarakat Melayu terus meminta GTA menebus semula maruah melayu, memperkasakan kembali kedudukan Melayu dalam segenap segi, memerangi rasuah sehingga akar umbi serta membina semula ‘Malaysia Baharu’ sehingga diiktiraf kembali sebagai kuasa ‘Harimau Asia.’

Komposisi GTA yang diterajui oleh parti PEJUANG, PUTRA, BERJASA dan IMAN di samping sokongan ratusan NGO-NGO Melayu di seluruh negara bakal mengemudi semula Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang.

Pihak kami akan terus berpegang kepada prinsip kental melawan segala bentuk salah laku yang bakal menghancurkan bangsa dan negara. Bak kata pujangga Indonesia Bapa Khairil
Anwar :

“Biarpun peluru menembusi kulit-kulit ku namun perjuangan akan tetap diteruskan…..”



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...